APA PERLU DIBUAT UNTUK MENCEGAH MASALAH SEKSUAL DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA?

child abuse

Bagaimana kanak-kanak berumur 7 tahun sudah pandai berzina? Kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak berumur 7 tahun yang ‘merogol’ seorang kanak-kanak berumur 6 tahun.

Timbul satu persoalan, bagaimana kanak-kanak seawal usia ini tahu untuk melakukannya? Adakah mereka pernah menyaksikan ibu bapa mereka sendiri melakukannya lantaran mereka masih tidur sebilik dengan ibu bapa mereka?

Atau adakah mereka melihat video-video porno yang sangat mudah diakses apabila mereka mempunyai gajet sendiri?

Atau yang lebih teruk lagi, adakah mereka melihat video-video porno yang ditonton oleh ibu bapa mereka sendiri, yang mungkin ada dalam simpanan koleksi di rumah?

Apa pun, kita perlu berhenti menuding jari menyalahkan mana-mana pihak kerana kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tragedi kanak-kanak kecil ini. Apa yang perlu kita lakukan ialah memuhasabah diri kita dan melihat dalam keluarga kita sendiri khususnya dan masyarakat sekeliling umumnya.

Langkah 1: Jangan melakukan hubungan seksual di hadapan anak-anak.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا

Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari Kiamat ialah seorang lelaki yang mendatangi isterinya, dan isteri yang mendatangi suaminya, kemudian menyebarkan rahsianya itu. [Sahih Muslim, Kitab an-Nikah, no: 1437].

Dalam sebuah riwayat yang dhaif disebutkan:

 فَلَمَّا سَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَيْهِمْ بِوَجْهِهِ، فَقَالَ:  مَجَالِسَكُمْ، هَلْ فِيكُمْ رَجُلٌ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ أَغْلَقَ بَابَهُ وَأَرْخَى سِتْرَهُ، ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُحَدِّثُ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ بِأَهْلِي كَذَا، وَفَعَلْتُ بِأَهْلِي كَذَا؟ ” فَسَكَتُوا

Apabila baginda telah memberi salam (iaitu selesai solat), baginda menghadap ke arah makmum. Lalu baginda bersabda: Kekal duduk di tempat kalian. Adakah daripada kalangan kalian lelaki yang mendatangi isterinya, dia menutup pintunya, dia memasang tabirnya, kemudian dia keluar lalu menceritakan: Aku telah melakukan dengan isteri aku itu dan ini, aku telah melakukan dengan isteri aku itu dan ini. Para jemaah lelaki mendiamkan diri (mendengar soalan itu).

فَأَقْبَلَ عَلَى النِّسَاءِ فَقَالَ: ” هَلْ مِنْكُنَّ مَنْ تُحَدِّثُ؟ “، فَجَثَتْ فَتَاةٌ كَعَابٌ عَلَى إِحْدَى رُكْبَتَيْهَا، وَتَطَالَتْ لِيَرَاهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَسْمَعَ كَلَامَهَا، فَقَالَتْ: إِي وَاللهِ إِنَّهُمْ لَيُحَدِّثُونَ، وَإِنَّهُنَّ لَيُحَدِّثْنَ،

Baginda menghadap pula ke arah kaum wanita lalu bersabda: Adakah daripada kalian yang menceritakan (apa yang telah dia lakukan dengan suaminya?). Lalu seorang gadis yang berlutut di atas salah satu lututnya meninggikan dirinya agar baginda dapat melihatnya dan mendengar perkataannya. Gadis itu berkata: Sesungguhnya kaum lelaki menceritakan hal itu, sesungguhnya kaum wanita menceritakan hal itu.

قَالَ: ” هَلْ تَدْرُونَ مَا مَثَلُ مَنْ فَعَلَ ذَلِكَ؟ إِنَّ مَثَلَ مَنْ فَعَلَ ذَلِكَ مَثَلُ شَيْطَانٍ وَشَيْطَانَةٍ لَقِيَ أَحَدُهُمَا صَاحِبَهُ بِالسِّكَّةِ، قَضَى حَاجَتَهُ مِنْهَا وَالنَّاسُ يَنْظُرُونَ إِلَيْهِ “

Baginda bersabda: Adakah kalian tahu apakah permisalan untuk sesiapa yang melakukan hal itu? Sesungguhnya permisalan sesiapa yang melakukannya adalah seperti syaitan jantan dan betina yang bertemu di tepi jalan, lalu mereka melakukan hubungan kelamin dalam keadaan orang ramai melihat kepada mereka.

