APAKAH PERKARA-PERKARA YANG DIHARAMKAN KEPADA WANITA YANG HAIDH ATAU NIFAS?

Muslimah haidh dan nifas

Muslimah haidh dan nifas

Perkara-perkara yang disepakati/ijma berkaitan wanita haidh/nifas

1-      Solat

Mu’azah meriwayatkan:

أَنَّ امْرَأَةً، قَالَتْ لِعَائِشَةَ أَتَجْزِي إِحْدَانَا صَلاَتَهَا إِذَا طَهُرَتْ فَقَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ كُنَّا نَحِيضُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَلاَ يَأْمُرُنَا بِهِ‏.‏ أَوْ قَالَتْ فَلاَ نَفْعَلُهُ‏.‏

Seorang wanita berkata kepada ‘Aisyah radiallahu ‘anhu: Perlukah salah seorang daripada kami menggantikan solatnya apabila dia suci? ‘Aisyah radiallahu ‘anhu berkata: Adakah engkau golongan Haruriyyah? Kami mengalami haidh di zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda tidak menyuruh kami melakukannya (iaitu mengganti solat).[1]

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلاَةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي ‏

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apabila datangnya haidh, maka tinggalkanlah solat. Apabila telah selesai haidh, mandilah dan dirikanlah solat.[2]

Haram untuk mendirikan sebarang jenis solat tidak kira solat itu sunat atau fardhu. Begitu juga disepakati tidak perlu mengqadha solat tersebut.[3]

2-      Puasa

عَنْ مُعَاذَةَ، قَالَتْ سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ وَلاَ تَقْضِي الصَّلاَةَ فَقَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ قُلْتُ لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ وَلَكِنِّي أَسْأَلُ ‏.‏ قَالَتْ كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ ‏.‏

Daripada Mu’azah, beliau berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah radiallahu ‘anhu: Kenapa wanita haidh menggantikan puasa dan tidak menggantikan solat. ‘Aisyah menjawab: Adakah engkau golongan Haruriyyah? Aku menjawab: Tidak, aku bukan Haruriyyah, akan tetapi aku sekadar bertanya. ‘Aisyah menjawab: Kami jua mengalami haidh. Kami disuruh untuk mengqadhakan puasa dan tidak disuruh mengqadhakan solat.[4]

Haram berpuasa untuk wanita yang haidh, dan tidak sah puasanya. Ulama juga bersepakat bahawa puasa tersebut wajib diqadha.[5]

3-      Tawaf

عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ أَنَّهَا قَالَتْ قَدِمْتُ مَكَّةَ وَأَنَا حَائِضٌ، وَلَمْ أَطُفْ بِالْبَيْتِ، وَلاَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، قَالَتْ فَشَكَوْتُ ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي ‏”‏‏.‏

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Aku tiba di mekah dan aku dalam keadaan haidh. Aku tidak tawaf di Ka’bah, tidak juga (melakukan sa’i) antara Saffa dan Marwah. Aku mengadu hal itu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda: Lakukanlah apa yang dilakukan oleh jemaah haji selain daripada tawaf di Ka’bah sehinggalah engkau telah suci.[6]

Haram melakukan tawaf. Ulama juga bersepakat tidak sah tawaf sunat atau fardhu yang dilakukan mereka.[7]

 

 

 

4-      Jima’

فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

Tinggalkanlah wanita yang dalam keadaan haidh, dan janganlah mendekati (iaitu menggauli mereka) sehingga mereka telah suci. Apabila mereka telah bersuci, datangilah mereka daripada mana sahaja yang Allah arahkan. [Al-Baqarah : 222]

عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ الْيَهُودَ، كَانُوا إِذَا حَاضَتِ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا وَلَمْ يُجَامِعُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ فَسَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى ‏{‏ وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ‏}‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ اصْنَعُوا كُلَّ شَىْءٍ إِلاَّ النِّكَاحَ ‏”‏ ‏.‏ فَبَلَغَ ذَلِكَ الْيَهُودَ فَقَالُوا مَا يُرِيدُ هَذَا الرَّجُلُ أَنْ يَدَعَ مِنْ أَمْرِنَا شَيْئًا إِلاَّ خَالَفَنَا فِيهِ

