Bagaimana memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah

tawassul nama nama allah

Bagaimana memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah

Pertama: Nama-nama dan sifat-sifat Allah adalah tauqifiyyah

Hendaklah kita ketahui bahawa nama-nama Allah bukanlah merupakan perkara yang boleh difikir-fikirkan. Sebaliknya ia merupakan perkara yang mesti dibina di atas dalil wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Dr. Sa’id bin Ali al-Qahtani berkata dalam Syarah al-Asma’ al-Husna:

أسماء الله تعالى توقيفية لا مجال للعقل فيها، وعلى هذا فيجب الوقوف فيها على ما جاء به الكتاب والسنة، فلا يزاد فيها ولا ينقص؛ لأن العقل لا يمكنه إدراك ما يستحقه تعالى من الأسماء فوجب الوقوف في ذلك على النص لقوله تعالى

Nama-nama Allah merupakan urusan Tauqifiyyah. Tiada ruang untuk aqal padanya. Oleh kerana itu, wajib untuk berhenti pada apa yang ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ini kerana akal tidak mungkin mampu menentukan apakah nama-nama yang layak untuk Allah. Wajib untuk mengikut dalil dalam hal ini berdasarkan firman Allah:

: ] وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً [. وقوله: ] قُلْ إِنَّـمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الـْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُواْ بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُواْ عَلَى اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ [؛ ولأن تسميته تعالى بما لم يُسمِّ به نفسه،أو إنكار ما سَمَّى به نفسه جناية في حقه تعالى فوجب سلوك الأدب في ذلك،والاقتصار على ما جاء به النص.

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan. (Al-Isra: 36). FirmanNya lagi: Katakanlah: Tuhanku mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan berkata-kata terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”. (Al-A’raf :33)

Ini kerana menamakan Allah dengan apa yang Dia tidak namakan pada diriNya dan mengingkari nama yang Dia berikan pada dirinya merupakan satu jenayah pada hak Allah. Wajib beradab dalam hal ini, mencukupkan diri dengan apa yang ada dalam dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah.[1]

Kedua: Nama-Nama Allah Kesemuanya Indah[2]

Asas kepada pembelajaran subjek nama-nama Allah ialah ayat berikut:

وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الـْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُواْ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَآئِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

Allah memiliki nama-nama yang indah. Berdoalah dengan nama-nama tersebut. Tinggalkanlah mereka yang menyeleweng pada nama-namaNya. Mereka akan dibalas atas apa yang mereka lakukan. [al-A’raf : 180]

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى (8(

Allah. Tiada tuhan yang berhak disembahlah selain Allah. MilikNya nama-nama yang indah [Thaha : 8]

Nama-nama Allah semuanya indah. Tidak ada satu pun nama-nama yang buruk pada Allah. Bahkan jika ada nama-nama Allah yang zahirnya kelihatan tidak elok, ia perlu dinilai dengan cara yang benar. Ini kerana nama-nama Allah boleh dibahagikan kepada dua kategori:

Pertama: Nama-nama Allah yang secara zahir nampak ia satu sifat kemuliaan. Ia tidak perlu digandingkan dengan mana-mana nama untuk memahami kemuliaan nama dan sifat tersebut. Ini merupakan kebanyakan nama-nama Allah seperti Al-Qadir, As-Sami’, Al-Bashir dan lain-lain.

Kedua: Nama-nama Allah yang secara zahir nampak ia seperti nama dan sifat yang tercela. Nama-nama ini tidak boleh disebut bersendirian kerana apabila disebut bersendirian maka ia bukanlah merupakan satu bentuk pujia kepada Allah. Tetapi ia menjadi satu nama yang indah dan mulia apabila ia disebut dengan nama lain yang membawa sifat yang bertentangan.

Contohnya:

Al-Mani’ yang bermaksud Yang Maha Menghalang. Ia zahirnya bukanlah satu nama yang indah. Ia hanya menjadi indah apabila digandingkan dengan nama Allah Al-Mu’thiy yang bermaksud Yang Maha Memberi. Apabila disebutkan dengan nama yang lain ia menunjukkan keagungan Allah yang mana dia mampu menghalang apa yang Dia tidak mahu, dan Dia akan memberi kepada sesiapa yang Dia mahu. Ia juga menunjukkan sifat pemurah Allah di mana, walau tiada siapa yang boleh memaksa Allah untuk memberi nikmatNya, tetapi dia tetap memberi.

Begitu juga nama Allah Al-Muntaqim yang bermaksud Maha Membalas Dendam. Ia bukanlah satu sifat yang mulia pada zahirnya, tetapi ia akan menunjukkan kemuliaan Allah apabila ia digandingkan dengan sifat Allah yang lain seperti Al-Afw yang bermaksud yang Maha Pemaaf.

Ketiga: Nama-Nama Allah Tidak Terbatas

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا ، مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا ، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ” أَحْصَيْنَاهُ : حَفِظْنَاهُ .

Abu Hurairah radiallahu ‘ meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama,sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, hadis no:6867]

Ini tidaklah bermaksud nama Allah terbatas kepada 99 sahaja. Ada banyak nama Allah yang tidak diketahui manusia yang Allah tidak sebutkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Dalam sebuah riwayat yang ulama hadis sebahagiannya menyatakan dhaif dan sebahagian menyatakan sahih:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَا أَصَابَ أَحَدًا قَطُّ هَمٌّ وَلَا حَزَنٌ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ، إِلَّا أَذْهَبَ اللَّهُ هَمَّهُ وَحُزْنَهُ ، وَأَبْدَلَهُ مَكَانَهُ فَرَجًا ” ، قَالَ : فَقِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَلَا نَتَعَلَّمُهَا ؟ فَقَالَ : ” بَلَى ، يَنْبَغِي لِمَنْ سَمِعَهَا أَنْ يَتَعَلَّمَهَا ” .

‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca:

“Ya Allah, sesungguhnya aku hamba Mu, anak kepada hamba Mu, anak kepada hamba perempuan Mu, ubun-ubun ku di Tangan Mu, telah berlalunya keputusan Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan Mu, aku memohon kepada Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib Mu, (aku memohon kepada Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kesusahan ku”

melainkan pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar. Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu bertanya: Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajaridoa ini? Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya.

[Musnad Ahmad, Musnad 10 Yang Dijamin Syurga, Musnad Abdullah bin Mas’ud, hadis no: 3583. Shaikh Syu’aib berkata: Isnadnya Dhaif, manakala Shaikh al-Albani mensahihkannya di dalam al-Silsilah al-Sahihah: 199]

Imam an-Nawawi berkata dalam Syarah Sahih Muslim:

وَاتَّفَقَ الْعُلَمَاء عَلَى أَنَّ هَذَا الْحَدِيث لَيْسَ فِيهِ حَصْر لِأَسْمَائِهِ سُبْحَانه وَتَعَالَى ، فَلَيْسَ مَعْنَاهُ : أَنَّهُ لَيْسَ لَهُ أَسْمَاء غَيْر هَذِهِ التِّسْعَة وَالتِّسْعِينَ ، وَإِنَّمَا مَقْصُود الْحَدِيث أَنَّ هَذِهِ التِّسْعَة وَالتِّسْعِينَ مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّة ،

Ulama bersepakat bahawa hadis ini tidak menunjukkan batasan jumlah nama-nama Allah. Tidaklah hadis ini bermaksud: Bahawa tiada nama lain selain daripada 99 nama ini. Sesungguhnya maksud hadis ini ialah jika seseorang mengamalkan 99 nama ini, maka dia akan masuk syurga.[3]

Imam Ibn al-Qayyim menerangkan:

أن الأسماء الحسنى لا تدخل تحت حصر ولا تحد بعدد فإن لله تعالى أسماء وصفات استأثر بها في علم الغيب عنده لا يعلمها ملك مقرب ولا نبي مرسل كما في الحديث… فجعل أسماءه ثلاثة أقسام قسم سمى به نفسه فأظهره لمن شاء من ملائكته أو غيرهم ولم ينزل به كتابه وقسم أنزل به كتابه فتعرف به إلى عباده، وقسم استأثر به في علم غيبه فلم يطلع عليه أحد من خلقه