[Musnad Ahmad, Musnad Abu Hurairah, no: 10977, Shaikh al-Arnaouth menyatakan ia dhaif perawi yang meriwayatkan daripada Abu Hurairah tidak dikenali. Adapun perawi lain adalah thiqah.].

Seandainya menceritakan hal itu sahaja sudah terkutuk dan tercela, lalu bagaimana dengan perbuatan ibu bapa yang melakukan hubungan seksual dalam keadaan di bilik mereka mempunyai anak-anak mereka yang berkemungkinan melihat apa yang sedang mereka lakukan?

Langkah 2: Asingkan tempat tidur anak-anak.

Kita pasti terfikir mustahil ibu bapa melakukan hubungan seksual di hadapan anak-anak. Benar, sangat sukar ditemui kes sebegitu. Akan tetapi tidak mustahil ia dilakukan ketika anak-anak sedang tidur di dalam bilik yang sama. Ibu bapa menyangka anak-anak sedang tidur, sedangkan rupa-rupanya mereka tidak tidur dan mereka melihat apa yang ibu bapa lakukan.

Penyelesaiannya ialah dengan mengasingkan tempat tidur anak-anak daripada tempat tidur ibu bapa. Jika anak-anak masih terlalu kecil, maka hendaklah ibu bapa melakukan perbuatan itu di bilik yang lain.

Selain daripada itu asingkanlah tempat tidur anak-anak daripada adik beradik yang lain apabila mereka sudah besar.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ ‏

Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, pukullah mereka (apabila mereka enggan mendirikan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka. [Sunan Abi Daud, Kitab al-Solat, no: 495].

Langkah 3: Berhenti daripada menonton aksi-aksi memberahikan.

Adalah satu tragedi apabila anak terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya disebabkan apa yang ditonton oleh ibu bapa di rumah. Bagaimana mahu mengawal anak-anak jika ibu bapa sendiri menayangkan filem atau drama-drama yang mempunyai aksi-aksi memberahikan di dalam rumah? Boleh jadi mereka hanya menontonnya tanpa kehadiran anak-anak. Akan tetapi bagaimana jika anak-anak mengambil filem-filem yang kita simpan itu lalu mereka pun menontonnya jua.

Langkah 4: Periksa gajet anak-anak

Menjadi satu budaya di zaman ini di mana anak-anak akan dibekalkan dengan telefon pintar yang mempunyai data internet. Ini dibuat atas alasan memudahkan untuk ibu bapa berhubung dengan anak-anak melalui aplikasi whatsapp dan sebagainya. Akan tetapi hal ini jua memudahkan akses anak-anak kepada pelbagai perkara yang ada di alam maya termasuklah pornografi. Bukan itu sahaja, ia memudahkan mereka berkongsi apa sahaja tanpa mereka fikirkan akibatnya. Ia jua merisikokan anak-anak terdedah kepada golongan pedofilia yang mungkin mengunakan media social untuk memburu mangsa-mangsanya.

Oleh itu ibu bapa perlu memeriksa apa yang ada dalam gajet anak-anak, dengan siapa mereka berhubung, apa yang mereka bualkan dan sebagainya.

Boleh jadi jalan paling mudah ialah jangan membekalkan gajet kepada anak-anak.

Langkah 5: Ajari anak-anak tentang sentuhan bahaya.

 

Anak-anak hendaklah didedahkan tentang bahagian-bahagian tubuh mereka yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun hatta daripada kalangan yang sama jantina atau ahli keluarga sendiri. Apabila mereka sudah melangkah ke zaman persekolahan, mereka sewajarnya didedahkan siapakah mahram dan bukan mahram mereka agar mereka tahu batas-batasan sentuhan dan pergaulan antara mereka.

Kanak-kanak yang naif mungkin mudah tertipu dengan sentuhan yang disangka sebagai lambang kasih sayang sedangkan hakikatnya ia adalah satu mukadimah kepada satu tragedi yang sangat perlu dijauhi. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik mereka dan memperingatkan mereka tentang hal ini.

Ibu bapa hendaklah menunjukkan sikap terbuka dan berlapang dada apabila anak-anak mahu bercerita tentang kehidupan harian mereka agar anak-anak tidak takut bercerita kepada ibu bapa.

Langkah 6: Berhenti melindungi penjenayah seksual

Antara faktor yang menyebabkan berterusannya penderaan seksual kepada kanak-kanak ialah apabila pelakunya daripada ahli keluarga sendiri, dan ahli keluarga enggan mempercayai apa yang berlaku dan masih melindungi suspek tersebut. Sesungguhnya membiarkan hal ini berterusan merupakan satu kezaliman kepada kanak-kanak sedangkan kita mampu mengubah dan menghalangnya daripada berterusan.