Daripada Anas radiallahu ‘anhu, beliau menceritakan bahawa apabila seorang wanita mengalami haidh, orang Yahudi tidak akan makan bersamanya, tidak akan bergaul dengan mereka di rumah. Lalu sahabat-sahabat nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam akan hal ini. Lalu turunlah ayat (seperti di atas).. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Lakukanlah segala sesuatu kecuali persetubuhan. Hal itu sampai kepada orang Yahudi, lalu mereka berkata: Lelaki ini tidak mahu membiarkan apa-apa sahaja urusan kami kecuali dia akan menyelisihinya. [8]

Haram untuk melakukan persetubuhan dengan pasangan yang dalam keadaan haidh/nifas. Ia merupakan satu dosa besar[9]. Bermesra dengan pasangan yang haidh/nifas pada bahagian tubuh selain daripada antara pusat dan lutut adalah dibenarkan, dan ulama bersepakat tentangnya.[10]

5-      Membaca al-Quran di dalam hati dan berzikir dengan lisan

Ulama bersepakat bahawa wanita haidh/nifas dibenarkan membaca al-Quran di dalam hati tanpa menggerakkan lidah, dan melihat mushaf tanpa menyentuh. Begitu juga ulama sepakat dibenarkan bertasbih dan apa-apa zikir selain daripada al-Quran.[11]

 

Perkara-perkara yang diperselisihkan berkaitan wanita haidh/nifas

1-      Adakah sah taharah seorang wanita haidh/nifas?

Ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Di dalam mazhab Syafie, bersucinya seorang wanita yang haidh/nifas seperti wudhu dan mandi wajib/sunat adalah tidak sah. Bahkan ia haram dilakukan kerana ini termasuk bermain-main dengan ibadah. Adapun jika ia dilakukan sekadar untuk membersihkan badan tanpa niat ibadah, maka ia diharuskan.[12] Ini adalah pendapat majoriti ulama.[13]

Sebahagian ulama salaf membenarkan wanita haidh untuk berwudhu.

عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ: قُلْتُ لِعَطَاءٍ: أَكَانَتِ الْحَائِضُ تُؤْمَرُ أَنْ تَتَوَضَّأَ عِنْدَ وَقْتِ كُلِّ صَلَاةٍ، ثُمَّ تَجْلِسُ فَتُكْثِرُ وَتَذْكُرُ اللَّهَ سَاعَةً؟ قَالَ: «لَمْ يَبْلُغْنِي فِي ذَلِكَ شَيْءٌ وَإِنَّ ذَلِكَ لَحَسَنٌ». قَالَ مَعْمَرٌ: «وَبَلَغَنِي أَنَّ الْحَائِضَ كَانَتْ تُؤْمَرُ بِذَلِكَ عِنْدَ وَقْتِ كُلِّ صَلَاةٍ»

Daripada Ibnu Juraih, beliau bertanya kepada ‘Atho’: Adakah wanita haidh disuruh untuk berwudhu setiap kali solat, kemudian duduk lalu membanyakkan berzikir kepada Allah? Atho’ menjawab: Aku tidak mendapati apa-apa dalil berkaitan itu. Sesungguhnya itu perkara yang baik. Ma’mar berkata: Telah sampai kepada ku bahawa wanita haidh disuruh melakukan begitu setiap kali masuk waktu solat.[14]

Ulama yang membenarkan turut mengqiaskan dengan mereka yang dalam keadaan junub yang disunnahkan berwudhu sebelum tidur untuk meringankan hadas. Ini pendapat Shaikh Salih al-Fawzan.[15]

2-      Membaca al-Quran

عَنْ ابْنِ عُمَرَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” لَا تَقْرَأْ الْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ ”

Ibn ‘Umar meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Janganlah orang yang haidh dan junub membaca apa-apa pun daripada al-Quran.[16]

