Category Archives: Bulan-Bulan Islam

Hukum-Hakam Takbir Raya

Dalil-dalil pensyariatan takbir raya

Firman Allah:

وَلِتُكْمِلُواْ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“…hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu.” [Al-Baqarah: 185].

Begitu juga hadis Ummu Atiyyah berkaitan solat raya yang disebutkan tujuan semua wanita keluar ke tempat raya adalah agar dapat bertakbir bersama orang ramai.

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ، قَالَتْ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ‏.‏

Daripada Ummu ‘Atiyyah beliau berkata: Kami disuruh untuk keluar pada hari raya sehingga kami mengeluarkan anak-anak dara daripada tempat tinggal mereka, sehingga kami mengeluarkan wanita haidh, dan mereka duduk di belakang orang ramai. Mereka bertakbir bersama takbir orang ramai, berdoa dengan doa mereka, dan mereka mengharapkan keberkatan dan kesucian hari tersebut. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eid, no: 971].

Imam al-Syafie rahimahullah berkata dalam al-Umm:

قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى : فِي شَهْرِ رَمَضَانَ ( وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ , وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ ) فَسَمِعْت مَنْ أَرْضَى مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ بِالْقُرْآنِ يَقُولَ : لِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ عِدَّةَ صَوْمِ شَهْرِ رَمَضَانَ وَتُكَبِّرُوا اللَّهُ عِنْدَ إكْمَالِهِ عَلَى مَا هَدَاكُمْ , وَإِكْمَالُهُ مَغِيبُ الشَّمْسِ مِنْ آخِرِ يَوْمٍ مِنْ أَيَّامِ شَهْرِ رَمَضَانَ

Allah s.w.t berfirman berkaitan bulan Ramadhan: “…hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu.” Aku pernah mendengar daripada ahli-ahli al-Quran yang aku redha dengan mereka, mereka berkata: mencukupkan bilangan dalam ayat ini bermaksud mencukupkan bilangan puasa bulan Ramadhan dan membesarkan Allah (dengan bertakbir) selepas selesai menyempurnakannya di atas petunjuk yang Dia kurniakan kepada kalian. Sempurnanya (hari-hari puasa) bermula daripada tenggelamnya matahari pada hari akhir bulan Ramadhan.

فَإِذَا رَأَوْا هِلالَ شَوَّالٍ أَحْبَبْتُ أَنْ يُكَبِّرَ النَّاسُ جَمَاعَةً , وَفُرَادَى فِي الْمَسْجِدِ وَالأَسْوَاقِ , وَالطُّرُقِ , وَالْمَنَازِلِ , وَمُسَافِرِينَ , وَمُقِيمِينَ فِي كُلِّ حَالٍ , وَأَيْنَ كَانُوا , وَأَنْ يُظْهِرُوا التَّكْبِيرَ , وَلا يَزَالُونَ يُكَبِّرُونَ حَتَّى يَغْدُوَا إلَى الْمُصَلَّى , وَبَعْدَ الْغُدُوِّ حَتَّى يَخْرُجَ الإِمَامُ لِلصَّلاةِ ثُمَّ يَدَعُوا التَّكْبِيرَ . .

Apabila kelihatannya anak bulan, aku suka agar orang ramai bertakbir, tidak kira sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, di pasar, jalan, mahupun di rumah, tidak kira sama ada mereka orang musafir atau bermukim, dalam semua keadaan di mana sahaja mereka berada dan hendaklah mereka bertakbir dengan kuat. Mereka hendaklah terus bertakbir sehinggalah mereka bergerak ke musolla (untuk solat raya), apabila tiba di musolla sehinggalah imam keluar untuk mendirikan solat (raya). Kemudian hendaklah mereka berhenti bertakbir.

ثم روى عن سعيد ابْن الْمُسَيِّبِ وَعُرْوَةَ بْن الزُّبَيْرِ وَأَبي سَلَمَةَ وَأَبي بَكْرِ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أنهم كانوا يُكَبِّرُونَ لَيْلَةَ الْفِطْرِ فِي الْمَسْجِدِ يَجْهَرُونَ بِالتَّكْبِيرِ .

Diriwayatkan daripada Sa’id bin al-Musayyib, ‘Urwah bin az-Zubair, Abu Salamah, dan Abu Bakar bin Abdul Rahman bahawa mereka bertakbir pada malam raya aidilfitri di masjid dan mereka menguatkan suara ketika bertakbir.

Imam al-Faryabi dalam Ahkam al-Eidain mengumpulkan banyak atsar berkaitan takbir raya, antaranya:

عَنْ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ ” أَنَّهُ كَانَ يُكَبِّرُ بِالْخُرُوجِ إِلَى الْخُطْبَةِ وَالصَّلاةِ “

Daripada ‘Umar bin ‘Abdul Aziz bahawa beliau akan bertakbir ketika keluar untuk khutbah raya dan solat.

عَنِ ابْنِ عُمَرَ : ” أَنَّهُ كَانَ يُكَبِّرُ إِذَا غَدَا إِلَى الْمُصَلَّى يَوْمَ الْعِيدِ

Daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau akan bertakbir dalam perjalan ke musolla pada hari raya.

أَبُو الأَصْبَغِ عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ يَحْيَى ، قَالَ : سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ نَافِعٍ كَيْفَ كَانَ مَالِكٌ يَفْعَلُ فِي التَّكْبِيرِ ؟ ، قَالَ : كَانَ يُكَبِّرُ إِذَا أَتَى الْمُصَلَّى حَتَّى يَجِيءَ الإِمَامُ “

Abu al-Asbagh Abdul Aziz bin Yahya berkata: Aku bertanya kepada Abdullah bin Nafi’: Bagaimanakah Imam Malik bertakbir? Beliau menjawab: Beliau bertakbir apabila beliau hendak pergi ke musolla sehinggalah imam tiba.

Jenis-jenis takbir

Takbir raya boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu takbir mutlak/mursal dan takbir muqayyad. Takbir mursal ialah yang dibaca pada bila-bila masa, manakala takbir muqayyad ialah yang dibaca selepas solat.

Takbir mursal

Takbir mursal disyariatkan untuk kedua-dua jenis hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha iaitu bermula daripada terbenam matahari malam hari raya.

Waktu tamat untuk takbir mursal hari raya Aidilfitri pula, ulama mazhab Syafie berbeza pendapat kepada 3 pendapat.

  • Ia berakhir apabila imam mengangkat takbiratul ihram untuk solat raya. Dan ini pendapat yang asoh dalam mazhab Syafie.
  • Ia berakhir apabila imam keluar untuk mendirikan solat raya.
  • Apabila imam selesai mendirikan solat raya, dikatakan jua apabila selesai dua khutbah raya.

Dua pendapat terakhir ini hanya dilakukan oleh mereka yang tidak pergi mendirikan solat raya di mana mereka akan berhenti bertakbir apabila mereka tahu imam sudah selesai solat. Adapun yang ikut solat dan mendengar khutbah, mereka hendaklah memfokuskan kepada mendengar khutbah.

Untuk takbir mursal ia dilakukan di mana sahaja apabila masih dalam tempoh waktunya sama ada di rumah, jalan, pasar, masjid

[Al-Majmu’, 5/32].

Takbir Muqayyad

Takbir muqayyad iaitu yang dilakukan selepas solat disyariatkan untuk raya Aidiladha, dan ini ijma’.

Adapun untuk hari raya Aidilfitri, ulama mazhab Syafie berbeza pendapat sama ada ia disyariatkan atau tidak.

Pendapat majoriti ulama mazhab Syafie, dan ini paling asoh menyatakan bahawa takbir muqayyad tidak disyariatkan untuk Aidilfitri. Ini kerana tidak dinukilkan daripada Nabi s.a.w melakukan takbir muqayyad untuk Aidilfitri.

Pendapat yang kedua menyatakan ia disyariatkan sebagaimana hari raya Aidiladha. Untuk pendapat kedua ini, maka takbir muqayyad akan dilakukan selepas solat Maghrib, Isya, dan Subuh hari raya.  Begitu juga selepas solat sunat dan qadha yang dilakukan dalam tempoh tersebut.

[Al-Majmu’, 5/32-33, 36].

Menguatkan suara ketika bertakbir

Digalakkan untuk menguatkan suara ketika bertakbir sama ada takbir mutlaq mahupun muqayyad. [Al-Majmu’, 5/39].

Lafaz Takbir

Terdapat beberapa lafaz takbir yang diriwayatkan daripada para sahabat nabi, antaranya:

: ” اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا ، اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ , اللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Allah Maha Besar sebenar-benar kebesaran, Allah Maha Besar sebenar-benar kebesaran, Allah benar-benar Maha Besar. Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. [Musannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab as-Solat, no: 5504]

‘Abdullah bin Mas’ud pula membaca lafaz di bawah:

اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Allah Maha Besar, dan segala puji bagi Allah [Musannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab as-Solat : 5491]

Terdapat lafaz-lafaz takbir yang pelbagai. Ini kerana takbir raya adalah sesuatu yang luas.

Imam al-Son’ani menyatakan dalam Subulussalam:

وفي الشرح صفات كثيرة واستحسانات عن عدة من الأئمة ، وهو يدل على التوسعة في الأمر وإطلاق الآية يقتضي ذلك

Penjelasan tentang lafaz takbir sangat banyak daripada berberapa ulama. Ini menunjukkan bahawa perintah bentuk takbir cukup luas. Kemutlakan ayat yang memerintahkan takbir juga menuntut demikian. [Subulussalam, 2/72].

وَإِنْ زَادَ فقال : اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا اللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا اللَّهَ مُخْلِصِينَ له الدَّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ : فَحَسَنٌ

Imam Syafie berkata: : Seandainya dia menambah dengan menyebut: [lafaz takbir yang diamalkan di Malaysia]….. maka ia sesuatu yang baik [al-Umm, 1/241].

