Hukum-Hakam Korban

harga-lembu-korban

Dalil-Dalil Pensyariatan Korban Hukum Melakukan Korban Waktu Untuk Ibadah KorbanAdab-Adab Melakukan KorbanTatacara Sembelihan Korban Falsafah KorbanMenjawab Salah Faham: 1- Ibadah korban menzalimi haiwan Menjawab Salah Faham: 2- Mimpi Nabi Ibrahim Bukan Daripada Allah Menjawab Salah Faham: 3- Maksud Sembelihan Hanyalah Kiasan Menjawab Salah Faham: 4- Mengapakah bantuan kepada orang miskin hanya difokuskan pada hari-hari tertentu sahaja dalam bulan Zul Hijjah? Menjawab Salah Faham: 5- Mengapakah kos untuk melaksanakan ibadah korban tidak digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat

Dalil-dalil pensyariatan

Firman Allah:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (2(

Dirikanlah solat dan sembelihlah korban. [Al-Kautsar : 2]

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai [keredhaan] Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. [al-Haj : 37]

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ، فَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا يُسَمِّي وَيُكَبِّرُ، فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ‏.‏

Daripada Anas radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyembelih dua ekor kibas yang mempunyai warna hitam dan putih. Aku melihat baginda meletakkan kakinya di atas sisi kibas itu, baginda menyebut nama (Allah), bertakbir, lalu menyembelih kedua kibas itu dengan tangannya. [Sahih al-Bukhari, Kitab Al-Adhohiy, Bab Man Dzabaha al-Adhohiy Bi Yadihi, hadis no: 5558].

عَنْ جُنْدَبٍ، قَالَ صَلَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ خَطَبَ، ثُمَّ ذَبَحَ فَقَالَ ‏ “‏ مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا، وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللَّهِ ‏”‏‏.‏

Daripada Jundab radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mendirikan solat pada hari An-Nahr kemudian baginda berkhutbah kemudian baginda menyembelih. Lalu baginda bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum mendirikan solat, hendaklah menyembelih yang lain untuk menggantikannya. Sesiapa yang belum menyembelih hendaklah menyembelih dengan nama Allah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Eidain, Bab Kalam al-Imam wa an-Nas Fi Khutbah al-‘Eid…, hadis no: 985].

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا ‏”‏

Daripada Ummu Salamah radiallahu ‘anha, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apabila masuknya sepuluh hari (awal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban, janganlah dia mencabut bulu atau kukunya. [Sahih Muslim, Kitab Al-Adhohiy, Bab Nahy Man Dakhala ‘Alaihi ‘Asyr Dzulhijjah…, hadis no: 1977].

Hukum Melakukan Korban

Di sisi mazhab Syafie ibadah korban adalah sunat muakkad kepada mereka yang berkemampuan. Ini juga adalah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama seperti Sa’id bin al-Musayyib, ‘Atho’, ‘Alqamah, Al-Aswad, Malik, Ahmad, Abu Yusuf, Ishaq, Abu Tsaur, Al-Muzani, Daud dan lain-lain. Ia hanya menjadi wajib apabila seseorang bernazar untuk melakukannya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukumnya wajib bagi mereka yang berkemampuan kecuali kepada orang yang menunaikan haji di Mina. Ini pendapat Rabi’ah, Al-Laits bin Sa’ad, Abu Hanifah, dan Al-Awza’ie.

Sebahagian ulama berpendapat ia wajib untuk orang yang bermukim. Ini pendapat Muhammad bin Hasan.

Ia adalah sunnah kifayah untuk sesebuah keluarga. Apabila salah seorang daripada ahli keluarga telah menunaikan ibadah korban maka sunnah ini telah terlaksana untuk kesemua ahli keluarga tersebut.

Bilakah waktu boleh melakukan korban?

عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ خَطَبَنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الأَضْحَى بَعْدَ الصَّلاَةِ فَقَالَ ‏”‏ مَنْ صَلَّى صَلاَتَنَا وَنَسَكَ نُسُكَنَا فَقَدْ أَصَابَ النُّسُكَ، وَمَنْ نَسَكَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّهُ قَبْلَ الصَّلاَةِ، وَلاَ نُسُكَ لَهُ ‏”‏‏.‏

Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib radiallahu ‘anhuma, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkhutbah kepada kmi pada hari Aidil Adha selepas solat. Baginda bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat seperti kami dan menyembelih korban seperti kami, maka  dia telah melakukan korban. Sesiapa yang melakukan korban sebelum solat, sesungguhnya ia sebelum solat, maka ia tidak dikira korban untuknya.