Nama-nama Allah yang indah tidaklah terbatas bilangannya. Sesungguhnya Allah memiliki nama dan sifat yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaibNya. Malaikat yang rapat denganNya pun tidak mengetahui, tidak juga para nabi yang diutuskan, sebagaimana dalam hadis (riwayat Ahmad di atas). Dia telah menjadikan namanya kepada tiga kategori. (Kategori pertama): Nama yang Dia berikan kepada diriNya dan Dia menzahirkan hal itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada malaikatNya, dan selain mereka tetapi Dia tidak menyatakannya di dalam kitabNya. (Kategori kedua) Kategori nama yang Dia turunkan dalam kitabNya untuk mengenalkanNya kepada hamba-hambaNya, dan (Kategori ketiga) nama-nama yang Dia rahsiakan pada ilmu ghaibNya dan tidak diketahui satu makhluk pun.[4]

Keempat: Tiada Dalil Sahih Menyatakan 99 Nama

Kebanyakan nasyid-nasyid Al-Asma’ Al-Husna yang popular di Malaysia adalah berdasarkan sepotong hadis yang tidak sahih.

Antara contoh hadis tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi di dalam sunannya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ لِلَّهِ تَعَالَى تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً غَيْرَ وَاحِدَةٍ مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ هُوَ اللَّهُ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, sesiapa yang menghitungnya akan memasuki syurga. Dia lah Allah yang Tiada tuhan yang berhak disembah selain dia….(lalu disebutkan satu persatu nama Allah)

الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلاَمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ الْغَفَّارُ الْقَهَّارُ الْوَهَّابُ الرَّزَّاقُ الْفَتَّاحُ الْعَلِيمُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الْخَافِضُ الرَّافِعُ الْمُعِزُّ الْمُذِلُّ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ الْحَكَمُ الْعَدْلُ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ الْحَلِيمُ الْعَظِيمُ الْغَفُورُ الشَّكُورُ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ الْحَفِيظُ الْمُقِيتُ الْحَسِيبُ الْجَلِيلُ الْكَرِيمُ الرَّقِيبُ الْمُجِيبُ الْوَاسِعُ الْحَكِيمُ الْوَدُودُ الْمَجِيدُ الْبَاعِثُ الشَّهِيدُ الْحَقُّ الْوَكِيلُ الْقَوِيُّ الْمَتِينُ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ الْمُحْصِي الْمُبْدِئُ الْمُعِيدُ الْمُحْيِي الْمُمِيتُ الْحَىُّ الْقَيُّومُ الْوَاجِدُ الْمَاجِدُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ الْقَادِرُ الْمُقْتَدِرُ الْمُقَدِّمُ الْمُؤَخِّرُ الأَوَّلُ الآخِرُ الظَّاهِرُ الْبَاطِنُ الْوَالِي الْمُتَعَالِي الْبَرُّ التَّوَّابُ الْمُنْتَقِمُ الْعَفُوُّ الرَّءُوفُ مَالِكُ الْمُلْكِ ذُو الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ الْمُقْسِطُ الْجَامِعُ الْغَنِيُّ الْمُغْنِي الْمَانِعُ الضَّارُّ النَّافِعُ النُّورُ الْهَادِي الْبَدِيعُ الْبَاقِي الْوَارِثُ الرَّشِيدُ الصَّبُورُ ‏”‏ ‏.‏

[Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat, hadis no: 3507]

Akan tetapi hadis di atas dhaif.

Shaikh Abdul Razzaq menyatakan bahawa Ibn Taimiyyah berkata bahawa susunan nama-nama ini sebenarnya disusun oleh sebahagian ulama salaf yang mana mereka cuba mengumpulkan 99 nama Allah yang mereka temui dalam al-Quran.[5]

Kelima: Apakah maksud menghafaznya sehingga dapat masuk syurga?

