Category Archives: Artikel

Ada Apa Dengan Nisfu Sya’ban?

Irsyad al-Hadith Siri ke-70: Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban

Soalan:

Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.

Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.

|| Matan hadith ||

Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:

• Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]

• Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing (bani) Kalb”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]

• Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]

• Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]

• Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

• Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]

• Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]

|| Tarjih Hukum Hadith ||

Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.

Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkan syawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]

|| Fiqh Hadith ||

Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:

• Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.

• Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.

• Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]

• Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat. Berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]

• Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]

• Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]

• Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الموبِقَاتِ . قالوا : يَا رَسُولَ اللهِ : وَمَا هُنَّ ؟ قال : الشِّركُ بِاللهِ ، وَالسِّحرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيْمِ ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ المحْصَنَاتِ المؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]

|| Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban ||

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:

Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]

Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]

|| Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب) ||

Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.

Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98] Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:

• Telah berkata Ibn Hajar al-Haithami:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]

• Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]

• Telah berkata Imam Ibn al-Jauzi:
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.

• Telah berkata Imam al-Syaukani:
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]

Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.

||Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban||

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.

|| Penutup ||

Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.

Sumber: https://www.facebook.com/drzulmuftiwp/photos/a.427172850756033.1073741829.423534687786516/715595985247050/?type=3

RUMUSAN KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN
(Yang Perlu Diketahui Awam)
Oleh Dr Kamilin Jamilin
 
1. Ada beberapa hadis yang sahih berkaitan bulan Sya’ban, seperti: Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya’ban (al-Bukhariy & Muslim), kelebihan berpuasa secara umum pada bulan Sya’ban kerana amalan diangkat pada bulan tersebut (riwayat Ahmad & al-Nasaiy) dan some hukum-hakam puasa sunat pada bulan Sya’ban.
 
2. Ada juga hadis berkaitan kelebihan bulan Sya’ban dan Nisfu Sya’ban yang dinilai palsu serta tiada asalnya oleh para ulama hadis, seperti hadis: “Sya’ban bulanku” dan hadis Allah mengutuskan malam Nisfu Sya’ban kepada Jibril AS.
 
3. Hadis kelebihan berpuasa khusus sempena Nisfu Sya’ban juga tiada yang sahih. Manakala jika sekadar berpuasa sunat biasa atau puasa hari-hari putih (13, 14, 15) maka ia digalakkan.
 
4. Hadis solat khas Nisfu Sya’ban (100 rakaat-setiap rakaat dibacakan 10x surah al-Ikhlas) dinilai palsu oleh ramai ilmuwan hadis, antaranya: Ibn al-Jawziy, al-Dzahabiy, al-‘Iraqiy, Ibn Hajar al-Haytamiy, al-Syawkaniy, dan lain-lain.
Al-Tartusyiy menyebut solat ini diwujudkan pada kurun ke-5h oleh seorang lelaki dari Nablus, Palestin.
Tiada dari kalangan imam 4 mazhab fiqh utama dunia yang menggalakkan solat khas ini, baik Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’iy, Ahmad, mahupun ulama-ulama hadis agung lain.
 
5. Tiada dalil sahih akan kelebihan malam Nisfu Sya’ban baik dari hadis Nabi SAW, mahupun athar para sahabat RA. Hadis dha’if yang diriwayatkan oleh Ibn Majah mengenai Allah mengampunkan dosa hambanya pada malam Nisfu Sya’ban pula tidak menunjukkan sebarang kelebihan khusus malam tersebut, kerana dalam Sahihayn, setiap malam Allah mengampunkan mereka yang memohon keampunan-Nya serta memakbulkan doa yang meminta pada satu pertiga akhir malam, tidak khusus pada malam Nisfu Sya’ban.
 
6. Sebahagian ahli Syam dari kalangan Tabi’in seperti Khalid bin Ma’dan dan lain-lain dilihat sebagai yang terawal memuliai malam Nisfu Sya’ban ini dengan menambah kesungguhan dalam beribadah padanya.
Ibn Rajab mengatakan ia berdasarkan athar Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut yang sampai kepada mereka (terdapat satu athar dari Nabi Dawud AS namun sanadnya penuh dengan perawi yang tidak dikenali!)??
Namun imam ahli Syam al-Awza’iy mengingkari perbuatan berhimpun di masjid demi meraikan malam tersebut.
Manakala ramai dari kalangan ulama Hijaz yang sezaman dengan ulama-ulama Syam di atas seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Ibn Abi Mulaykah dan beberapa ashab Malik di Madinah lebih bertegas dengan menegah dari mengistimewakan ibadah pada malam tersebut walau secara bersendirian di rumah.
 
7. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi SAW, para sahabat baginda RA & mereka yang mengikuti petunjuk mereka…Wallahu ta’ala a’lam…
Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1993377394223823&id=1743258955902336

Sya’ban: Persediaan Menuju Ramadhan

sya'ban

Usamah Bin Zaid Radiallahu ‘anhu berkata:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ ‏.‏ قَالَ ‏ “‏ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ ‏”‏ ‏.‏

Aku pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: Ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa. [Sunan an-Nasaie, Kitab al-Siyam, Bab Saumin Nabiy, hadis no: 2357. Shaikh Al-Albani menyatakan ia hadis hasan, Sahih an-Nasaie]. Read more

Bid’ahkah Puasa dan Qiamullail Dalam Bulan Rejab?

 

rejab

Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:

 

لم يرد في فضل شهر رجب، ولا في صيامه، ولا في صيام شيء منه، – معين، ولا في قيام ليلة مخصوصة فيه – حديث صحيح يصلح للحجة، وقد سبقني إلى الجزم بذلك الإمام أبو إسماعيل الهروي الحافظ، رويناه عنه بإسناد صحيح، وكذلك رويناه عن غيره،

Tidak wujud sebarang hadis yang sahih yang boleh dijadikan hujah berkaitan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, tidak juga berkaitan puasa pada sebarang hari yang khusus daripadanya, tiada juga tentang mendirikan qiamullail pada malam yang tertentu di dalamnya. Sesungguhnya al-Imam Abu Ismail al-Harawi telah mendahului kami dalam menyebutkan hal ini. Kami meriwayatkan daripadanya dengan sanad yang sahih, begitu juga kami telah meriwayatkan daripada selain beliau.

Read more

Kenapa Al-Quran Diturunkan Secara Beransur-Ansur?

Ulum al-Quran

Bilakah al-Quran mula diturunkan?

Firman Allah:

﴿ شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ﴾

Bulan Ramadhan yang mana padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan tentang petunjuk itu serta pembeza (antara kebenaran dan kebathilan). [Al-Baqarah : 185] Read more

Tatacara Solat Gerhana

Solat Gerhana

Maksud Solat Sunat Gerhana:

Al-Kusuf (الكسوف) bermaksud gerhana matahari tidak kira sama ada gerhana itu adalah gerhana penuh atau sebahagian sahaja.

Al-Khusuf (الخسوف) pula bermaksud gerhana bulan tidak kira sama ada gerhana itu adalah gerhana penuh atau sebahagian sahaja.

Adakalanya salah satu perkataan ini digunakan dengan maksud gerhana secara umum sama ada ia adalah gerhana matahari atau bulan.

Oleh kerana itu solat sunat gerhana merupakan solat sunat kerana sesuatu sebab. Sebab yang membolehkan didirikan solat gerhana ialah apabila gerhana itu berlaku. Jika tidak terjadi gerhana, maka tidak boleh didirikan solat ini.

Hadis-hadis berkaitan solat gerhana

Dalam bahagian ini akan ditampilkan beberapa hadis berkaitan solat gerhana daripada Sahih al-Bukhari.

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَانْكَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلْنَا فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى انْجَلَتِ الشَّمْسُ فَقَالَ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ ‏”‏‏.‏

Daripada Abu Bakrah radiallahu ‘anhu, kami bersama-sama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika berlakunya gerhana matahari. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bangun sambil menarik kain rida’nya sehingga baginda masuk ke masjid. Kami masuk ke masjid dan baginda solat bersama kami sebanyak 2 rakaat sehinggalah gerhana itu tamat. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana kerana kematian seseorang. Apabila kalian melihat gerhana, dirikanlah solat, berdoalah sehingga gerhana itu tamat. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1040]

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاسِ،

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, beliau berkata: Gerhana matahari telah berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu baginda mendirikan solat bersama orang ramai.

فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ، ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهْوَ دُونَ الْقِيَامِ الأَوَّلِ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ، وَهْوَ دُونَ الرُّكُوعِ الأَوَّلِ،

Baginda berdiri dan memanjangkan berdirinya. Kemudian ruku’ dan memanjangkan ruku’nya. Kemudian berdiri dan memanjangkan berdirinya tetapi lebih pendek daripada berdiri yang pertama. Kemudian baginda ruku’ dan memanjangkan ruku’nya tetapi lebih pendek daripada ruku’ yang pertama.

ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ، ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى، ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدِ انْجَلَتِ الشَّمْسُ، فَخَطَبَ النَّاسَ، فَحَمِدَ اللَّهَ، وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ

Kemudian baginda sujud dan memanjangkan sujudnya. Kemudian baginda melakukan perkara yang sama dalam rakaat kedua sebagaimana dalam rakaat pertama. Kemudian, baginda selesai solat ketika gerhana telah pun tamat. Kemudian baginda berkhutbah, baginda memuji Allah lalu berkata:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا، وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا .

Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Allah. Ia tidak gerhana kerana kematian atau kehidupan seseorang. Apabila kalian melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah solat, dan bersedekahlah.

ثُمَّ قَالَ : يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ، يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلاً وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا

Kemudian baginda berkata: Wahai umat Muhammad. Demi Allah! Tiada yang lebih cemburu daripada Allah apabila ada hambanya lelaki atau perempuan yang berzina. Wahai umat Muhammad. Demi Allah! Jika kalian tahu apa yang aku tahu, kalian akan sedikit ketawa dan banyak menangis. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1044]

Dalam riwayat Ibn’ Abbas dinyatakan bahawa nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat syurga dan neraka dalam solat gerhana.

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، رَأَيْنَاكَ تَنَاوَلْتَ شَيْئًا فِي مَقَامِكَ، ثُمَّ رَأَيْنَاكَ كَعْكَعْتَ‏.‏ قَالَ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنِّي رَأَيْتُ الْجَنَّةَ، فَتَنَاوَلْتُ عُنْقُودًا، وَلَوْ أَصَبْتُهُ لأَكَلْتُمْ مِنْهُ مَا بَقِيَتِ الدُّنْيَا، وَأُرِيتُ النَّارَ، فَلَمْ أَرَ مَنْظَرًا كَالْيَوْمِ قَطُّ أَفْظَعَ،

Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, kami melihat engkau cuba mengambil sesuatu dari tempat engkau, kemudian kami melihat engkau berundur. Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: Sesungguhnya aku melihat syurga, maka aku cuba mengambil buah-buahannya. Seandainya aku mengambil buah-buahan itu, nescaya kalian akan memakannya selama mana dunia ini masih wujud. Kemudian aku diperlihatkan neraka. Tidak ada pemandangan yang sangat teruk yang pernah aku lihat seperti hari ini.

وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ ‏”‏‏.‏ قَالُوا بِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ بِكُفْرِهِنَّ ‏”‏‏.‏ قِيلَ يَكْفُرْنَ بِاللَّهِ قَالَ ‏”‏ يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ كُلَّهُ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ ‏”‏‏.‏

Aku melihat majoriti ahli neraka adalah wanita. Para sahabat bertanya: Kenapa terjadi begitu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Disebabkan kekufuran mereka? Baginda ditanya: Adakah mereka kufur kepada Allah? Baginda menjawab: Mereka kufur kepada pasangan mereka, kufur kepada kebaikan pasangan mereka. Seandainya kamu melakukan kebaikan kepada mereka sepanjang tahun, kemudian dia melihat ada sesuatu yang tidak betul kamu lakukan, dia akan berkata: Aku tidak pernah lihat engkau melakukan kebaikan. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1052].

Hukum solat gerhana:

Hukumnya sunat muakkad iaitu sunat yang sangat ditekankan. Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda di dalam khutbah solat gerhana:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ،

Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Allah. Ia tidak gerhana kerana kematian atau kehidupan seseorang.

فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا، وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا .

Apabila kalian melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah solat, dan bersedekahlah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1044].

Walaupun hadis ini datang dalam bentuk arahan iaitu fi’il amr. Arahan yang ada bukanlah yang menunjukkan kewajipan, sebaliknya arahan ini menunjukkan sunat. Ini kerana terdapat dalil menunjukkan solat-solat selain daripada solat 5 waktu adalah solat sunat.

Daripada Talhah bin ‘Ubaidillah radiallahu ‘anhu, bahawa seorang lelaki dari Najd datang berjumpa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu bertanyakan tentang Islam. Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab:

‏”‏ خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا قَالَ ‏”‏ لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ ‏”‏‏.

Selawat 5 waktu pada siang dan malam. Lelaki itu bertanya: Adakah ada solat lain yang wajib? Baginda menjawab: Tiada, kecuali jika engkau mahu melakukan yang sunat. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no: 46]

Berjemaah atau bersendirian?

Di sunatkan agar solat ini didirikan secara berjemaah. Ini kerana dalil-dalil menunjukkan nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melakukannya secara berjemaah. Akan tetapi jika dilakukan secara bersendirian, solat itu tetap sah.

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاسِ،

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, beliau berkata: Gerhana matahari telah berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu baginda mendirikan solat bersama orang ramai. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1044].

Oleh kerana itu digalakkan membuat pengumuman untuk mengajak orang ramai menunaikan solat gerhana. Ini berdasarkan hadis berikut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ‏.‏

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Ketika berlakunya gerhana matahari di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, pengumuman dibuat (dengan melaungkan) : Sesungguhnya solat jemaah (akan didirikan). [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1045]

Tatacara solat gerhana

Tatacaranya boleh dibahagikan kepada dua iaitu

A- Tatacara yang minima yang sekadar cukup untuk sah.

B- Tatacara yang sempurna sebagaimana yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam

A- Tatacara yang minima

– Ia dilakukan 2 rakaat. Pada setiap rakaat akan mempunyai 2 ruku’ dan 2 kali berdiri untuk bacaan surah. Ini bermaksud solat ini mempunyai 4 ruku’ dan 4 kali berdiri untuk bacaan surah.

– Tatacara yang paling minima ialah solat 2 rakaat seperti solat-solat yang lain iaitu hanya 1 kali ruku’ untuk setiap rakaat. Solat seperti biasa ini sah akan tetapi hal ini menyelisihi apa yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

B- Tatacara sempurna

  • Ia dua rakaat. Pada setiap rakaat akan mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali berdiri untuk bacaan surah daripada al-Quran. Bermaksud ada 4 kali ruku’ dan 4 kali bacaan surah.
  • Membaca surah al-Fatihah dan surah yang panjang seperti al-Baqarah. Jika tidak, bacalah surah paling panjang yang kita hafal.
  • Melakukan ruku’ yang pertama yang panjang
  • Bangun dari ruku dan membaca al-Fatihah serta surah yang pendek sedikit daripada surah sebelumnya
  • Melakukan ruku’ yang panjang tetapi pendek sedikit daripada ruku’ sebelumnya
  • Melakukan sujud yang panjang
  • Duduk antara dua sujud
  • Sujud dengan sujud yang panjang
  • Melakukan rakaat kedua seperti rakaat pertama
  • Selesai mendirikan solat, imam akan berkhutbah dengan 2 khutbah sebagaimana khutbah untuk solat Jumaat. Hendaklah khatib menasihati makmum untuk bertaubat, melakukan kebaikan, dan mengingatkan mereka daripada kelalaian.

Sunnah-sunnah lain ketika gerhana berlaku

Selain daripada mendirikan solat, kita disunatkan untuk bersedekah, berzikir, berdoa sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis-hadis di atas.

Gerhana adalah amaran Allah

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، وَلَكِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ

Abu Bakrah radiallahu ‘anhu berkata: Rasululla sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Allah. Ia tidak gerhana kerana kematian seseorang. Tetapi Allah mahu menimbulkan rasa takut pada hamba-hambaNya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1048].