Kata Imam an-Nawawi:

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi, dan selain mereka. Ia merupakan hadis lemah. Ia dilemahkan oleh Imam al-Bukhari, al-Baihaqi, dan selain mereka. Kelemahan hadis ini jelas.[17]

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلِمَةَ، قَالَ أَتَيْتُ عَلِيًّا أَنَا وَرَجُلاَنِ، فَقَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَخْرُجُ مِنَ الْخَلاَءِ فَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَأْكُلُ مَعَنَا اللَّحْمَ وَلَمْ يَكُنْ يَحْجُبُهُ عَنِ الْقُرْآنِ شَىْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةَ

Abdullah bin Salimah radiallahu ‘anhu berkata: Aku dan dua orang lelaki pergi menemui ‘Ali radiallahu ‘anhu. ‘Ali berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sering keluar daripada tandas lalu baginda membaca al-Quran, dan makan daging bersama kami. Tidak ada apa yang menghalangnya daripada membaca al-Quran kecuali janabah.[18]

Ulama berbeza pendapat tentang status hadis ini. Imam an-Nawawi berkata:

Diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi, an-Nasaie, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selain mereka. Imam at-Tirmizi berkata: Hadis hasan sahih. Ulama-ulama hadis yang lain pula berkata: Ia hadis dhaif. Imam al-Syafie meriwayatkan dalan Sunan Harmalah lalu berkata: Seandainya hadis ini sahih, maka ia menjadi dalil untuk haramnya orang yang junub membaca al-Quran.

Ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Di dalam mazhab Syafie, ia diharamkan. Ia juga pendapat yang diriwayatkan daripada ‘Umar, ‘Ali, Jabir radiallahu ‘anhu. Ia jua pendapat Al-Hasan Al-Basri, Qatadah, ‘Atho’, dan lain-lain.

Imam Malik, Abu Hanifah, dan Ahmad mempunyai dua riwayat pendapat mereka. Satu riwayat menyatakan ia diharamkan, satu riwayat lagi menyatakan ia dibenarkan. Antara ulama lain yang membenarkan jua adalah Daud az-Zahiri.[19] Pendapat yang membenarkan jua diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas,  dan Ibn al-Musayyib.[20]

Sebahagian ulama membezakan antara orang yang junub dan haidh. Shaikh Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz menyebutkan dalam fatwanya wanita haidh boleh membaca al-Quran, janabah tidak boleh. Ini kerana[21]:

  • Dalil melarang wanita haidh tidak sahih
  • Haidh dan janabah tidak sama. Janabah seseorang boleh memilih mandi wajib cepat atau tidak. Manakala haidh dan nifas tidak.
  • Qias haidh dan janabah tidak tepat kerana keadaan orang haidh dan janabah berbeza.

 

3-      Menyentuh mushaf al-Quran

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ (79(

Tidak boleh menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci. [Al-Waqi’ah : 79]

عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ حَزْمٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ جَدِّهِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَنَّهُ كَتَبَ إِلَى أَهْلِ الْيَمَنِ بِكِتَابٍ فِيهِ الْفَرَائِضُ ، وَالسُّنَنُ ، وَالدِّيَاتُ ، وَبَعَثَ بِهِ مَعَ عَمْرِو بْنِ حَزْمٍ ، فَذَكَرَ الْحَدِيثَ ، وَفِيهِ : ” و لا يَمَسَّ الْقُرْآنَ إِلا طَاهِرًا ”

‘Amru bin Hazm radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasalam menulis surat kepada penduduk Yaman. Surat itu mengandungi perkara-perkara wajib, sunat dan ad-Diyat. Baginda mengutus ‘Amru bin Hazm menghantar surat itu. Di dalam surat itu tertulis: Tidak boleh menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci. [As-Sunan Al-Kubra Lil Baihaqi, hadis no: 375]

Diharamkan wanita haidh/nifas untuk menyentuh al-Quran di sisi mazhab Syafie.[22] . Ini juga pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, dan majoriti ulama. Al-Hakam, Hammad dan Daud berpendapat: Dibenarkan menyentuhnya dan membawanya.[23]

4-      Masuk ke masjid

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا

Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah kalian mendekati tempat solat dalam keadaan kalian mabuk sehinggalah kalian faham apa yang kalian katakan. Tidak juga orang yang junub kecuali sekadar lalu sehinggalah kalian mandi. [An-Nisa’:43]

عَنْ جَسْرَةَ، قَالَتْ أَخْبَرَتْنِي أُمُّ سَلَمَةَ، قَالَتْ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ صَرْحَةَ هَذَا الْمَسْجِدِ فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ ‏ “‏ إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ

Jasrah berkata: Ummu Salamah radiallahu ‘anha menceritakan kepada aku: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke pintu masuk masjid dan menyeru dengan kuat: Sesungguhnya masjid tidak halal untuk orang junub dan haidh.[24]

Di sisi mazhab Syafie, haram untuk wanita duduk di dalam masjid kecuali sekadar untuk lalu sahaja. Akan tetapi jika keadaannya boleh menyebabkan darah haidh mengotori masjid, maka berjalan melalui dalam masjid jua diharamkan menurut mazhab Syafie, akan tetapi jika diyakini tidak mengotori masjid, maka dibenarkan lalu di masjid.[25]

Pendapat yang melarang ini adalah pendapat Sufyan at-Tsauri, Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq dan mereka hanya membenarkan lalu apabila tiada laluan lain, dan Imam Ahmad hanya membenarkan apabila ada keperluan. Imam al-Muzani, Daud al-Zahiri dan Ibnu al-Munzir pula berpendapat dibenarkan wanita haidh duduk dalam masjid.[26]

Ulama yang membenarkan pula berhujah dalil-dalil yang melarang adalah dhaif, dan mereka jua berhujah dengan dalil-dalil di bawah:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ku: Ambilkan untuk ku tikar di masjid. Aku menjawab: Sesungguhnya aku haidh. Baginda berkata: Sesungguhnya haidh mu itu bukan di tangan mu.[27]

عَنْ حُذَيْفَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَقِيَهُ وَهُوَ جُنُبٌ فَحَادَ عَنْهُ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ كُنْتُ جُنُبًا ‏.‏ قَالَ ‏ “‏ إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجُسُ

Huzaifah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menemuinya dalam keadaan dia berjunub. Dia pun beredar daripada baginda lalu mandi, kemudian datang dan berkata: Aku tadi dalam keadaan junub. Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Muslim itu tidak najis.[28]

 

5-      Menggauli isteri yang haidh/nifas tetapi tidak berjima’

 

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

اصْنَعُوا كُلَّ شَىْءٍ إِلاَّ النِّكَاحَ

Lakukanlah segala sesuatu kecuali persetubuhan.[29]

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَتْ إِحْدَانَا إِذَا كَانَتْ حَائِضًا، فَأَرَادَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ يُبَاشِرَهَا، أَمَرَهَا أَنْ تَتَّزِرَ فِي فَوْرِ حَيْضَتِهَا ثُمَّ يُبَاشِرُهَا‏.‏ قَالَتْ وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَمْلِكُ إِرْبَهُ‏

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahawa salah seorang daripada kami apabila mengalami haidh, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ingin menggaulinya, maka baginda menyuruh isterinya untuk memakain kain pada bahagian haidhnya kemudian baginda akan menggaulinya. ‘Aisyah berkata: Siapa di kalangan kalian yang mampu mengawal nafsunya sebagaimana nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengawal nafsunya?[30]

Di sisi mazhab Syafie, diharamkan untuk menggauli isteri yang haidh/nifas pada bahagian tubuhnya yang berada antara pusat dan lutut walau tanpa jima. Sebahagian ulama mazhab Syafie membenarkannya. Imam an-Nawawi menyatakan pendapat yang membenarkan lebih kuat daripada sudut dalil dan digalakkan dalam keadaan bahagian tersebut ditutupi kain.[31]

Ulama lain yang mengharamkan untuk menggauli pada bahagian antara pusat dan lutut tanpa jima’ ialah Abu Hanifah, Malik dan ini merupakan pendapat majoriti ulama.