[Sahih al-Bukhari,  Kitab al-‘Eidain, Bab al-Akl Yaum an-Nahar, hadis no: 955].

Di sisi mazhab Syafie, masa sembelihan korban adalah pada pagi Aidil Adha bermula pada waktu selepas terbit matahari kira-kira dalam tempoh masa yang cukup untuk mendirikan solat dua rakaat yang ringkas dan dua khutbah yang ringkas. Tidak menjadi syarat agar imam telah mendirikan solat hari raya dan tidak juga menjadi syarat agar si pemilik korban telah mendirikan solat raya. Tempohnya pula tamat apabila terbenamnya matahari pada hari tasyriq yang ketiga (13 Zulhijjah). Ulama mazhab Syafie bersepakat bahawa dibenarkan menyembelih dalam tempoh ini tidak kira siang ataupun malam hanya sahaja dimakruhkan pada waktu malam berdasarkan beberapa riwayat yang kesemuanya dhaif.

Ulama mazhab Syafie juga bersepakat bahawa tidak sah sembelihan korban itu apabila dilakukan sebelum waktunya.

Di sisi mazhab Malik pula, korban hanya sah apabila dilakukan selepas imam selesai mendirikan solat dan khutbah dan imam selesai menyembelih korbannya.

Di sisi mazhab Ahmad pula tidak boleh kecuali selepas imam mendirikan solat.

Ibn al-Munzir menyatakan bahawa ulama bersepakat bahawa tidak sah sembelihan korban sebelum terbitnya matahari pada hari Aidil Adha.

Mereka yang menyatakan hanya sah sembelihan korban selepas imam mendirikan solat berdalilkan hadis berikut:

عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِي يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ، ثُمَّ نَرْجِعَ فَنَنْحَرَ، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا، وَمَنْ نَحَرَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ، لَيْسَ مِنَ النُّسْكِ فِي شَىْءٍ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ بْنُ نِيَارٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَبَحْتُ وَعِنْدِي جَذَعَةٌ خَيْرٌ مِنْ مُسِنَّةٍ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ اجْعَلْهُ مَكَانَهُ، وَلَنْ تُوفِيَ أَوْ تَجْزِيَ عَنْ أَحَدٍ بَعْدَكَ ‏”‏‏.‏

Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya perkara pertama kita lakukan pada hari kita ini ialah mendirikan solat. Kemudian kita pulang lalu menyembelih korban. Sesiapa yang melakukan hal itu, dia telah melakukan sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya itu adalah daging yang diberikan kepada keluarganya, dan tidak dikira sebagai korban sedikit pun. Seorang lelaki Ansar yang bernama Abu Burdah bin Niyar berkata: Ya Rasulullah, aku telah menyembelih, dan aku memiliki kambing betina yang lebih baik daripada kambing tua. Baginda menjawab: Jadikanlah ia sebagai ganti kepada sembelihan awal tadi. Hal ini tidak boleh untuk orang lain selepas kamu.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Eidain, Bab al-Khutbah Ba’da al-‘Eid, hadis no: 965].

Manakala ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa hadis seperti di atas menunjukkan tempoh waktu membolehkan sembelihan korban, dan bukannya syarat bahawa ia hanya boleh dilakukan selepas solat raya didirikan.

Daripada sudut tempoh hari dibolehkan melakukan korban. Mazhab Syafie seperti telah disebutkan bahawa masanya sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.  Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat bahawa ia hanya boleh dilakukan sehingga 12 Zulhijjah. Muhammad bin Sirin pula berpendapat ia hanya boleh dilakukan pada hari raya AidilAdha sahaja.

ADAB BAGI YANG MAHU MELAKUKAN KORBAN

1- Mengikhlaskan diri kepada Allah.

Firman Allah:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. [Al-Hajj : 37].

Seeloknya tidak perlu kita mewar-warkan kepada umum bahawa kita akan melakukan ibadah korban. Ini untuk menjaga keikhlasan kita supaya tidak rosak. Ulama-ulama salaf sangat suka menyembunyikan amalan mereka untuk menjaga keikhlasan mereka.