Wanita Turut Bertakbir

Akan tetapi hendaklah wanita tidak meninggikan suara ketika bertakbir.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata dalam Fathul Bari:

ولا خلاف في أن النساء يكبرن مع الرجال تبعاً ، إذا صلين معهم جماعة ، ولكن المرأة تخفض صوتها بالتكبير .

Tiada perbezaan pendapat untuk wanita bertakbir bersama kaum lelaki, apabila mereka solat jemaah bersama mereka. Akan tetapi wanita hendaklah merendahkan suaranya.

 

TATACARA SOLAT HARI RAYA

EID_PRAYERS

SOLAT HARI RAYA

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ ، قَالَتْ : ” أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَهُنَّ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى : الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ ، فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَعْتَزِلْنَ الصَّلَاةَ وَيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِينَ ” ، قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِحْدَانَا لَا يَكُونُ لَهَا جِلْبَابٌ ، قَالَ : ” لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا “

Ummu ‘Athiyyah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam memerintahkan kami untuk mengeluarkan (kaum wanita) pada (hari raya) Aidil Fitri dan Aidil Adha tidak kira sama ada mereka anak-anak dara, wanita yang haid, dan wanita-wanita yang sentiasa berada di dalam rumah. Adapun yang haid maka dia menjauhi tempat solat dan ikut menyaksikan kebaikan dan doa muslimin.Aku berkata: “Wahai Rasulullah, salah seorang daripada kami tidak mempunyai tudung?” Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menjawab: “Hendaklah saudarinya memakaikan dia dengan tudungnya”. [Sahih Muslim, Kitab Solat al-Eidain, hadis no : 890]

Hukum Solat Hari Raya

Ulama berbeza pendapat tentang hukum mendirikan solat hari raya. Mereka terbahagi kepada tiga pendapat:

Ia adalah sunat muakkad di sisi mazhab Syafie. Ini juga adalah pendapat Malik, Abu Hanifah, Daud az-Zahiri dan jumhur ulama.

Sebahagian Ashab Imam Abu Hanifah berpendapat ia adalah fardhu kifayah. [Al-Majmu’, 5/6]

Waktu Solat Hari Raya

Masa solat hari raya bermula daripada terbitnya matahari, dan sehingga tergelincirnya matahari (iaitu masuknya waktu Zuhur). Solat hari raya Aidilfitri digalakkan untuk dilewatkan untuk memberi masa orang ramai menunaikan zakat fitrah. Manakala solat hari raya Aidiladha digalakkan untuk diawalkan agar ibadah korban dapat disegerakan. Ini berdasarkan riwayat dhaif berikut:

أخبرنا الرَّبِيعُ قال أخبرنا الشَّافِعِيُّ قال أخبرنا إبْرَاهِيمُ قال حدثني أبو الْحُوَيْرِثِ أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم كَتَبَ إلَى عَمْرِو بن حَزْمٍ وهو بِنَجْرَانَ أَنْ عَجِّلْ الْغُدُوَّ إلَى الأَضْحَى وَأَخِّرْ الْفِطْرَ وَذَكِّرْ الناس.

Diriwayatkan daripada Abu al-Huwairits bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menulis kepada ‘Amr bi Hazm ketika beliau berada di Najran supaya beliau menyegerakan solat Aidiladha dan melewatkan solat Aidilfitri dan mengingatkan manusia.

[Al-Umm, 1/232, Al-Sunan Al-Kubra, Bab al-Ghuduw Ila al-‘Idain, no: 6369, 3/282. Imam al-Baihaqi menyatakan: Riwayat ini Mursal. Aku telah mencarinya dalam seluruh riwayat surat tulisan baginda kepada ‘Amr bin Hazm, akan tetapi aku tidak menemuinya. Imam an-Nawawi dalam Al-Majmu 5/6 menyatakan riwayat ini mursal dhaif, dan perawi bernama Ibrahim jua dhaif].

Sesiapa yang terlepas daripada menunaikan solat ini secara berjemaah, maka dia boleh melakukannya secara bersendirian dan ia dikira tunai selagi masih belum tergelincir matahari. Seandainya telah tamat waktu, dia boleh mengqadhanya. [Al-Majmu’, 5/6].

Lokasi solat hari raya

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، قَالَ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى ، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ

‘Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan keluar ke musolla pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Perkara pertama yang beliau lakukan ialah solat [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, hadis no: 956]

Imam an-Nawawi berkata dalam Syarah Sahih Muslim:

هَذَا دَلِيل لِمَنْ قَالَ بِاسْتِحْبَابِ الْخُرُوج لِصَلَاةِ الْعِيد إِلَى الْمُصَلَّى ، وَأَنَّهُ أَفْضَل مَنْ فَعَلَهَا فِي الْمَسْجِد ، وَعَلَى هَذَا عَمَل النَّاس فِي مُعْظَم الْأَمْصَار ، وَأَمَّا أَهْل مَكَّة فَلَا يُصَلُّونَهَا إِلَّا فِي الْمَسْجِد مِنْ الزَّمَن الْأَوَّل ، وَلِأَصْحَابِنَا وَجْهَانِ أَحَدهمَا الصَّحْرَاء أَفْضَل لِهَذَا الْحَدِيث ، وَالثَّانِي وَهُوَ الْأَصَحّ عِنْد أَكْثَرهمْ الْمَسْجِد أَفْضَل إِلَّا أَنْ يَضِيق . قَالُوا : وَإِنَّمَا صَلَّى أَهْل مَكَّة فِي الْمَسْجِد لِسَعَتِهِ ، وَإِنَّمَا خَرَجَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْمُصَلَّى لِضِيقِ الْمَسْجِد ، فَدَلَّ عَلَى أَنَّ الْمَسْجِد أَفْضَل إِذَا اِتَّسَعَ

Ini merupakan dalil kepada mereka yang menggalakkan untuk keluar mendirikan solat raya di musolla. Ia lebih afdhal daripada dilakukan di masjid. Ini  merupakan apa yang dipraktikkan oleh kebanyakan tempat. Adapun penduduk Mekah, mereka tidak mendirikan solat raya melainkan di masjid sejak zaman awal lagi. Ulama mazhab kami (mazhab Syafie) mempunyai dua pendapat dalam hal ini. Pendapat pertama menyatakan solat di kawasan lapang lebih afdhal berdasarkan hadis di atas. Pendapat kedua, dan ini merupakan pendapat yang paling kuat di sisi kebanyakan ulama mazhab Syafie bahawa masjid lebih afdhal melainkan jika masjid itu sempit. Mereka berkata: Sesungguhnya penduduk Mekah mendirikan solat raya di masjid kerana saiznya yang luas. Keluarnya nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ke musolla adalah kerana saiz masjid yang sempit. Ini menunjukkan bahawa masjid lebih afdhal jika ia luas. [Syarah Sahih Muslim, 6/483-484].

Imam an-Nawawi menghuraikan lebih lanjut lagi dalam Al-Majmu’:

  • Ulama-ulama mazhab Syafie membenarkan solat raya di kawasan lapang dan masjid.
  • Jika di Mekah, maka solat di Masjid al-Haram lebih afdhal.
  • Jika tidak dapat ke tanah lapang kerana keuzuran seperti hujan, sakit, jauh dan sebagainya, maka tiada khilaf di sisi mazhab Syafie bahawa mereka dituntut mendirikan solat itu di masjid.
  • Jika tiada keuzuran untuk ke masjid, dan masjid pula sempit, maka tiada khilaf di sisi mazhab Syafie bahawa mendirikannya di tanah lapang lebih afdhal.
  • Seandainya masjid itu luas, maka ulama mazhab Syafie berbeza pendapat, dan yang paling kuat ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syafie sendiri bahawa solat di masjid lebih afdhal.
  • Jika masjid itu luas, akan tetapi Jemaah pergi solat di tanah lapang, maka itu adalah khilaf awla, akan tetapi bukanlah perbuatan yang makruh.
  • Jika sengaja solat di masjid yang sempit sedangkan mampu solat di tanah lapang, maka ia makruh kerana itu akan menyempitkan mengurangkan keselesaan Jemaah.
  • Seandainya imam pergi mendirikan solat di tanah lapang, hendaklah dia melantik seorang pengganti imam untuk mengimami solat raya di masjid bagi mereka yang tidak mampu pergi ke masjid kerana tua, sakit, jauh dan sebagainya.
  • Seandainya masjid itu sempit, dan terdapat keuzuran untuk solat di tanah lapang seperti hujan, imam hendaklah melantik wakil-wakilnya untuk mengimami solat di tempat-tempat lain.
[Al-Majmu’, 5/7-8].

Bolehkah wanita keluar mendirikan solat hari raya?

Di sisi mazhab Syafie wanita-wanita tua dan yang tidak menarik perhatian orang ramai digalakkan pergi keluar untuk menunaikan solat hari raya. Adapun untuk wanita-wanita muda dan mereka yang cantik adalah dimakruhkan daripada keluar menunaikan solat hari raya.

Mazhab Syafie berhujah dengan riwayat berikut:

عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ‏.‏ قُلْتُ لِعَمْرَةَ أَوَ مُنِعْنَ قَالَتْ نَعَمْ‏.‏

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Seandainya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mendapati apa yang dilakukan oleh kaum wanita, nescaya baginda akan melarang mereka (daripada ke masjid) sebagaimana dilarangnya wanita Bani Israel. Yahya bin Sa’id berkata: Aku bertanya kepada ‘Amrah: Mereka dilarang? Beliau menjawab: Ya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, no: 869].