Menjauhi kepercayaan khurafat

عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، قَالَ كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ، فَقَالَ النَّاسُ كَسَفَتِ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ.

Al-Mughirah bin Syu’bah radiallahu ‘anhu berkata: Matahari telah gerhana di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada hari meninggalnya Ibrahim (anak lelaki baginda). Orang ramai berkata: Gerhana matahari berlaku kerana kematian Ibrahim.

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ

Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana kerana kematian atau kehidupan seseorang. Apabila kalian melihatnya, solatlah dan berdoalah kepada Allah.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1043]

 

Adakah boleh mengulangi solat fardhu?

kanak-kanak solat jemaah

Digalakkan mengulangi solat agar yang lewat dapat berjemaah

Jika seseorang telah mendirikan solat fardhu secara berjemaah, kemudian datang seseorang yang terlepas jemaah lalu mendirikan solat fardhu secara bersendirian. Digalakkan untuk yang telah solat tadi berjemaah dengan yang baru sampai agar dia turut mendapat pahala jemaah.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلاً يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏ “‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏”‏ ‏.‏

Daripada Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat seorang lelaki solat bersendirian. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Adakah ada sesiapa yang mahu bersedekah ke atas lelaki ini lalu mendirikan solat bersamanya? [Sunan Abi Daud, Kitab as-Solat, Bab Fi al-Jam’ fi al-Masjid marratain, hadis no: 574]. Read more

Kenapa perlu berniat?

niat yang ikhlas

عَنْ عُمَرَ – رضي الله عنه – ، قال : سَمِعْتُ رَسولَ اللهِ – صلى الله عليه وسلم -يقولُ : (( إنَّمَا الأعمَال بالنِّيَّاتِ وإِنَّما لِكُلِّ امريءٍ ما نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ فهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُوْلِهِ ومَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُها أو امرأةٍ يَنْكِحُهَا(1) فهِجْرَتُهُ إلى ما هَاجَرَ إليهِ )) . رواهُ البُخاريُّ ومُسلِمٌ

‘Umar radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya amalan itu mesti dengan niat. Sesungguhnya untuk setiap orang apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya ialah kepada Allah dan rasulNya, maka hijrahnya ialah ialah kepada Allah dan rasulNya. Sesiapa yang hijrahnya adalah untuk dunia yang akan dia perolehi, atau wanita yang akan dia nikahi. Maka hijrahnya itu untuk apa (tujuan) dia berhijrah kepadanya. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] Read more

Sunnahkah Merahsiakan Pertunangan?

cincin tunang dan kahwin

Terdapat sebuah riwayat berbunyi:

أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة
Hebahkanlah pernikahan, dan sembunyikanlah pertunangan. 

Riwayat ini diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus. Shaikh al-Albani al-Silsilah ad-Dhaifah menyatakan bahawa riwayat ini lemah.

Sebahagian ulama menggalakkan agar pertunangan dirahsiakan untuk mengelakkan mudharat jika ada orang yang cemburu.

Ini berdasarkan keumuman riwayat berikut:

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” اسْتَعِينُوا عَلَى إِنْجَاحِ الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ ، فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
Mu’az bin Jabal radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Mohonlah pertolongan dalam menjayakan hajat mu dengan merahsiakan ia. Sesungguhnya sesiapa yang memperolehi nikmat akan dicemburui.
[Riwayat at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir hadis no: 16639, Shaikh al-Albani menyatakan ia Sahih dalam Sahih al-Jami’]

Lalu bolehkah diadakan kenduri pertunangan?