Janji masuk syurga merupakan satu janji yang sangat besar. Kelihatan terlalu mudah untuk masuk syurga, cukup dengan menghafaz 99 nama Allah. Hakikatnya ini merupakan satu salah faham yang nyata. Hakikatnya tidaklah semudah itu. Syurga tidaklah terlalu murah sehingga harganya hanya sekadar hafazan 99 nama.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan di dalam Fathul Bari:

وقال بن عطية معنى أحصاها عدها وحفظها ويتضمن ذلك الإيمان بها والتعظيم لها والرغبة فيها والاعتبار بمعانيها وقال الأصيلي ليس المراد بالإحصاء عدها فقط لأنه قد يعدها الفاجر وانما المراد العمل بها وقال أبو نعيم الأصبهاني الإحصاء المذكور في الحديث ليس هو التعداد وانما هو العمل والتعقل بمعاني الأسماء والايمان بها.

Ibn ‘Atiyyah berkata: Makna menghitungnya ialah mengiranya, menghafaznya yang beserta dengan keimanan kepada nama-nama tersebut, pengagungan kepadaNya, dan tunduk kepadaNya serta mengambil pengajaran daripada maksud-maksud nama tersebut. Al-Asili berkata: Bukanlah maksudnya untuk mengira bilangannya sahaja kerana orang jahat pun mampu mengiranya. Sesungguhnya maksud hadis ini ialah untuk beramal dengannya. Abu Nu’aim al-Asbahani berkata: Menghitung yang disebutkan dalam hadis bukanlah bermaksud mengira. Sesungguhnya ia bermaksud beramal, berfikir tentang maksud nama-nama Allah dan beriman dengannya.

وقال أبو عمر الطلمنكي من تمام المعرفة بأسماء الله تعالى وصفاته التي يستحق بها الداعي والحافظ ما قال رسول الله صلى الله عليه و سلم المعرفة بالأسماء والصفات وما تتضمن من الفوائد وتدل عليه من الحقائق ومن لم يعلم ذلك لم يكن عالما لمعاني الأسماء ولا مستفيدا بذكرها ما تدل عليه من المعاني.

Abu Umar al-Thalamanki berkata: Daripada kesempurnaan mengenali nama-nama dan sifat-sifat Allah, yang mana jika seseorang itu berdoa dan menghafaznya, maka dia akan memperolehi apa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam katakan, iaitu dengan mengetahui nama-nama dan sifat tersebut dan apa sahaja faedah dan hakikat yang wujud daripadanya. Sesiapa yang tidak mengetahui hal-hal tersebut, maka dia bukanlah seseorang yang memahami maksud nama-nama itu, dan dia tidak mendapat faedah dengan menyebutnya.[6]

Imam Ibn al-Qayyim menerangkan dengan lebih jelas bagaimana cara kita untuk beramal dengan nama-nama Allah sehingga mendapat ganjaran syurga:

الثاني عشر في بيان مراتب إحصاء أسمائه التي من أحصاها دخل الجنة. وهذا هو قطب السعادة ومدار النجاة والفلاح.  المرتبة الأولى إحصاء ألفاظها وعددها . المرتبة الثانية فهم معانيها ومدلولها . المرتبة الثالثة دعاؤه بها كما قال تعالى ولله الأسماء الحسنى فادعوه بها الأعراف 180 وهو مرتبتان. إحداهما دعاء ثناء وعبادة والثاني دعاء طلب ومسألة

Bab kedua belas pada menyatakan martabat menghitung nama Allah yang mana sesiapa menghitungnya akan masuk syurga. Ini merupakan paksi kebahagiaan, dan kejayaan. Martabat pertama: Menghitung dengan mengira dan menyebut nama-nama itu. Martabat kedua: Memahami maksud nama-nama itu dan kandungannya. Martabat ketiga: Berdoa dengannya sebagaimana firman Allah: Allah memiliki nama-nama yang indah, berdoalah dengannya [al-A’raf : 180]. Doa ini ada dua kategori. Salah satunya ialah doa ibadah, dan yang kedua ialah doa masalah.[7]

[1] Syarah al-Asma’ al-Husna, m/s 10

[2] Ringkasan daripada Syarah al-Asma’ al-Husna, m/s 20-21

[3] Al-Minhaj, Syarah Sahih Muslim, jilid 9, m/s 39

[4] Badai’ al-Fawaid, m/s 176

[5] Rujuk Fiqh al-Asma’ al-Husna, m/s 63-64

[6] Fathul Bari, jilid 11, m/s 226

[7] Badai’ al-Fawaid, m/s 171-172