Rasa hormat kepada ahli keluarga tidak perlu mengorbankan rasa kemanusian dan kewajipan melindungi kanak-kanak. Seandainya mereka tidak dilindungi oleh ahli keluarga sendiri, ke mana mereka mahu pergi untuk berlindung dalam keadaan mereka yang naif dan tidak tahu apa-apa.

Langkah 7: Tidak mengiktiraf hubungan romantis golongan remaja

Ini merupakan antara perkara yang perlu ditekankan oleh ibu bapa. Boleh jadi sebahagian pihak tidak boleh menerima hal ini. Disebabkan itu mereka membantah hukuman kepada pasangan yang kedua-duanya di bawah umur yang melakukan hubungan seksual luar nikah (atau perkataan mudahnya zina). Akan tetapi sebagai ibu bapa Muslim kita perlu memahami bahawa hal itu tetap terlarang dan dimurkai Allah walaupun dilakukan suka sama suka.

Dalam masa yang sama ibu bapa perlu bersikap terbuka dengan bersedia mendengar luahan perasaan anak-anak remaja ini. Didiklah mereka bahawa luahan perasaan untuk memiliki hati seseorang itu hanya layak dilakukan apabila kita benar-benar mahu berkahwin dengan seseorang. Didiklah mereka bahawa perkahwinan itu adalah satu tanggungjawab dan kewajipan, dan bukan hanya berseronok-seronok.

Ingatkanlah anak-anak remaja bahawa perasaan yang mereka alami itu hanya satu mainan perasaan kerana mereka belum melihat dunia yang lebih luas lagi.

Semoga kita bersama-sama melindungi diri kita dan ahli keluarga kita daripada masalah seksual yang akan menimbulkan 1001 masalah yang lain lagi. Berhenti menuding jari, mainkan peranan kita.

Bacaan lanjut:

44.5% of all sexual crimes committed in Malaysia involves children aged below 16. Based on Department of Social Welfare statistics for the period between 2010 and 2013, there were 14,6625 child abuse cases. Out of only 46 cases which were successfully prosecuted, 26% were child sexual abuse cases. When the same data on child abuse was requested in 2014, the answer given was 16,0656, an increase of 2,600 child abuse cases within 1 year.

https://www.researchgate.net/profile/Azira_Aziz3/publication/308777185_Child_Sexual_Abuse_Prevention_in_Malaysia/links/57ef48da08ae91deaa510d5e/Child-Sexual-Abuse-Prevention-in-Malaysia.pdf

The pie chart shows the causes of the occurrence of sexual symptoms. 51 percent of respondents explained that their involvement is caused by peers. The peer group is one of the important aspects for their peers play an important role in the association with each other.

http://journal-archieves35.webs.com/85-104.pdf

KUALA LUMPUR – “Sebanyak 61 peratus daripada 12,926 mangsa kes jenayah seksual yang dilaporkan untuk tempoh tiga tahun sejak 2014 melibatkan kanak-kanak,” kata  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/mangsa-jenayah-seksual-adalah-kanak-kanak-1.680380

MELAKA: Sukar untuk dipercayai tetapi satu laporan polis dibuat terhadap seorang murid Tahun Satu di sini kerana didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun. Laporan yang dibuat di balai polis di sini menimbulkan kebingungan dalam kalangan anggota.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2017/07/27/rogol-budak-tadika/#LKKCcq2COz7fom6J.99

Azlin memberitahu, di negara ini pula menerusi kajian yang dilakukan olehnya berserta kumpulannya pada tahun 2011 di sekolah menengah di sebuah negeri di utara Semenanjung, mendapati kira-kira 40 peratus kanak-kanak di sekolah itu yang berusia 13 hingga 17 tahun mengaku pernah menonton video lucah yang majoriti daripadanya adalah pelajar-pelajar lelaki.

http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/barah-pornografi-rosak-masyarakat-1.93575#ixzz4oOElyCQm

According to the research findings of the National Population and Family Development Board, Sabah and Sarawak recorded the highest teen pregnancies with Sabah topping the list at 4,795 cases while Sarawak came second with 3,395 cases in 2014.

http://www.malaysiandigest.com/features/584319-survey-shows-sexual-activity-among-teens-highest-in-east-malaysia-a-s-wak-teen-mom-shares-her-story.html