Fatwa di bawah seliaan Shaikh Salih al-Munajid menyatakan:

وأما إقامة حفل للخطوبة فهو من الأمور التي اعتادها كثير من الناس ، ولا حرج في ذلك إن شاء الله تعالى .
Adapun berkaitan menganjurkan kenduri pertunangan, ia merupakan sebahagian urusan adat kebiasaan manusia. Tiada masalah dalam hal ini, Insya-Allah. (http://islamqa.info/ar/67884)

Di dalam fatwa lain disebutkan:
وما يفعله بعض المسلمين من إعلان الخطبة وما يقيمونه من أفراح وما يقدمونه من هدايا كل ذلك هو من باب العادات التي هي مباحة في الأصل ولا يحرم منها إلا ما دل الشرع على تحريمه ،
Apa yang dilakukan oleh sebahagian kaum Muslimin iaitu menghebahkan pertunangan, menganjurkan majlis kenduri, memberi hadiah, ini semua daripada bab adat istiadat yang boleh dilakukan pada hukum asalnya. Ia tidak diharamkan melainkan adanya dalil syara’ menunjukkan pengharamannya. ( http://islamqa.info/ar/20069 )

Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah pertunangan tidaklah menjadikan seseorang itu mahram. Maka hubungan mereka masih lagi hubungan bukan mahram, lalu perlu dijaga tatatusila. Tidak seperti budaya sebahagian masyarakat kita, di mana pasangan yang sudah bertunang bebas untuk pergi ke sana ke sini bersama, bergambar berdua, makan bersama, di atas alasan untuk saling mengenali antara satu sama lain.

SUNNAH-SUNNAH APABILA MENDENGAR AZAN

azan
 
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr radiallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ
Apabila kalian mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan.
 
ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Kemudian selawatlah ke atas ku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepada ku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali.
 
ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ ” .
Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaat ku akan diberikan kepadanya.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Mithl Qaul al-Muazzin…, hadis no: 384]
 
1- Menjawab azan dengan menyebutkan sebagaimana yang disebutkan oleh muazzin kecuali pada lafaz حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ dan حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ.
 
Daripada ‘Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ . قَالَ.
Kemudian (apabila muazzin) melaungkan: Marilah mendirikan solat. Seseorang itu hendaklah menjawab:
 
لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ .
Tiada kekuasaan dan kekuataan kecuali dengan Allah.
 
ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ . قَالَ
Kemudian (apabila muazzin) melaungkan: Marilah menuju kejayaan. Seseorang itu hendaklah menjawab:
 
لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
Tiada kekuasaan dan kekuataan kecuali dengan Allah.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Mithl Qaul al-Muazzin…, no: 385]
 
2- Berselawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam selepas selesai azan.
 
3- Mendoakan wasilah untuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Doa tersebut adalah seperti di bawah:
 
Daripada Jabir bin ‘Abdillah radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesiapa yang membaca selepas mendengar seruan azan:
 
اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ،
Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan. Berikan kepada Nabi Muhammad s.a.w wasilah dan kelebihan daripada Mu. Tempatkan baginda di tempat terpuji yang telah Engkau janjikan.
 
حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ “
Maka syafaat ku akan diizinkan kepadanya pada hari kiamat.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab ad-Dua’ ‘Inda an-Nida’, hadis no: 514].
 
4- Membaca zikir tersebut selepas muazzin selesai azan.
 
Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas radiallahu ‘anhu, daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda:
 
مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ الْمُؤَذِّنَ
Sesiapa yang menyebutkan bacaan tersebut apabila dia mendengar muazzin melaungkan azan:
 
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً وَبِالإِسْلاَمِ دِينًا .
Aku bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah. Dia Maha Esa dan tiada sekutu untukNya, dan Muhammad adalah hamba dan rasulNya. Aku redha Allah sebagai tuhan, dan Muhammad sebagai utusan dan Islam sebagai agama.
 
غُفِرَ لَهُ ذَنْبُهُ ” .
Maka diampuni dosanya.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Misla Qaul al-Muazzin.., hadis no: 386].
 
5- Membanyakkan doa antara azan dan iqamah.
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” الدُّعَاءُ لَا يُرَدُّ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ ” . قَالَ أَبُو عِيسَى : حَدِيثُ أَنَسٍ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Doa yang tidak ditolak ialah doa antara azan dan iqamah. [Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solat, hadis no: 196, hasan sahih]
.
 
Bagaimana pula dengan iqamah?
 