Akan tetapi, hal ini akan bercanggah dengan riwayat Ummi ‘Atiyyah yang telah disebutkan sebelum ini yang secara jelas menyebutkan:

((Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam memerintahkan kami untuk mengeluarkan (kaum wanita) pada (hari raya) Aidil Fitri dan Aidil Adha tidak kira sama ada mereka anak-anak dara, wanita yang haid, dan wanita-wanita yang sentiasa berada di dalam rumah.)).

Imam an-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim menyebutkan kenapa mazhab Syafie memakruhkan kehadiran wanita muda ke masjid:

قَالَ أَصْحَابُنَا : يُسْتَحَبُّ إِخْرَاجُ النِّسَاءِ غَيْرِ ذَوَاتِ الْهَيْئَاتِ وَالْمُسْتَحْسَنَاتِ فِي الْعِيدَيْنِ دُونَ غَيْرِهِنَّ ، وَأَجَابُوا عَلَى إِخْرَاجِ ذَوَاتِ الْخُدُورِ وَالْمُخَبَّأَةِ بِأَنَّ الْمَفْسَدَةَ فِي ذَلِكَ الزَّمَنِ كَانَتْ مَأْمُونَةً بِخِلَافِ الْيَوْمَ ، وَلِهَذَا صَحَّ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا : لَوْ رَأَى رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ الْمَسَاجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ . قَالَ الْقَاضِي عِيَاضٌ : وَاخْتَلَفَ السَّلَفُ فِي خُرُوجِهِنَّ لِلْعِيدَيْنِ ، فَرَأَى جَمَاعَةٌ ذَلِكَ حَقًّا عَلَيْهِنَّ مِنْهُمْ أَبُو بَكْرٍ وَعَلِيٌّ وَابْنُ عُمَرَ وَغَيْرُهُمْ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ ، وَمِنْهُمْ مَنْ مَنَعَهُنَّ ذَلِكَ مِنْهُمْ عُرْوَةُ وَالْقَاسِمُ وَيَحْيَى الْأَنْصَارِيُّ وَمَالِكٌ وَأَبُو يُوسُفَ ، وَأَجَازَهُ أَبُو حَنِيفَةَ مَرَّةً وَمَنَعَهُ مَرَّةً .

Ulama-ulama kami berkata: Digalakkan mengeluarkan kaum wanita yang tidak menarik pada dua hari raya. Mereka menjawab tentang hadis yang menyebutkan dikeluarkan jua anak-anak dara yang yang sentiasa berada dalam rumah bahawa pada zaman tersebut aman daripada kerosakan tidak seperti hari ini. Oleh itu, telah sahih daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha beliau berkata: Seandainya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat apa yang kaum wanita lakukan, nescaya baginda akan menghalang mereka daripada ke masjid sebagaimana dihalangnya kaum wanita Bani Israel. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Ulama salaf berbeza pendapat tentang keluarnya kaum wanita pada dua hari raya. Sekelompok ulama berpendapat kaum wanita turut dituntut keluar solat hari raya, antara ulama yang berpendapat begini ialah Abu Bakar, Ali, Ibn Umar dan selain mereka. Yang menghalang pula ialah ‘Urwah, Al-Qasim, Yahya al-Ansari, Malik, Abu Yusuf. Abu Hanifah pernah membenarkan, dan pernah jua menghalang.

[Syarah Sahih Muslim, 6/485].

Akan tetapi kerana zahir hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak membezakan pun antara kaum wanita yang cantik atau tidak, muda atau tua, maka yang benar ialah mereka semua tetap dituntut keluar solat hari raya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan:

وَفِيهِ اسْتِحْبَابُ خُرُوجِ النِّسَاءِ إِلَى شُهُودِ الْعِيدَيْنِ سَوَاءٌ كُنَّ شَوَابَّ أَمْ لَا وَذَوَاتِ هَيْئَاتٍ أَمْ لَا

Pada hadis ini terdapat galakkan keluarnya kaum wanita menyaksikan dua hari raya. Sama sahaja bagi wanita muda atau tidak, menarik atau tidak.

[Fathul Bari, 2/545].

Ulama kontemporari dari Arab Saudi, Al-Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin telah menjawab dengan baik sekali persoalan ini dan membantah pendapat yang melarang kaum wanita keluar solat raya.

وسئل فضيلته – رحمه الله تعالى -: أيهما أفضل للمرأة الخروج لصلاة العيد أم البقاء في البيت؟

Al-Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ditanya: Manakah yang lebih afdhal untuk wanita. Keluar mendirikan solat raya atau tinggal di rumah?

فأجاب فضيلته بقوله: الأفضل خروجها إلى العيد؛ لأن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أمر أن تخرج النساء لصلاة العيد، حتى العواتق وذوات الخدور يعني حتى النساء اللاتي ليس من عادتهن الخروج أمرهن أن يخرجن إلا الحيض فقد أمرهن بالخروج واعتزال مصلى العيد

Al-Shaikh menjawab: Yang lebih afdhal adalah mereka keluar ke tempat solat raya. Ini kerana nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyuruh kaum wanita keluar untuk solat raya sehinggakan anak-anak dara dan mereka yang sentiasa di dalam ruamah iaitu wanita yang kebiasaannya bukan keluar dari rumah, baginda menyuruh mereka untuk keluar. Adapun wanita haidh, mereka juga disuruh keluar hanya sahaja mereka diminta menjauhkan diri daripada tempat solat raya.

فالحائض تخرج مع النساء إلى صلاة العيد، لكن لا تدخل مصلى العيد؛ لأن مصلى العيد مسجد، والمسجد لا يجوز للحائض أن تمكث فيه، فيجوز أن تمر فيه مثلاً، أو أن تأخذ منه الحاجة، لكن لا تمكث فيه، وعلى هذا فنقول: إن النساء في صلاة العيد مأمورات بالخروج ومشاركة الرجال في هذه الصلاة، وفيما يحصل فيها من خير، وذكر ودعاء.

Wanita haidh keluar bersama wanita-wanita lain yang pergi solat hari raya akan tetapi mereka tidak masuk ke tempat solat raya itu. Ini kerana tempat solat raya itu dikira masjid, dan masjid tidak dibenarkan untuk wanita haidh duduk di situ akan tetapi dibenarkan untuk lalu dan semisalnya, atau mengambil sesuatu barang di situ, akan tetapi tidak boleh duduk di situ. Oleh itu kami berkata: Sesungguhnya untuk solat raya, wanita di suruh untuk keluar untuk bersama-sama dengan kaum lelaki dalam solat raya, dan kebaikan yang terhasil daripadanya seperti zikir dan doa.

* * *

سئل فضيلة الشيخ: ما حكم خروج النساء إلى المصلى وخاصة في زماننا هذا الذي كثرت فيه الفتن، وأن بعض النساء تخرج متزينة متعطرة، وإذا قلنا بالجواز فما تقولون في قول عائشة رضي الله عنها «لو أن رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رأى ما أحدث النساء لمنعهن المسجد»؟

Al-Shaikh ditanya: Apakah hukum keluarnya wanita ke tempat solat raya khususnya pada zaman kita ini yang banyaknya kerosakan, dan sebahagian wanita pula keluar dalam keadaan berhias-hias dan berwangi-wangian. Seandainya kita berkata bolehnya mereka keluar, apa kata tuan tentang kata-kata ‘Aisyah Seandainya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat apa yang kaum wanita lakukan, nescaya baginda akan menghalang mereka daripada ke masjid.

فأجاب فضيلته بقوله: الذي نرى أن النساء يؤمرن بالخروج لمصلى العيد يشهدن الخير، ويشاركن المسلمين في صلاتهم، ودعواتهم، لكن يجب عليهن أن يخرجن تفلات، غير متبرجات ولا متطيبات، فيجمعن بين فعل السنة، واجتناب الفتنة.

Al-Shaikh menjawab: Kami berpendapat wanita turut disuruh untuk keluar ke tempat solat raya untuk menyaksikan kebaikan dan bersama-sama dengan kaum Muslimin dalam solat mereka. Akan tetapi wajiblah ke atas mereka keluar dalam keadaan sopan, tidak bertabarruj dan tidak berwangi-wangian. Lalu mereka telah menggabungkan melakukan sunnah dan menjauhi fitnah/kerosakan.

وما يحصل من بعض النساء من التبرج والتطيب، فهو من جهلهن، وتقصير ولاة أمورهن. وهذا لا يمنع الحكم الشرعي العام، وهو أمر النساء بالخروج إلى صلاة العيد.

Apa yang dilakukan sebahagian wanita dengan bertabarruj dan berwangi-wangian, maka ini daripada kejahilan mereka dan kelalaian wali mereka. Ini tidaklah menghalang hukum syara’ yang asal iaitu wanita disuruh keluar ke tempat solat raya.

وأما قول عائشة رضي الله عنها فإنه من المعروف أن الشيء المباح إذا ترتب عليه محرم فإنه يكون محرماً، فإذا كان غالب النساء يخرجن بصورة غير شرعية فإننا لا نمنع الجميع، بل نمنع هؤلاء النساء اللاتي يخرجن على هذه الصورة فقط.

Adapun perkataan ‘Aisyah; sesungguhnya memang diketahui bahawa sesuatu yang harus apabila disertai dengan yang haram, maka ia menjadi haram. Apabila kebiasaan wanita keluar dengan cara yang tidak patuh syariat, sesungguhnya kita tidaklah boleh melarang kesemua wanita. Bahkan yang kita larang hanyalah wanita-wanita yang keluar dengan cara tidak patuh syariat itu.

[Majmu’ Fatawa wa Rasail Li Ibn al-Uthaimin, 16/210-212].