Ulama yang membenarkan pula ialah ‘Ikrimah, Mujahid, Al-Sya’bi, Al-Nakhaie, Al-Tsauri, Al-Awzaie, Muhammad bin al-Hasan, Ahmad dan lain-lain.[32]

 

6-      Melakukan sujud syukur dan tilawah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ السَّجْدَةَ وَنَحْنُ عِنْدَهُ فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ فَنَزْدَحِمُ حَتَّى مَا يَجِدُ أَحَدُنَا لِجَبْهَتِهِ مَوْضِعًا يَسْجُدُ عَلَيْهِ‏.‏

Daripada Ibnu ‘Umar radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam membaca ayat al-Quran yang mengandungi ayat Sajjadah, ketika itu kami ada bersama baginda. Lalu baginda sujud, kami pun sujud bersama baginda, kami bersesak-sesak sehingga sebahagian daripada kami tidak mendapati tempat untuk meletakkan dahi ketika sujud.[33]

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Daripada Abu Bakrah radiallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa apabila datangnya kepada baginda sesuatu yang menggembirakan, baginda akan sujud bersyukur kepada Allah.[34]

Di sisi mazhab Syafie diharamkan melakukan sujud tilawah bagi wanita haidh. Ini kerana ianya seperti solat dan antara syarat sahnya adalah suci.[35] Ia perlu kepada syarat-syarat sah solat seperti suci daripada hadas dan najis, menghadap qiblat dan menutup aurat.[36] Begitu juga untuk sujud syukur, di sisi mazhab Syafie syaratnya sama seperti syarat sujud tilawah.[37]Ini juga adalah pendapat majoriti ulama.[38]

Sebahagian ulama membenarkan wanita haidh/nifas untuk melakukan sujud tilawah dan syukur kerana ia bukan sebahagian daripada solat. Ini adalah pendapat Ibnu Taimiyyah.[39]

[1] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Haidhi, no: 321.

[2] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Haidhi, no: 331.

[3] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 265.

[4] Sahih Muslim, Kitab al-Haidhi, no: 335.

[5] Al-Majmu’, jilid 2, 266.

[6] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, no: 1650.

[7] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 267.

[8] Sahih Muslim, Kitab al-Haidhi, no: 302

[9] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 269

[10] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 271

[11] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 268

[12] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 264

[13] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 266

[14] Musannaf Abdul Razzaq, Bab Wudhu al-Haidh ‘Inda Kulli Waqt al-Solat, no: 1222

[15] Rujuk http://www.alfawzan.af.org.sa/node/7755

[16] Sunan at-Tirmizi, Kitab at-Taharah, no: 131, dhaif

[17] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 124.

[18] Sunan an-Nasaie, Kitab at-Taharah, no: 266.

[19] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 268.

[20] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 127.

[21] Rujuk http://www.binbaz.org.sa/mat/333

[22] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 268

[23] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 62.

[24] Sunan Ibn Majah, Kitab at-Taharah, no: 688, ulama berbeza pendapat tentang status riwayat ini lemah atau tidak.

[25] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 268.

[26] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 128-129.

[27] Sahih Muslim, Kitab al-Haidhi, no: 299.

[28] Sahih Muslim, Kitab al-Haidhi, no: 372.

[29] Sahih Muslim, Kitab al-Haidhi, no: 302

[30] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Haidhi, no: 302

[31] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 270-271

[32] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 271

[33] Sahih al-Bukhari, Kitab Sujud al-Quran, no: 1076.

[34] Sunan Abi Daud, Kitab al-Jihad, no: 2774.

[35] Al-Majmu’, jilid 2, m/s 265

[36] Al-Majmu’, jilid 3, m/s 385

[37] Al-Majmu’, jilid 3, m/s 389

[38] Al-Mughni, jilid 1, m/s 685.

[39] Majmu’ al-Fatawa, jilid 21, m/s 293, & jilid 23, m/s 165.