Majoriti ulama berpendapat sunat dilakukan seperti azan iaitu menjawabnya, membaca selawat, dan membaca doa wasilah. Ini kerana iqamah juga dipanggil azan. Ini pendapat mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali. Ini berdalilkan hadis berikut:
 
Daripada ‘Abdullah bin Mughaffal radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ـ ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ ـ لِمَنْ شَاءَ
Antara dua azan (iaitu antara azan dan iqamah) terdapatnya solat. Antara dua azan (iaitu antara azan dan iqamah) terdapatnya solat. Kemudian pada kali ketiga baginda menyebutkan: Untuk sesiapa yang mahu (mendirikan solat tersebut).
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab Bayna Kulli Azanain Solat Li Man Syaa, hadis no: 627].
 
Sebahagian ulama berpendapat menjawab, selawat dan membaca doa wasilah hanya sunnah selepas azan sahaja. Ini pendapat Shaikh Ibn al-Uthaimin dan Shaikh Bakar Abu Zaid. Mereka berkata bahawa azan dan iqamah dua perkara yang berbeza, persamannya hanya pada sudut nama sahaja.
 
Bagaimana dengan bacaan ketika menjawab lafaz قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ (Sesungguhnya solat akan didirikan)?
Hendaklah dijawab قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ jua berdasarkan keumuman hadis di atas. Adapun jawapan أَقَامَهَا اللَّهُ وَأَدَامَهَا (Allah akan membuatkan solat ini didirikan dan berterusan) adalah datang daripada riwayat yang dhaif dalam Sunan Abi Daud. Ia dhaif kerana terdapat seorang perawi mubham dalam sanadnya. Antara yang mendhaifkan ialah Ibnu Hajar dalam Talkhis Al-Habir.
 
Wallahua’lam.
 
#alkahficenter

Adakah manusia yang hidup dapat mendengar bunyi azab di kubur?

Azab Kubur

Sifat nikmat dan azab kubur

Dalam hadis Al-Bara’ bin ‘Azib:

فَيُنَادِي مُنَادٍ فِي السَّمَاءِ : أَنْ صَدَقَ عَبْدِي ، فَأَفْرِشُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ ، وَأَلْبِسُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ ، وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى الْجَنَّةِ . قَالَ : فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا ، وَطِيبِهَا ، وَيُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ مَدَّ بَصَرِهِ . قَالَ : وَيَأْتِيهِ رَجُلٌ حَسَنُ الْوَجْهِ ، حَسَنُ الثِّيَابِ ، طَيِّبُ الرِّيحِ ، فَيَقُولُ : أَبْشِرْ بِالَّذِي يَسُرُّكَ ، هَذَا يَوْمُكَ الَّذِي كُنْتَ تُوعَدُ ، فَيَقُولُ لَهُ : مَنْ أَنْتَ ؟ فَوَجْهُكَ الْوَجْهُ يَجِيءُ بِالْخَيْرِ ، فَيَقُولُ : أَنَا عَمَلُكَ الصَّالِحُ ، فَيَقُولُ : رَبِّ أَقِمِ السَّاعَةَ حَتَّى أَرْجِعَ إِلَى أَهْلِي ، وَمَالِي .

Lalu penyeru di langit berkata: “Benarlah apa yang dikatakan hamba-Ku itu! Oleh demikian, hamparkan permaidani dari syurga, berilah pakaian dari syurga dan bukakanlah pintu syurga baginya”. Di datangkan kepada bau dan wangian syurga. Kuburnya pula diluaskan sejauh mata memandang. Sabda Nabi sallahu `alaihi wassallam: “Kemudian datang kepadanya seorang lelaki yang mempunyai rupa paras yang cantik, memakai pakaian yang indah dan memakai wangian. Lelaki itu berkata: “Berbahagialah dengan pelbagai kesenangan yang disediakan kepadamu hari ini. Inilah hari yang telah dijanjikan kepadamu”. Dia (jenazah) bertanya kepada lelaki itu: “Siapakah kamu ini? Sebab wajahmu ialah wajah yang datang dengan kebaikan”. Lelaki itu menjawab: “Aku adalah amal soleh kamu”. Lalu jenazah itu berkata: “Wahai Tuhanku, segerakanlah hari kiamat, sebab aku ingin berkumpul bersama-sama keluargaku dan hartaku”. Read more

« Older Entries Recent Entries »