Imam al-Syaukani menyebutkan di dalam Nailul Authar:

والحديث وما في معناه من الأحاديث قاضية بمشروعية خروج النساء في العيدين إلى المصلى من غير فرق بين البكر والثيب والشابة والعجوز والحائض وغيرها ما لم تكن معتدة أو كان خروجها فتنة أو كان لها عذر .

Hadis ini menunjukkan disyariatkan keluarnya wanita pada dua hari raya ke tempat solat raya tanpa membezakan antara anak dara, janda, muda, tuan, haidh dan lain-lain selagi mana mereka bukan dalam keadaan iddah atau keluarnya mereka itu menimbulkan kerosakan, atau wanita itu mempunyai uzur.

Kemudian al-Syaukani menukilkan pendapat-pendapat ulama dalam hal ini:

Sunat dan tidak dibezakan antara tua dan muda. Ini pendapat Abu Hamid daripada mazhab Hanbali, dan Al-Jurjani daripada mazhab Syafie.

Dibezakan antara wanita muda dan tua. Al-‘Iraqi berkata: Ini pendapat majoriti ulama mazhab Syafie berdasarkan kenyataan Imam al-Syafie sendiri di dalam Al-Mukhtasar.

Dibenarkan tanpa disunatkan secara mutlak: Ini zahir kalam Imam Ahmad sebagaimana yang Ibn Qudamah nukilkan.

Makruh. Imam at-Tirmizi meriwayatkan pendapat ini daripada Sufyan at-Tsauri, Ibn al-Mubarak. Ini jua pendapat Malik, Abu Yusuf. Ibn Qudamah menghikayatkan ia daripada pendapat An-Nakhaie, Yahya bin Sa’id al-Ansori.

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada An-Nakhaie bahawa makruh untuk wanita muda keluar ke tempat solat raya.

Wajib untuk semua wanita keluar solat raya. Al-Qadhi ‘Iyad meriwayatkan hal ini daripada Abu Bakar, Ali dan Ibn Umar.

Al-Syaukani menyimpulkan:

والقول بكراهة الخروج على الإطلاق رد للأحاديث الصحيحة بالآراء الفاسدة ، وتخصيص الشواب يأباه صريح الحديث المتفق عليه وغيره

Pendapat yang memakruhkan wanita keluar secara mutlak merupakan penolakan kepada hadis hadis-hadis sahih dengan pandangan yang rosak, dan mengkhususkan wanita muda (untuk dilarang) adalah ditolak oleh hadis-hadis yang jelas yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan selainnya. [Nailul Authar, 3/342].

Bolehkah solat sunat sebelum solat hari raya?

Di sisi mazhab Syafie, boleh tanpa makruh untuk makmum mendirikan solat sunat sebelum mendirikan solat hari raya dan selepasnya sama ada di rumah, di jalan atau tempat didirikan solat hari raya sebelum hadirnya imam. Akan tetapi solat sunat ini tidaklah berkaitan dengan solat hari raya. Oleh itu boleh makmum mendirikan solat tahiyatul masjid, dhuha dan sebagainya. Akan tetapi imam dimakruhkan melakukan solat sunat sebelum dan selepas solat raya supaya orang tidak menyangka ia sunnah. Solat tahiyatul masjid imam akan cukup dengan solat raya itu dan kerana itu imam digalakkan datang lewat.

Sebahagian ulama memakruhkan solat sunat sebelum solat hari raya. Ini diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib, Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Al-Sya’bi, Ahmad.

Sebahagian ulama pula memakruhkan sebelum solat hari raya, dan boleh selepasnya. Ini diriwayatkan daripada Abu Mas’ud, ‘Alqamah, An-Nakhaie, At-Tsauri, Al-Awzaie dan Ashab al-Ra’yi.

Sebahagian menyatakan makruh di tempat yang didirikan solat raya, akan tetapi tidak makruh di selainnya. [Al-Majmu’, 5/13-14].

Adakah digalakkan pergi awal ke masjid?

Ya, makmum digalakkan pergi awal ke masjid sejak selepas Subuh. Ini sama seperti solat Jumaat. Adapun Imam, digalakkan untuk datang lewat ke tempat solat raya sehingga sampai waktu untuk mendirikan solat hari raya.

Ini berdasarkan hadis berikut:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، قَالَ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى ، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ

‘Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan keluar ke musolla pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Perkara pertama yang beliau lakukan ialah solat [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, hadis no: 956]

Tatacara Solat Hari Raya

1) Dua Rakaat

عَنْ عُمَرَ، قَالَ صَلاَةُ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَانِ وَالْفِطْرِ رَكْعَتَانِ وَالنَّحْرِ رَكْعَتَانِ وَالسَّفَرِ رَكْعَتَانِ تَمَامٌ غَيْرُ قَصْرٍ عَلَى لِسَانِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏

Umar radiallahu ‘anhu berkata: Solat Jumaat 2 rakaat, Solat hari raya ‘Aidilfitri dua rakaat, Aidiladha dua rakaat, solat musafir dua rakaat. Ia sempurna tanpa qasar berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. [Sunan an-Nasaie, Kitab Taqsir al-Solat, no: 1440].

Jumlah rakaatnya adalah 2 rakaat. Ini adalah ijma’ ulama. [Al-Majmu’, 5/17].

3) 7 kali takbir pada rakaat pertama, 5 kali takbir pada rakaat kedua

عَنْ عَائِشَةَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى فِي الْأُولَى سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ ، وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا “

‘Aisyah radiallahu ‘anha menyatakan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bertakbir dalam solat raya Aidilfitri dan Aidiladha sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama, dan lima kali pada rakaat kedua [Sunan Abi Daud, Kitab as-Solat, hadis no: 972, Shaikh al-Albani mensahihkannya dalam Sahih Abi Daud].

Cara yang minima untuk sah solatnya ialah solat 2 rakaat seperti solat-solat yang lain. Adapun cara yang sempurna ialah dengan melakukan tatacara yang sunnah iaitu:

  • Takbir 7 kali pada rakaat pertama, dan 5 kali pada rakaat kedua (tidak termasuk takbiratul ihram dan intiqal).
  • Membaca doa istiftah selepas takbiratul ihram.
  • Berhenti seketika antara setiap takbir itu, dan berzikir kepada Allah.
  • Selepas takbir yang ke 7 atau yang ke 5, terus membaca isti’azah.
  • Di sunatkan mengangkat tangan pada setiap takbir. Ini berdasarkan riwayat berikut:

، عَنْ بَكْرِ بْنِ سَوَادَةَ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ مَعَ كُلِّ تَكْبِيرَةِ فِي الْجِنَازَةِ وَالْعِيدَيْنِ “. [ص:413] وَهَذَا مُنْقَطِعٌ.

Daripada Bakr bin Sawadah, bahawa ‘Umar al-Khattab r.a akan mengangkat kedua tangannya bersama setiap takbir dalam solat jenazah dan solat hari raya. [Al-Baihaqi dalam Al-Sunan Al-Kubra, Kitab Solat al-Eidain, no: 6189. Imam al-Baihaqi menyatakan riwayat ini munqathi’].

  • Ulama bersepakat dikuatkan suara ketika membaca ayat al-Quran dan bertakbir.
  • Seandainya terlupa melakukan takbir-takbir itu dan telah ruku’, maka tidak perlu mengulanginya. Jika dia kembali bangun untuk bertakbir, batal solatnya. Begitu juga jika teringat untuk bertakbir ketika sedang membaca al-Fatihah atau selepas membaca surah sebelum ruku’. Maka tidak perlu mengulangingya mengikut qaul qadim. Akan tetapi jika teringat selepas taawuz sebelum al-Fatihah, maka boleh disempurnakan takbir-takbir itu.
  • Jika seseorang masbuq, dan terlepas takbir-takbir itu dengan imam, dia tidak perlu mengulanginya.
  • Solat hari raya sunnah dilakukan secara berjemaah, dan ia juga boleh dilakukan secara sendirian. [Al-Majmu’, 5/16-18].

Beberapa khilaf ulama

  • Jumlah takbir zawaid. Di sisi mazhab Syafie adalah 7 takbir di rakaat pertama, dan 5 takbir di rakaat kedua. Ini merupakan pendapat majoriti sahabat dan ulama selepasnya.

Sebahagian ulama berpendapat sebanyak 7 takbir untuk kedua-dua rakaat. Ini diriwayatkan daripada sebahagian sahabat seperti Ibn Abbas, Al-Mughirah, Anas r.a, Ibn al-Musayyib, An-Nakhaie.

Sebahagian berpendapat sebanyak 6 takbir pada rakaat pertama, dan 5 takbir pada rakaat kedua. Ini pendapat Malik, Ahmad, Abu Tsaur dan Al-Muzani.

Abdullah bin Mas’ud r.a berpendapat 5 takbir untuk rakaat pertama dan 4 takbir untuk rakaat kedua.

Terdapat riwayat lain daripada Ibn Mas’ud menyatakan 3 takbir untuk setiap rakaat. Inilah yang dipegang oleh Abu Hanifah. Dan ada beberapa pendapat lain lagi. [Al-Majmu’, 5/19].

  • Masa untuk takbir zawaiad. Di sisi mazhab Syafie ia dilakukan antara doa istiftah dan taawuz. Ini pendapat majoriti ulama selain Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah berpendapat takbir zawaid dibuat selepas membaca surah.

Ulama mazhab Syafie berhujah dengan riwayat berikut:

‘Amru bin al-‘Auf r.a berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْعِيدَيْنِ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى بِسَبْعِ تَكْبِيرَاتٍ , وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسَ تَكْبِيرَاتٍ قَبْلَ الْقِرَاءَةِ ”

Rasulullah s.a.w bertakbir dalam solat raya pada rakaat pertama sebanyak 7 takbir dan rakaat kedua sebanyak 5 takbir sebelum membaca al-Quran. [Al-Sunan Al-Kubra, Kitab al-Eidain, no: 6173. Imam at-Tirmizi berkata: Aku bertanya kepada Imam al-Bukhari tentang hadis ini. Beliau menjawab: Tiada di dalam bab ini apa-apa yang lebih sahih daripada riwayat ini. Begini jualah pendapat aku] [Al-Majmu’, 5/19].

  • Mengangkat tangan ketika takbir zawaid. Ia sunnah di sisi mazhab Syafie. Ini juga pendapat ‘Atho’, Al-Awza’ie, Abu Hanifah, Muhammad, Ahmad, Daud dan Ibn al-Munzir. Adapun di sisi Imam Malik, hanya diangkat pada takbiratul ihram. Ini jua pendapat At-Tsauri, Ibn Abi Laila, dan Abu Yusuf. [Al-Majmu’, 5/20].
  • Zikir ketika takbir zawaid. Mazhab Syafie, ia disunnahkan. Ini jua pendapat Ibn Mas’ud, Ahmad dan Ibn al-Munzir. Malik dan Al-Awzaie pula berkata tidak dibaca. [Al-Majmu’, 5/20]
  • Doa istiftah. Mazhab Syafie ia dibaca sebelum takbir zawaid. Al-Awzaie berkata ia dibaca selepas takbir zawaid. [Al-Majmu’, 5/20]
  • Ta’awwuz. Mazhab Syafie, ia dibaca selepas takbir zawaid. Ini jua pendapat Ahmad, Muhammad bin Al-Hassan. Abu Yusuf berpendapat ia dibaca sebelum takbir zawaid. [Al-Majmu’, 5/20]
  • Terlupa takbir zawaid. Di sisi mazhab Syafie apabila sudah mula membaca al-Fatihah, maka tidak perlu bertakbir lagi. Ini pendapat Ahmad dan Muhammad bin Al-Hassan. Adapun Abu Hanifah dan Malik berpendapat bertakbir selagi belum ruku’. [Al-Majmu’, 5/20]

Solat sebelum khutbah

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : سَمِعْتُهُ يَقُولُ ” إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَبَدَأَ بِالصَّلَاةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ “

Jabir bin ‘Abdullah radiallahu ‘anhu berkata bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada hari raya aidilfitri dan memulakan solat sebelum khutbah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, hadis no: 958]

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ ـ رضى الله عنهم ـ فَكُلُّهُمْ كَانُوا يُصَلُّونَ قَبْلَ الْخُطْبَةِ‏.‏

Daripada Ibn ‘Abbas r.a, beliau berkata: Aku menyaksikan solat eid bersama Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Umar, dan Uthman r.a, semuanya mendirikan solat sebelum khutbah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, no: 962].

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ ـ رضى الله عنهما ـ يُصَلُّونَ الْعِيدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ‏.‏

Daripada Ibn ‘Umar r.a, Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Umar r.a, mereka solat raya sebelum melakukan khutbah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, no: 963].

  • Di sunatkan selepas solat raya untuk melakukan dua khutbah di atas mimbar. Jika khutbah dilakukan sebelum solat, maka itu perkara yang buruk, maka khutbah itu tidak diambil kira, dan disunatkan untuk diulang selepas solat.
  • Tatacara khutbahnya adalah seperti khutbah Jumaat, akan tetapi dibenarkan untuk khatib duduk walau mampu berdiri sebagaimana solat sunat dibenarkan duduk walau mampu berdiri.
  • Di sunatkan memisahkan antara dua khutbah dengan duduk sebagaimana khutbah Jumaat. Di sunatkan duduk sebelum memulakan khutbah.
  • Khatib juga disunatkan memulakan khutbah dengan takbir sebanyak 9 kali pada khubah yang pertama, dan takbir 7 kali pada khutbah yang kedua. Takbir-takbir ini bukanlah sebahagian daripada khutbah sebaliknya ia adalah mukadimah.
  • Disunatkan makmum mendengar khutbah, dan ia bukanlah termasuk daripada syarat solat hari raya.
  • Jika seorang makmum sampai ketika imam sedang berkhutbah, jika tempat itu di selain masjid, maka makmum hendaklah terus duduk. Dia boleh mengqadha solatnya kemudian sama ada di situ atau di rumah atau di tempat lain.

Jika tempat itu di masjid, makmum itu hendaklah mendirikan solat eid ketika khutbah itu, dan itu dikira jua termasuk tahiyatul masjid. Ini pendapat yang asoh dalam mazhab Syafie. Pendapat kedua menyatakan dia solat tahiyatul masjid, dan selesai khutbah, dia solat raya pula di masjid itu.

  • Di sunatkan imam mengulangi khutbah jika disedari terdapat sekelompok jemaah yang tidak dapat mendengar khutbah. Ini berdasarkan hadis berikut:

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ، فَرَأَى أَنَّهُ لَمْ يُسْمِعِ النِّسَاءَ، فَأَتَاهُنَّ وَمَعَهُ بِلاَلٌ نَاشِرَ ثَوْبِهِ فَوَعَظَهُنَّ، وَأَمَرَهُنَّ أَنْ يَتَصَدَّقْنَ، فَجَعَلَتِ الْمَرْأَةُ تُلْقِي، وَأَشَارَ أَيُّوبُ إِلَى أُذُنِهِ وَإِلَى حَلْقِهِ‏.‏

Ibn ‘Abbas r.a berkata: Aku menyaksikan bahawa Rasulullah s.a.w akan solat sebelum khutbah, lalu baginda melihat kaum wanita tidak mendengarnya. Lalu baginda pergi kepada mereka, dan bersama-sama baginda Bilal yang membentangkan pakaiannya. Lalu baginda menasihati mereka, baginda menyuruh mereka bersedekah. Lalu kaum wanita pun bersedekah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, no: 1449]. [Al-Majmu’, 5/21-23].

Tips Pergi Haji Lebih Awal Daripada Yang Dijangka

tahunhaji

Hah! Tahun 2081 baru dapat pergi haji? Umur saya sekarang (tahun 2016) sudah 30 tahun. Maksudnya saya dapat pergi haji ketika berumur 95 tahun?

Nampak gaya macam peluang tipis nak pergi haji kalau tunggu giliran. Persoalannya, benarkah mustahil untuk kita pergi haji sebelum giliran yang diberikan?

Seorang pengguna FB telah menulis dalam akaun FBnya tips bagaimana dapat pergi haji lebih awal daripada tahun giliran yang sebenarnya.

TIPS PERGI HAJI DI USIA MUDA.

Tahukah anda? Kalau anda baru mendaftar haji dalam masa terdekat ini, giliran anda menunaikan Haji adalah pada tahun 2100 ke atas? (Diberitahu dalam kursus Haji Perdana baru-baru ini.) Sanggup anda menunggu sepanjang tempoh itu?

Jangan risau. Itu cuma anggaran tahun. Tak mustahil boleh dipercepatkan lagi dengan izin Allah. Di sini saya nak kongsikan beberapa langkah yang boleh kita usaha demi mendapatkan giliran haji ketika usia muda atau sekurang-kurangnya untuk “lajukan” giliran kita. Cara-cara ni semuanya inshaAllah boleh dilakukan oleh anda semua. Saya tulis ringkas dalam bentuk point sahaja ya, supaya lebih jelas dan mudah difahamkan. Ada 4 langkah semuanya;

sajidah

1) Buka akaun Tabung Haji.

2) Daftar Haji. Untuk mendaftar, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun Tabung Haji. Kemudian anda akan diberi jangkaan tahun berapa anda bakal menunaikan haji. Lokasi untuk mendaftar: Di mana-mana cawangan TH, laman web TH, Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank, atau ATM BIMB

3) Kumpulkan duit sekurang-kurangnya RM10k. Mungkin part ni kita akan rasa susah sedikit. Tapi kalau kita memang betul-betul bersungguh nak capai RM10k tu, inshaAllah tempoh menunggu tu tidak lama jika kita konsisten menabung. (Contoh cara menabung akan diberitahu di akhir artikel).

4)            a) Bila duit dalam akaun anda dah cukup RM10k, anda dah boleh mula buat rayuan. Kalau tak cukup RM10k pun sebenarnya boleh merayu, tapi kebiasaannya pihak Tabung Haji akan melihat adakah wang kita sudah mencukupi untuk membayar pembiayaan haji. Dikhuatiri jika rayuan diluluskan, tiba-tiba duit belum cukup, jadi tawaran perlu ditolak dan perlu diganti dengan orang baru. Jadi sebaiknya anda cukupkan dahulu RM10k tersebut di dalam akaun anda.

  1. b) Setiap tahun, Tabung Haji akan membuka kaunter rayuan Haji. Anda perlu alert bilakah tarikh kaunter ini dibuka. Ia tidak dibuka sepanjang tahun. Ketika inilah ramai orang akan mula menulis surat rayuan dan menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan mereka. (untuk surat rayuan ini, cubalah beri alasan dan sebab yang kuat mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan anda).
  2. c) Kalau anda nak tahu, untuk Haji tahun ini tahun 2016, ada sekitar 2500 orang sekitar Lembah Klang yang dijadualkan akan menunaikan haji, namun selepas ujian pemeriksaan kesihatan, 60% tidak lulus (atas faktor kesihatan) dan tidak dapat meneruskan proses seterusnya untuk menunaikan haji. Bermakna, ada banyak kuota baru yang kini kosong! Itu baru cerita di Lembah Klang, pastinya setiap negeri setiap daerah akan ada kuota kosong yang perlu diganti dengan orang lain. Mungkinkah anda orangnya? Tak mustahil. 🙂
  3. d) Ada lagi kuota kosong pada setiap tahun akibat kematian. Iaitu apabila calon haji itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji pada tahun tersebut. Jika yang meninggal itu lelaki, dan dia pada asalnya mahu menunaikan haji dengan isterinya, bermakna kuota isterinya juga perlu diganti dengan orang lain. Kerana wanita yang kematian suami, di dalam tempoh iddah, tidak boleh menunaikan ibadah haji.
  4. e) Nak lagi kuota kosong? Yang ini mungkin tidak terlalu banyak, tetapi biasanya tetap ada, iaitu wanita yang hamil sebelum berangkat menunaikan haji. Jika dia sepatutnya menunaikan haji pada tahun sekian-sekian, tetapi ditakdirkan dia hamil sebelum berangkat, maka pihak Tabung Haji tidak akan membenarkannya menunaikan haji. Jadi akan ada lagi kuota kosong untuk anda.

Jadi jelaslah di sini bahawa sebenarnya ada sangat banyak peluang untuk anda mendapatkan kuota haji dan tidak perlu menunggu giliran tahun yang asalnya ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk anda. Boleh jadi giliran anda pada asalnya ialah tahun 2048, tapi pada tahun 2018 anda sudah berjaya mendapatkan giliran setelah membuat rayuan. Tidak mustahil, dengan izin Allah.

Tentang bilakah tahun yang anda akan dapat tu, ia bergantung kepada Allah, Allah melihat usaha kita, dan percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha hambaNya. Namun jika giliran itu tetap juga tidak datang seawal yang anda harapkan, usahlah kecewa, teruskan berusaha, teruskan membuat rayuan SETIAP TAHUN dan yang pasti, berdoalah di sepertiga malam tentang hasrat anda untuk mengunjungi rumahNya, buktikan anda betul-betul mahu ke sana.

Ibadah haji bukan milik orang kaya. Ia milik semua. Ada orang kaya yang tidak dapat pergi kerana masalah kesihatan, ada orang yang kurang kaya tapi dapat juga akhirnya menunaikan haji kerana gigih menabung serta tidak henti berdoa. Allah yang berhak pilih siapakah tetamuNya, maka buktikanlah kepada Dia bahawa anda sungguh-sungguh mahu ke sana dengan segera, ketika umur masih muda dan jasad masih kuat.

Nota cara menabung secara ringkas:

1) Untuk menabung dalam tempoh 8 tahun: RM25 seminggu atau sehari RM3.60 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM25 x 52 minggu = RM1300. RM1300 x 8 tahun = RM10400). Atau, nak lagi cepat?

2) Untuk menabung dalam tempoh 4 tahun: RM50 seminggu atau sehari RM7.14 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM50 x 52 minggu = RM2600. RM2600 x 4 tahun = RM10400).

Kesimpulannya kalau sekarang umur anda masih di awal 20-an, tak mustahil sebelum umur 30 anda sudah boleh menunaikan haji, atau selewat-lewatnya sebelum anda mencecah 40 tahun, inshaAllah fizikal masih sihat ketika itu.

P/s: Atau nak cara lebih cepat untuk dapat kuota haji, kahwinlah dengan orang yang giliran hajinya tidak lama lagi. 😉 Jika suami sahaja yang mendapat tawaran, isteri boleh buat rayuan dan kebiasaannya pihak Tabung Haji akan luluskan permohonan tersebut tapi pastikan RM10k tersedia di dalam akaun Tabung Haji. Dan untuk kes isteri (yang berumur 44 tahun ke bawah) yang mendapat tawaran haji, suami tak perlu risau kerana secara automatik suami akan dapat pergi bersama isteri kerana si isteri wajib ada mahram.

Silakan share untuk manfaat bersama atau sebagai rujukan anda pada masa hadapan.

[Edited: Tambahan tips dari saudara Syafiq Kamil. –> Saya berminat untuk tambah info sikit. Bagi yang nak daftar haji, tapi belum cukup wang permulaan sebanyak RM1300, anda hanya perlu print penyata KWSP anda yang terkini dan bawa bersama ketika mendaftar di kaunter TH. Buka akaun TH cuma bayar RM10, manakala daftar haji pula PERCUMA (asalkan ada penyata KWSP). Yang penting daftar siap2, insyaAllah rezeki akan datang kemudian. Dah cuba, memang senang. Pihak TH juga minta war-warkan perkara ini. Terima kasih.]

Sumber: https://www.facebook.com/norsajidahzulkafli/posts/987407738038465

 

BAGAIMANA MAHU BUAT RAYUAN PERGI HAJI?

Untuk permohonan rayuan haji, sila kemukakan surat rayuan dalam format surat rasmi yang lengkap bertandatangan kepada:

 

Bahagian Operasi Domestik,

Lembaga Tabung Haji,

Lantai 30,

Bangunan Ibu Pejabat TH,

201 Jalan Tun Razak,

50732 Kuala Lumpur.

 

Isi kandungan surat rayuan:

 

  1. Nama penuh
  2. Nombor akaun TH

iii. Nombor MyKad

  1. Tujuan rayuan
  2. Tandatangan

 

Bakal Haji juga boleh melampirkan dokumen berkaitan sebagai sokongan kepada rayuan tersebut.

Contoh Surat Rasmi Rayuan Haji 1437H.

 

Rogayah binti Mokhtar

Lot 1234, Jalan Sinar

Kampung Harapan

84000 Muar

Johor

18 Disember 2015

 

Kepada,

Bahagian Operasi Domestik,

Lembaga Tabung Haji,

Lantai 30,

Bangunan Ibu Pejabat TH,

201 Jalan Tun Razak,

50732 Kuala Lumpur.

 

Tuan/Puan,

 

RAYUAN UNTUK MENDAPAT TEMPAT MENUNAIKAN HAJI PADA MUSIM 1437H/2016M

NAMA PENUH: ROGAYAH BINTI MOKHTAR

  1. KAD PENGENALAN: 450101-01-0400

No AKAUN TH: 12345678

_____________________________________________________________________________

Perkara di atas adalah dirujuk.

Saya memohon jasa baik dan budi bicara yang ikhlas daripada pihak tabung Haji agar dapat menawarkan tempat kepada saya untuk menunaikan Haji pada tahun 1437H atau 2016 Masihi.

Saya memohon dipercepatkan kerana usia yang telah lanjut (70 tahun) dan saya telah 5 kali menjalani Kursus Haji tetapi masih dalam senarai menunggu. Simpanan saya juga telah mencukupi untuk menunaikan haji dalam waktu terdekat ini.

Semoga pihak tabung haji dapat menunaikan rayuan saya yang tersebut di atas.

Sekian, terima kasih.

 

Yang Mengharap,

 

(ROGAYAH BINTI MOKHTAR)

No K/P: 450101-01-0400

Surat rasmi rayuan tersebut boleh dihantar ke Tabung Haji Contact Center (THCC) melalui:

 

  1. e-mel – th-info@lth.gov.my,
  2. faks 03-77284959, atau

iii. menghantar surat rayuan haji ke cawangan TH berhampiran.

 

Sekiranya ada sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Tabung Haji Contact Center (THCC) di talian 03-62071919 – THCC

Sumber: http://www.aynorablogs.com/2015/12/permohonan-rayuan-haji-musim-1437h-2016m.html#ixzz4IQhEKwZy

The Birth-Date of the Prophet and the History of the Mawlid

yasirqadhi

Dr. Yasir Qadhi

It is a commonly held belief that the birth-date of the Prophet ṣallallāhu 'alayhi wa sallam (peace and blessings of Allāh be upon him) is the 12th of Rabīʿ al-Awwal, in the ‘Year of the Elephant’, which is the year that the Abyssinian Emperor Abraha attacked the Kaʿbah with an army of elephants. However, most Muslims are unaware that there has always been great controversy over the precise date of the Prophet’s salla Allahu alayhi wa sallam birth, and it is quite possible that the 12th of Rabīʿ al-Awwal is not in fact the strongest opinion on the matter. Read more

Adakah Ramadhan Aku Diterima Tuhan?

Muhasabah: Adakah amal Ramadhan kita diterima oleh Allah s.w.t?

Generasi awal Islam merupakan generasi terbaik umat ini. Adalah sesuatu yang rasional untuk kita melihat contoh-contoh generasi terbaik ini. Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali r.h.m membawakan beberapa contoh tentang kerisauan generasi salaf/tiga generasi terawal Islam berkaitan pengabulan amalan kebaikan mereka oleh Allah s.w.t. Read more

Witir Bersama Imam Atau Balik Awal?

adikkakak

Terdapat beberapa dalil berkaitan solat witir yang menjadi rujukan dalam bab ini.

Pertama: Dalil menunjukkan tiada dua witir dalam satu malam.

عَنْ قَيْسِ بْنِ طَلْقِ بْنِ عَلِيٍّ ، عَنْ أَبِيهِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : ” لَا وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ “

‘Ali bin Abi Tholib radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tiada dua witir dalam satu malam.

[Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solat, hadis no: 470, hasan gharib]

Kedua: Dalil menunjukkan arahan menjadikan witir solat yang terakhir

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا ” .

‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Jadikanlan witir sebagai akhir solat kalian di waktu malam.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Witr, no: 998]

Ketiga: Boleh solat sunat selepas witir

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

كَانَ يُصَلِّي ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً ، يُصَلِّي ثَمَانَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ يُوتِرُ ، ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ

Baginda solat sebanyak tiga belas rakaat. Baginda melakukan solat sebanyak lapan rakaat, kemudian melakukan witir (sebanyak lima rakaat), kemudian solat dua rakaat dalam keadaan duduk.

[Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha, no: 738]

Keempat: Dalil galakan solat bersama imam sehingga selesai

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Sesungguhnya sesiapa yang solat Bersama imam sehingga selesai, ditulis untuknya (pahala) solat sepanjang malam. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Sawm, no; 806, hasan sahih].

Berdasarkan dalil-dalil di atas, terdapat dua cara yang boleh dilakukan. Read more

Puasa Tetapi Celaka

puasatetapicelaka

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Dalam sebuah hadis, tercatat kisah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengaminkan doa malaikat Jibril.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، ” أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَرَ ، فَلَمَّا رَقَى الدَّرَجَةَ الأُولَى ، قَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّالِثَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، سَمِعْنَاكَ تَقُولُ : آمِينَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ؟ قَالَ : لَمَّا رَقِيتُ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ” .

Jabir bin ‘Abdullah berkata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menaiki minbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepada ku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang engkau (iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.

[Al-Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, hadis no: 640. Shaikh al-Albani berkata ia Sahih Lighairihi dalam Sahih al-Adab al-Mufrad] Read more

Sunatkah Solat Terawih Berjemaah?

terawih

1Hukum Solat TerawihJumlah RakaatSunnahkah BerjemaahKadar Panjang Bacaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَن رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Abu Huraira radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menghidupkan (malam) Ramadhan dengan keimanan dan mengharap (pahala), diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, hadis no : 36]

Apakah itu solat terawih?

Terawih merupakan solat sunat di waktu malam. Bezanya ia dilakukan pada malam Ramadhan. Ia bermula daripada selepas solat Isya’ sehingga sebelum fajar. Kenapakah ia dinamakan terawih?

وَالتَّرَاوِيحُ : جَمْعُ تَرْوِيحَةٍ ، أَيْ تَرْوِيحَةٌ لِلنَّفْسِ ، أَيِ اسْتِرَاحَةٌ ، مِنَ الرَّاحَةِ وَهِيَ زَوَال الْمَشَقَّةِ وَالتَّعَبِ ، وَالتَّرْوِيحَةُ فِي الأْصْل اسْمٌ لِلْجِلْسَةِ مُطْلَقَةً ، وَسُمِّيَتِ الْجِلْسَةُ الَّتِي بَعْدَ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي لَيَالِي رَمَضَانَ بِالتَّرْوِيحَةِ لِلاِسْتِرَاحَةِ ، ثُمَّ سُمِّيَتْ كُل أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ تَرْوِيحَةً مَجَازًا ، وَسُمِّيَتْ هَذِهِ الصَّلاَةُ بِالتَّرَاوِيحِ ؛ لأِنَّهُمْ كَانُوا يُطِيلُونَ الْقِيَامَ فِيهَا وَيَجْلِسُونَ بَعْدَ كُل أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ لِلاِسْتِرَاحَةِ

At-Tarawih merupakan jama’/plural kepada perkataan tarwihah. Ia bermaksud merehatkan diri daripada kepenatan. Tarwihah pada asalnya adalah nama mutlaq untuk duduk, di mana duduk yang dilakukan antara empat rakaat pada malam Ramadhan untuk berehat. Kemudian, di namakan setiap empat rakaat solat itu dengan terawih sebagai kiasan, lalu dinamakanlah solat itu dengan nama solat terawih. Ini kerana mereka yang mendirikannya akan melamakan berdiri, dan duduk berehat pada setiap empat rakaat. [Al-Mau’suah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah]

Apakah hukum solat ini?

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى سُنِّيَّةِ صَلاَةِ التَّرَاوِيحِ ، وَهِيَ عِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ وَبَعْضِ الْمَالِكِيَّةِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ ، وَهِيَ سُنَّةٌ لِلرِّجَال وَالنِّسَاءِ ،

Ulama feqah bersepakat bahawa solat terawih hukumnya sunat. Ia dikira sunat muakkad di sisi mazhab Hanafi, Hanbali dan sebahagian ulama mazhab Maliki. Ia sunat kepada lelaki dan perempuan.

Jumlah Rakaat Terawih

Oleh kerana solat terawih termasuk dalam solat-solat malam. Maka ia dilakukan dua rakaat-dua rakaat tanpa sebarang batasan atau had jumlah rakaat.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ ، قَالَ : سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ ، مَا تَرَى فِي صَلَاةِ اللَّيْلِ ؟ قَالَ : ” مَثْنَى مَثْنَى ، فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى ، وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ : اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ ” .

‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Seorang lelaki bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda di atas minbar: Apakah pendapat engkau tentang solat malam. Baginda menjawab: Dua rakaat, dua rakaat. Apabila takut akan masuk waktu Subuh, solatlah satu rakaat untuk mengganjilkan bilangan rakaat solatnya. Baginda juga berkata: Jadikanlah akhir solat kalian witir, sesungguhnya baginda menyuruh begitu. [Sahih al-Bukhari, Kitab as-Solat, hadis no: 454]

Dr. Abdul Rahim bin Ibrahim dalam tulisannya bertajuk: (حكم التراويح والزيادة فيها على إحدى عشرة ركعة) merumuskan beberapa pendapat ulama, antaranya ialah kalam Imam al-Syafie:

رأيت الناس يقومون بالمدينة تسعًا وثلاثين ركعة، قال: وأحب إلي عشرون وكذلك يقومون بمكة، قال: وليس في شيء من هذا ضيق ولا حد ينتهي إليه؛ لأنه نافلة، فإن أطالوا القيام وأقلوا السجود، فحسن وهو أحب إلي، وإن أكثروا الركوع والسجود، فحسن

Imam al-Syafie berkata: Aku melihat orang ramai di Madinah mendirikan solat terawih sebanyak tiga puluh sembilan rakaat. Aku suka untuk melakukan sebanyak dua puluh rakaat, dan begitulah yang dilakukan oleh orang ramai di Mekah. Tidak ada satu pun dalil yang menyempitkan atau menghadkan bilangan rakaat kerana ia merupakan solat sunat. Jika orang ramai memanjangkan berdiri dan menjadikan jumlah sujud sedikit, maka ia baik dan lebih aku sukai. Seandainya mereka membanyakkan ruku’ dan sujud, maka itu juga baik.

Solat terawih boleh dilakukan sendirian, dan digalakkan untuk dilakukan secara berjemaah berdasarkan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Di dalam Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah dinyatakan bahawa sunat berjemaah di sisi majoriti ulama melainkan mazhab Malik. Ini berdasarkan hadis berikut:

عَنْ عَائِشَةَ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، ” صَلَّى فِي الْمَسْجِدِ ذَاتَ لَيْلَةٍ ، فَصَلَّى بِصَلَاتِهِ نَاسٌ ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا أَصْبَحَ ، قَالَ : قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ ، فَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ ، إِلَّا أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ، قَالَ : وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ ” .

‘Aisyah radiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam solat di masjid pada suatu malam, dan orang ramai pun solat bersama baginda. Kemudian pada malam seterusnya baginda mendirikan solat lagi dan jemaah semakin ramai. Kemudian pada malam ketiga atau keempat orang ramai sudah berkumpul tetapi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar untuk solat bersama mereka. Apabila hari telah siang, baginda berkata: Aku melihat apa yang kalian lakukan, tidak ada apa yang menghalang aku daripada keluar mendirikan solat bersama kalian melainkan kerana aku takut ia akan diwajibkan ke atas kalian. Perawi berkata: Hal ini berlaku dalam bulan Ramadhan. [Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafirin, hadis no: 1276]

Kelebihan Ikut Imam Sehingga Selesai

عَنْ أَبِي ذَرٍّ ، قَالَ : صُمْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ ، فَلَمْ يَقُمْ ، بِنَا حَتَّى بَقِيَ سَبْعٌ مِنَ الشَّهْرِ ، فَقَامَ بِنَا حَتَّى ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ ، ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا فِي السَّادِسَةِ ، فَقَامَ بِنَا فِي الْخَامِسَةِ ، حَتَّى ذَهَبَ شَطْرُ ، اللَّيْلِ ، فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، لَوْ نَفَّلْتَنَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِنَا هَذِهِ ، فَقَالَ : ” إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ” ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا حَتَّى بَقِيَ ثَلاثٌ مِنَ الشَّهْرِ ، فَقَامَ بِنَا فِي الثَّالِثَةِ ، وَجَمْعَ أَهْلَهِ وَنِسَاءَهُ حَتَّى تَخَوَّفْنَا أَنْ يَفُوتَنَا الْفَلاحُ ، قُلْتُ : وَمَا الْفَلاحُ ؟ قَالَ : السَّحُورُ

Abu Dzar radiallahu ‘anhu berkata: Kami puasa bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan. Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam tidak bangun mendirikan solat (malam/terawih) sehinggalah Ramadhan hanya tinggal tujuh hari sahaja. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wasallam pun mendirikan solat (malam/terawih) bersama kami sehingga berlalunya sepertiga malam.

Kemudian apabila malam keenam akhir Ramadhan, baginda sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mendirikan solat (terawih) bersama kami. Pada malam kelima akhir Ramadhan, baginda mendirikan solat (terawih) bersama kami hingga berlalunya separuh malam.

Aku (Abu Dzar ) berkata: Bagaimana jika kita penuhkan baki malam ini dengan solat sunat?