Zubair bin al-Awwam radiallahu ‘anhu berkata:

مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَكُونَ لَهُ خَبْءٌ مِنْ عَمَلٍ صَالِحٍ فَلْيَفْعَلْ

Sesiapa daripada kalian yang mampu menyembunyikan amal solehnya, lakukanlah hal tersebut.

[Musannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab az-Zuhud : 34063]

سفيان بن عيينة ، قال : قال أبو حازم اكتم حسناتك أشد مما تكتم سيئاتك

Sufyan bin ‘Uyainah berkata: Abu Hazim berkata: Sembunyikan kebaikan-kebaikan kamu melebihi kalian menutup keburukan-keburukan kalian.

[Hilyatul Awliya’].

Akan tetapi ini tidaklah bermaksud kita perlu menuduh mereka yang mewar-warkan ibadah korban mereka sebagai tidak ikhlas. Boleh jadi mereka mahu mengajak pembaca dan masyarakat sekeliling untuk melakukan ibadah ini. Bersangka baiklah kepada saudara-saudara kita.

2- Tidak mencabut bulu atau memotong bulu/rambut, dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai korban dilakukan.

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا ‏”‏

Daripada Ummu Salamah radiallahu ‘anha, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apabila masuknya sepuluh hari (awal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban, janganlah dia mencabut bulu atau kukunya.

Dalam riwayat lain:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Apabila kalian melihat anak bulan Zulhijjah, dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban. Hendaklah menahan diri daripada memotong rambut dan kukunya. [Sahih Muslim, Kitab Al-Adhohiy, Bab Nahy Man Dakhala ‘Alaihi ‘Asyr Dzulhijjah…, hadis no: 1977].

Menurut mazhab Syafie, dimakruhkan sesiapa yang ingin melakukan korban untuk memotong kuku dan sebarang bulu yang ada di tubuh badan bermula pada awal Zulhijjah sehinggalah dia melakukan korban.

Menurut Imam Malik dan Abu Hanifah: Tidak makruh.

Sa’id bin al-Musayyib, Rabi’ah, Ahmad, Ishaq dan Daud pula berpendapat ia haram.

Mazhab Syafie berhujahkan dalil di bawa untuk menunjukkan bahawa larangan dalam hadis di atas adalah makruh dan bukan haram.

عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ كُنْتُ أَفْتِلُ قَلاَئِدَ الْغَنَمِ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَيَبْعَثُ بِهَا، ثُمَّ يَمْكُثُ حَلاَلاً‏.‏

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, beliau berkata: Aku membuatkan kalung untuk kambing (yang akan dikorbankan) milik Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda mengirimkan kambing itu, kemudian baginda tinggal dalam keadaan tidak berihram. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, Bab Taqlid al-Ghanam, hadis no: 1703].

Seperti diketahui antara perkara yang dilarang dalam ihram ialah memotong kuku dan membuang bulu daripada badan. Oleh itu hendaklah seseorang yang akan melakukan korban untuk mengikuti sunnah ini. Potonglah kuku dan cabutlah atau cukurlah bulu-bulu di tubuh sebelum masuknya 1 Zulhijjah. Akan tetapi jika sudah terlanjur melakukan hal ini dalam bulan Zulhijjah, tidaklah ia merosakkan ibadah korban tersebut.

TATACARA MENYEMBELIH KORBAN.

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ، فَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا يُسَمِّي وَيُكَبِّرُ، فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ‏.‏

Daripada Anas radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyembelih dua ekor kibas yang mempunyai warna hitam dan putih. Aku melihat baginda meletakkan kakinya di atas sisi kibas itu, baginda menyebut nama (Allah), bertakbir, lalu menyembelih kedua kibas itu dengan tangannya. [Sahih al-Bukhari, Kitab Al-Adhohiy, Bab Man Dzabaha al-Adhohiy Bi Yadihi, hadis no: 5558].

