Bukan Hanya Lapar dan Dahaga

Puasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Boleh jadi ada orang yang berpuasa, dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan kelaparan. Boleh jadi ada orang yang bangun melakukan qiamullail, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada qiamullailnya melainkan berjaga malam semata-mata. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam (Puasa), hadis no: 1680. Shaikh al-Albani menyatakan ia hasan sahih dalam Sahih Ibn Majah]

 

Bagaimana Allah yang maha adil boleh menghukum insan sebegitu rupa. Seseorang yang berpuasa daripada makan dan minum, mustahil Allah tidak memberi apa-apa. Lalu kenapa insan ini hanya memperolehi lapar dan dahaga tanpa sebarang pahala?

Imam Abu ‘Abdillah Muhammad Bin Yazid al-Qazwini (أبو عبد الله محمد بن يزيد القزويني) atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Majah meletakkan hadis di atas dalam Kitab al-Siyam (Puasa) di bawah bab: (بَاب مَا جَاءَ فِي الْغِيبَةِ وَالرَّفَثِ لِلصَّائِمِ) Mengumpat dan Berkata Yang Buruk Oleh Seseorang Yang Berpuasa.

Tajuk bab sahaja sudah menunjukkan apakah puncanya puasa seseorang menjadi rugi tanpa pahala.

Hadis-hadis lain dalam bab ini menghuraikan lagi apakah punca puasa tidak mendapat pahala.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْجَهْلَ وَالْعَمَلَ بِهِ ، فَلَا حَاجَةَ لِلَّهِ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ” .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan bodoh (maksiat), dan beramal pula dengannya. Allah tiada hajat langsung kepada puasanya dia daripada makan dan minum. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam (Puasa), hadis no: 1679]

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ ، وَلَا يَجْهَلْ ، وَإِنْ جَهِلَ عَلَيْهِ أَحَدٌ ، فَلْيَقُلْ : إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Pada hari seseorang daripada kalian berpuasa, janganlah dia berkata perkataan yang keji, bukan jua melakukan perkara yang bodoh (maksiat) . Jika seseorang memprovokasinya, hendaklah dia menjawab: Sesungguhnya aku berpuasa. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam (Puasa), hadis no: 1681]

 

Apakah maksud ‘Allah tiada hajat langung kepada puasanya’. Imam as-Sindi dalam Hasyiahnya menerangkan:

كِنَايَة عَنْ عَدَم الْقَبُول

Ia merupakan kiasan kepada tidak diterimanya (puasa tersebut).

أَيْ لَيْسَ لِصَوْمِهِ قَبُول عِنْد اللَّه فَلَا ثَوَاب لَهُ

Puasanya tidak diterima Allah, dan pelakunya tidak memperolehi pahala.

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan:

قال بعض السلف : أهون الصيام ترك الشراب و الطعام و قال جابر : إذا صمت فليصم سمعك و بصرك و لسانك عن الكذب و المحارم و دع أذى الجار و ليكن عليك وقار و سكينة يوم صومك و لا تجعل يوم صومك و يوم فطرك سواء

Sebahagian ulama salaf (ulama kurun tiga terawal Islam) berkata: Seringan-ringan puasa ialah meninggalkan minuman dan makanan. Jabir berkata: Jika engkau berpuasa, maka hendaklah pandangan dan kata-kata mu turut berpuasa daripada berdusta dan perkara yang haram. Tinggalkanlah perbuatan buruk ke atas jiran. Jadilah engkau seorang yang tenang pada hari engkau berpuasa. Jangan engkau jadikan hari puasa mu sama seperti hari engkau tidak berpuasa. [Lathoif al-Maarif]

Hakikatnya, makan, minum, menggauli pasangan yang sah adalah perkara yang halal bahkan boleh menjadi ibadah apabila dilakukan. Tetapi dalam Ramadhan, kita diseru meninggalkan perkara-perkara yang halal ini. Seandainya yang halal ini mampu kita tinggalkan, apa lagi alasan yang ada untuk kita untuk tidak meninggalkan perbuatan yang haram.

Imam Ibn Rajab menukilkan lagi:

أن التقرب إلى الله تعالى بترك المباحات لا يكمل إلا بعد التقرب إليه بترك المحرمات فمن ارتكب المحرمات ثم تقرب إلى الله تعالى بترك المباحات كان بمثابة من يترك الفرائض و يتقرب بالنوافل

Mendekatkan diri kepada Allah dengan meninggalkan perkara yang harus/halal tidak akan sempurna melainkan selepas mendekatkan diri kepada Nya dengan meninggalkan perkara yang haram. Sesiapa yang melakukan perkara yang haram, kemudian beribadah dengan meninggalkan perkara yang halal, keadaannya sama seperti orang yang meninggalkan perkara yang wajib dan melakukan pula perkara yang sunat. [Lathoif al-Maarif]

Jika diteliti ayat-ayat al-Quran berkaitan puasa daripada ayat 185 hingga 187 surah al-Baqarah. Allah dengan Kebijaksanaan Nya berkata pula pada ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan [janganlah] kamu membawa [urusan] harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan [jalan berbuat] dosa, padahal kamu mengetahui.

Imam Ibn Rajab menyebutkan keindahan ayat ini:

و الله أعلم ورد في القرآن بعد ذكر تحريم الطعام و الشراب على الصائم بالنهار ذكر تحريم أكل أموال الناس بالباطل فإن تحريم هذا عام في كل زمان و مكان بخلاف الطعام و الشراب فكان إشارة إلى أن من امتثل أمر الله في اجتناب الطعام و الشراب في نهار صومه فليمتثل أمره في اجتناب أكل الأموال بالباطل فإنه محرم بكل حال لا يباح في وقت من الأوقات

Wallahua’lam. Selepas disebutkan dalam Al-Quran berkaitan penghraman makan dan minum untuk orang yang berpuasa di siang hari, Allah menyebutkan pula pengharaman memakan harta manusia lain dengan jalan yang salah. Sesungguhnya pengharaman ini umum di setiap zaman, tempat. Tidak seperti makan dan minum (yang hanya haram di siang Ramadhan). Ini menunjukkan, sesiapa yang mentaati Allah dengan meninggalkan makan dan minum di siang hari berpuasa, hendaklah dia mentaati perintah Nya dengan meninggalkan memakan harta orang lain dengan cara yang salah. Sesungguhnya ia perbuatan yang haram pada setiap keadaan, tidak pernah ia menjadi harus pada mana-mana waktu.

Semoga kita mendapat puasa yang sempurna tahun ini. Amin!

Rujukan:

Ensiklopedia Hadis, http://library.islamweb.net/hadith/index.php

The Hadith of the Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم) at your fingertips, http://sunnah.com/

Maktabah Syamilah

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *