Apakah maksud nama Allah Al-Hayyu dan Al-Qayyum?

ya hayyu ya qayyum
Al-Hayyu Al-Qayyum
Firman Allah:
اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
Allah, tiada yang berhak disembah selain Dia. Dia Maha Hidup dan Berdiri Sendiri. [al-Baqarah : 255]
 
*Apakah maksud al-Hayy?*
 
Shaikh Abdul Razzaq bin Abdul Muhsin al-‘Abbad menerangkan di dalam Fiqh al-Asma’ al-Husna:

فيه إثبات الحياة صفة لله, وهي حياة كاملة ليسة مسبوقة بعدم, ولا يلحقها زوال وفناء, ولا يعتريها نقص وعيب جل ربنا وتقدس عن ذلك, حياة تستلزم كمال صفاته
Pada nama ini terdapat penetapan sifat hidup sebagai sifat kepada Allah. Ia merupakan kehidupan yang sempurna yang tidak didahului dengan ketidakwujudan, tidak juga ia akan hilang atau sementara. Tidak ada padanya kekurangan dan keaiban, Maha Suci Tuhan daripada semua itu. Ia kehidupan yang disertai kesempurnaan sifat-sifatNya.
 
Walau manusia hidup, makhluk-makhluk lain hidup, tetapi kehidupan mereka tidak sama dengan Allah. Allah Hidup selama-lamanya, Dia wujud sejak dahulu hingga bila-bila masa, sedangkan manusia tidak wujud sebelum mereka diciptakan, dan kehidupan manusia akan tamat apabila tiba ajalnya. Oleh kerana itu Allah menyebut di dalam surah ar-Rahman ayat 26 hingga 27;
 
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ (26) وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ (27(
Semua yang ada di bumi itu akan binasa. (26) Dan tetap kekal Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (27)
Allah menyuruh kita bertawakkal kepada Allah yang Hidup dan tidak mati. Firman Allah:
 
وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ
Bertawakkallah kepada Allah yang Maha Hidup dan tidak akan mati [al-Furqan : 58]
 
*Apakah pula maksud al-Qayyum?*
 
Ia menunjukkan bahawa Allah ini tidak memerlukan apa-apa untuk membantunya. Shaikh Abdul Razzaq menerangkan bahawa ia menunjukkan kepada dua perkara, iaitu:
 
كمال غنى الرب سبحانه, فهو القائم بنفسه, الغني عن خلقه, كما قال سبحانه: يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ
Pertama: Kesempurnaan dalam kekayaan Allah. Dia berdiri dengan sendiri, Dia tidak memerlukan makhluk-makhlukNya. Sebagaimana firman Allah: Wahai manusia, kamulah yang memerlukan kepada Allah. Sedangkan Allah Maha Kaya (tidak memerlukan apa-apa) dan Terpuji [Fathir : 15]
 
كمال قدرته وتدبيره لهذه المخلوقات, فهو المقيم لها بقدرته سبحانه, وجميع المخلوقات فقيرة اليه¸لا غنى لها عنه طرفة عين
Kedua: Kesempurnaan pada kekuasaanNya dan pengurusanNya kepada semua makhluk. Dialah yang menguruskan makhluk dengan kuasaNya. Semua makhluk memerlukan kepadaNya. Tidak ada siapa pun yang tidak memerlukannya walau sekelip mata.
Sifat ini menunjukkan tiada siapa mampu memberi manfaat dan mudharat kepada Allah. Manusia jika membuat maksiat, tidak sikit pun memudharatkan Allah, jika mereka membuat ketaatan tidak sedikit pun memberi manfaat pada Allah. Sebaliknya ibadat dan maksiat itu hanya akan memberi kesan kepada diri mereka sendiri dengan keizinan Allah.
 
Dalam sebuah hadis qudsi yang panjang disebut:
يَا عِبَادِي : إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضَرِّي ، فَتَضُرُّونِي وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي ، فَتَنْفَعُونِي…
Wahai hamba-hamba Ku; sesungguhnya kalian tidak akan dapat memudharatkan Aku dan tidak akan dapat memberi manfaat kepada Ku….
 
يَا عِبَادِي : لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ ، وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ ، كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ ، مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا ،
Wahai hamba-hamba Ku; seandainya yang pertama dan akhir daripada kalian, manusia dan jin, semuanya mempunyai hati seperti orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, ia tidak akan menambahkan sedikit pun pada penguasaan Allah.
 
يَا عِبَادِي : لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ ، وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ ، كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا
Wahai hamba-hamba Ku; seandainya yang pertama dan akhir daripada kalian, manusia dan jin, semuanya mempunyai hati seperti orang yang paling jahat di kalangan kamu, ia tidak mengurangkan sedikit pun penguasaan Allah
[Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah wa al-Adab, hadis no: 4680]
 
*Keagungan nama al-Hayy dan al-Qayyum*
 
Dua nama ini sering disebut dalam doa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Antara doa-doa yang mengandungi nama ini ialah:
 
أَخْبَرَنِي عُثْمَانُ بْنُ مَوْهَبٍ الْهَاشِمِيُّ ، سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ ، يَقُولُ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِفَاطِمَةَ : مَا يَمْنَعُكِ أَنْ تَسْمَعِي مَا أُوصِيكِ بِهِ ، أَوْ تَقُولِي إِذَا أَصْبَحْتِ وَإِذَا أَمْسَيْتِ :
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Fatimah. Apa yang menghalang engkau daripada mendengar nasihat ku atau apa yang menghalang engkau daripada membaca pada waktu pagi dan petang;
 
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، وَلا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Wahai Tuhan Yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri. Dengan rahmat Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah segala urusan ku. Jangan engkau serahkan diri ku ini kepada diri ku sendiri walau sekelip mata. [Riwayat Imam an-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra, Kitab az-Zinah, hadis no: 9955. Shaikh al-Albani menyatakan ia hadis hasan dalam Sahih al-Jami’, no: 5820]
Dengan memahami nama Allah al-Hayyu al-Qayyum manusia akan sedar bahawa;
 
1- Kehidupan mereka sangatlah terbatas berbanding kehidupan Allah. Manusia akan mati tetapi tidak tahu bila, sedangkan Allah akan hidup selama-lamanya.
2- Manusia yang memahami hal ini akan berusaha untuk melakukan sebanyak mungkin ketaatan sebelum ajalnya tiba
3- Dia tidak akan berasa bongkak dengan dirinya kerana dia tahu semua yang dia ada adalah daripada Allah, bahkan dia menyedari dirinya faqir yang tidak mampu berdiri dengan sendiri.