Baginda menjawab: Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama imam hingga selesai, ditulis untuknya (ganjaran) menghidupkan keseluruhan malam. Kemudian, baginda tidak solat (terawih) bersama kami hinggalah masuk malam ketiga akhir Ramadhan, lalu baginda pun solat bersama kami pada malam ketiga akhir itu. Baginda mengumpulkan ahli keluarganya dan isteri-isterinya (untuk solat terawih berjemaah) hingga kami takut-takut jika akan terlepas al-Falah. Seorang perawi bertanya: Apa maksud al-Falah. Dia menjawab: Sahur [Imam an-Nasaie dalam as-Sunan al-Kubra, Kitab Qiyamillail Wa Tathowu’ an-Nahar, hadis no : 1281]

Mencontohi Terawih Para Sahabat

Tidak ada had untuk bacaan di dalam solat terawih. Generasi soleh membaca bacaan yang panjang. Ilmuan Islam menggalakkan untuk mengkhatamkan al-Quran ketika solat terawih. Ini bertujuan agar para Jemaah dapat mendengar keseluruhan al-Quran di dalam bulan al-Quran (iaitu Ramadhan). Sebahagian daripada mereka memakruhkan untuk membaca melebihi had tersebut melainkan jika jemaah yang menghendaki hal tersebut. Maka untuk itu, tidak mengapa.

فقد روى مالك في الموطأ عن عبد الرحمن الأعرج,أنه قال : سمعتُ أبي يقول: : كُنَّا نَنْصَرِفُ فِي رَمَضَانَ ، فَنَسْتَعْجِلُ الْخَدَمَ بِالطَّعَامِ مَخَافَةَ الْفَجْرِ.

Imam Malik meriwayatkan di dalam al-Muwatta’, daripada Abdul Rahman al-A’raj, beliau berkata: Aku mendengar ayahku berkata: Ketika kami selesai melakukan solat terawih, pembantu-pembantu tergopoh-gapah menyediakan sahur kerana takut masuknya waktu Subuh. [Al-Muwatta’, jilid 1, m/s 172, no : 305]

وروى مالك أيضاً عن السائب بن يزيد ,قال : أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ : وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ ، حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ ، وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلاَّ فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ.

Imam Malik meriwayatkan jua daripada as-Saib bin Yazid, beliau berkata: Umar al-Khattab mengarahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari untuk mengimami manusia sebanyak sebelas rakaat. Imam ketika itu membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa berpegang kepada tongkat kerana lamanya berdiri. Kami tidaklah selesai solat melainkan apabila sudah hampir dengan waktu fajar. [Al-Muwatta’, jilid 1, m/s 172, no : 302]

وروى البيهقي بإسناده عن أبي عثمان الهندي قال: دَعَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ بِثَلاَثَةِ قُرَّاءٍ فَاسْتَقْرَأَهُمْ ، فَأَمَرَ أَسْرَعَهُمْ قِرَاءَةً أَنْ يَقْرَأَ لِلنَّاسِ ثَلاَثِينَ آيَةً ، وَأَمَرَ أَوْسَطَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ خَمْسًا وَعِشْرِينَ آيَةً ، وَأَمَرَ أَبْطَأَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ عِشْرِينَ آيَةً.

Di dalam Kitab Sunan Imam al-Baihaqi pula, dengan sanadnya daripada Abi Uthman al-Hindi, beliau berkata: ‘Umar menjemput tiga orang Qari al-Quran, lalu meminta mereka membaca al-Quran (menjadi imam solat terawih). Beliau meminta yang paling cepat bacaannya untuk membaca kepada manusia tiga puluh ayat, dan menyuruh yang sederhana bacaannya untuk membaca dua puluh lima ayat, dan menyuruh yang perlahan bacaannya untuk membaca dua puluh ayat. [Al-Sunan Al-Kubra, jilid 2, bab bacaan dalam solat malam Ramadhan, m/s 497, no : 4808]

Al-Imam Ibn Qudamah menyebutkan dalam Al-Mughni:

قَالَ أَحْمَدُ ، رَحِمَهُ اللَّهُ : يَقْرَأُ بِالْقَوْمِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ مَا يَخِفُّ عَلَى النَّاسِ ، وَلَا يَشُقُّ عَلَيْهِمْ ، وَلَا سِيَّمَا فِي اللَّيَالِي الْقِصَارِ ، وَالْأَمْرُ عَلَى مَا يَحْتَمِلُهُ النَّاسُ .وَقَالَ الْقَاضِي : لَا يُسْتَحَبُّ النُّقْصَانُ عَنْ خَتْمِهِ فِي الشَّهْرِ ؛ لِيَسْمَعَ النَّاسُ جَمِيعَ الْقُرْآنِ ، وَلَا يَزِيدُ عَلَى خَتْمِهِ كَرَاهِيَةَ الْمَشَقَّةِ عَلَى مَنْ خَلْفَهُ .وَالتَّقْدِيرُ بِحَالِ النَّاسِ أَوْلَى ؛ فَإِنَّهُ لَوْ اتَّفَقَ جَمَاعَةٌ يَرْضَوْنَ بِالتَّطْوِيلِ وَيَخْتَارُونَهُ ، كَانَ أَفْضَلَ .كَمَا رَوَى أَبُو ذَرٍّ ، قَالَ : { قُمْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى خَشِينَا أَنْ يَفُوتَنَا الْفَلَاحُ يَعْنِي السُّحُورَ .وَقَدْ كَانَ السَّلَفُ يُطِيلُونَ الصَّلَاةَ ، حَتَّى قَالَ بَعْضُهُمْ : كَانُوا إذَا انْصَرَفُوا يَسْتَعْجِلُونَ خَدَمَهُمْ بِالطَّعَامِ ، مَخَافَةَ طُلُوعِ الْفَجْرِ ، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِائَتَيْنِ

Imam Ahmad berkata: Imam membaca al-Quran pada bulan Ramadhan, pada kadar yang ringan untuk jemaah, tidak memberatkan mereka terutamanya di musim yang malamnya pendek (musim panas). Hal ini bergantung kepada keadaan jemaah. Al-Qadhi- Abu Ya’la- berkata: Tidak digalakkan untuk mengurangi daripada mengkhatami al-Quran di dalam bulan Ramadhan, ini bertujuan agar Jemaah dapat mendengar keseluruhan al-Quran, dan tidak pula ditambah melebihi kadar khatam al-Quran, kerana ia menimbulkan kesulitan kepada jemaah, dan mengambil kira keadaan jemaah itu lebih utama. Sesungguhnya, jika jemaah bersepakat untuk redha dan memilih bacaan yang panjang, maka itu lebih utama. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dzar: Kami solat bersama nabi sehingga kami berasa takut akan terlepas sahur. Generasi Salaf memanjangkan solat mereka sehingga sebahagian daripada mereka berkata: Apabila mereka selesai solat, pembantu-pembantu mereka tergesa-gesa menyediakan makanan sahur kerana takut masuknya waktu fajar. [Al-Mughni, jilid 3, m/s 392, no: 1097]

Ibn Abdil Barr pula berkata:

والقراءة في قيام شهر رمضان بعشر من الآيات الطوال ويزيد في الآيات القصار ويقرأ السور على نسق المصحف

Bacaan di dalam solat malam Ramadhan adalah sepanjang sepuluh ayat yang panjang, ditambah pada ayat yang pendek. Dibaca surah-surah menurut susunan mushaf al-Quran. [Al-Kafi Fi Fiqh Ahl Al-Madinah, jilid 1, bab solat at-Tathowwu’ wa as-Sunan (Bab Solat Sunat) m/s 256]

Yang paling penting dalam solat terawih ialah memanjangkan tempoh solat itu, tidak kira berapa rakaat yang kita lakukan, dan tidak melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa.

Ke Mana Kita Selepas Ramadhan?


Ke Mana Kita Selepas Ramadhan?

Ramadhan sudah lebih seminggu meninggalkan kita. Wajar kita meneliti keadaan kita, adakah kita sudah menjadi semakin baik selepas Ramadhan, atau keadaan kita kembali kepada yang asal sebelum Ramadhan.

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata:

من عمل طاعة من الطاعات و فرغ منها فعلامة قبولها أن يصلها بطاعة أخرى و علامة ردها أن يعقب تلك الطاعة بمعصية ما أحسن الحسنة بعد السيئة تمحوها و أحسن منها بعد الحسنة تتلوها و ما أقبح السيئة بعد الحسنة تمحقها و تعفوها ذنب واحد بعد التوبة أقبح من سبعين ذنبا

”Sesiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah, dan selesai pula melaksanakannya. Antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dia akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu. Manakala antara tanda tertolaknya sesuatu amalan ialah apabila amalan itu diikuti dengan sesuatu maksiat. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan, akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan sudah pasti yang terbaik ialah melakukan kebaikan selepas melakukan kebaikan yang lain. Yang paling buruk ialah melakukan kejahatan selepas kebaikan yang akan menghapuskan kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan. Melakukan dosa selepas seseorang bertaubat itu lebih buruk daripada tujuh puluh dosa sebelumnya. [Lathoif al-Maarif m/s 193] Read more

Tatacara Solat Raya

Tatacara Solat Hari Raya

Dalil Solat Hari Raya

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ ، قَالَتْ : ” أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَهُنَّ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى : الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ ، فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَعْتَزِلْنَ الصَّلَاةَ وَيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِينَ ” ، قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِحْدَانَا لَا يَكُونُ لَهَا جِلْبَابٌ ، قَالَ : ” لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا “

 

Ummu ‘Athiyyah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam memerintahkan kami untuk mengeluarkan (kaum wanita) pada (hari raya) Aidil Fitri dan Aidil Adha tidak kira sama ada mereka anak-anak dara, wanita yang haid, dan wanita-wanita yang sentiasa berada di dalam rumah. Adapun yang haid maka dia menjauhi tempat solat dan ikut menyaksikan kebaikan dan doa muslimin.

Aku berkata: “Wahai Rasulullah, salah seorang daripada kami tidak mempunyai tudung?”

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Hendaklah saudara perempuannya memakaikan dia dengan tudungnya”. [Sahih Muslim : 1481] Read more

« Older Entries Recent Entries »