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ فَقَالَ لَهَا ‏”‏ يَا عَائِشَةُ هَلُمِّي الْمُدْيَةَ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ ‏”‏ ‏.‏ فَفَعَلَتْ ثُمَّ أَخَذَهَا وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ ثُمَّ ذَبَحَهُ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ ضَحَّى بِهِ ‏.‏

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam meminta dibawakan seekor kibas yang mempunyai warna hitam pada kaki, perut dan mata. Lalu dibawakan kibas itu untuk baginda melakukan korban dengannya. Baginda berkata kepada ‘Aisyah: Ya Aisyah, bawakan aku pisau. Tajamkan ia dengan batu. Lalu ‘Aisyah melakukan hal itu. Kemudian baginda mengambil pisau itu dan kibas itu, lalu membaringkan kibas itu lalu menyembelihnya. Baginda membaca: Dengan nama ALlah, Ya Allah, terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan umat Muhammad. Baginda berkorban dengannya

[Sahih Muslim, Bab Istihbab Ad-Dhahiyyat wa Dzabhihah Mubasyaratan Bi La Tawkil wa at-Tasmiyah wa al-Takbir, hadis no: 1967]

1- Meletakkan kaki pada haiwan agar dapat menahannya daripada meronta-ronta sekaligus melancarkan dan mempercepatkan proses penyembelihan

2- Membaca Bismillah

2- Melafazkan takbir (Allahuakbar)

3- Membaca: Ya Allah, terimalah daripada aku dan ahli keluarga ku.

Sifat Ehsan Kepada Haiwan

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengajar kita agar bersifat ehsan hatta ketika menyembelih haiwan.

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ ، قَالَ : ثِنْتَانِ حَفِظْتُهُمَا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Syaddad bin Aus berkata: Dua perkara yang aku hafaz daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah mewajibkan ehsan atas segala sesuatu. Apabila kalian membunuh, bunuhlah dengan ehsan. Apabila kalian menyembelih, sembelihlah dengan ehsan. Hendaklah salah seorang kalian menajamkan pisaunya dan merehatkan haiwan sembelihannya.

[Sahih Muslim, Kitab as-Soid wa az-Zabaih, Bab Al-Amr Bi Ihsan adz-Dzabh…, hadis no: 1955]

Ehsan secara ringkasnya boleh dimaksudkan dengan ‘melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik’. Hadis di atas menggariskan dua cara terbaik menyembelih haiwan iaitu

1) Menajamkan pisau

2) Merehatkan haiwan supaya dia bertenang

Dalam hadis lain

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، أَنَّ رَجُلا أَضْجَعَ شَاةً يُرِيدُ أَنْ يَذْبَحُهَا وَهُوَ يَحُدُّ شَفْرَتَهُ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآَلِهِ وَسَلَّمَ : ” أَتُرِيدُ أَنْ تُمِيتَهَا مَوْتَاتٍ ، هَلا حَدَدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تُضْجِعَهَا

Abdullah bin Abbas radiallahu ‘anhuma meriwayatkan seorang lelaki membaringkan kambing biri-birinya untuk dia menyembelihnya. Dia mengasah pisaunya. Baginda berkata: Adakah engkau mahu membunuh haiwan ini dua kali? Tajamkanlah pisau engkau sebelum engkau baringkan ia.

[Al-Mustadrak ‘Ala Al-Sahihain, Kitab al-Adhohi, hadis no: 7563. Sahih atas Syarat Imam al-Bukhari]

Ini menunjukkan kita hendaklah hanya membaringkan haiwan itu apabila kita sudah bersedia untuk menyembelih, dan tidak membiarkan ia terbaring lama kerana ia bukan posisi yang selesa.

Akan tetapi, kita perlu memahami sifat ehsan ini dengan kefahaman yang benar. Sebahagian kita menyangka bahawa apabila menyembelih haiwan yang besar seperti lembu dan sebagainya sesuatu yang mudah, hinggakan jika seseorang menumbangkan lembu dengan menarik kakinya, duduk di atas lembu untuk mengelakkan dia daripada meronta turut dikatakan tidak ehsan.

Lihatlah kefahaman baginda sallallahu ‘alaihi wasallam tentang sifat ehsan. Satu amalan yang praktikal, dan bukan teori.

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ، فَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا يُسَمِّي وَيُكَبِّرُ، فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ‏.‏

Daripada Anas radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyembelih dua ekor kibas yang mempunyai warna hitam dan putih. Aku melihat baginda meletakkan kakinya di atas sisi kibas itu, baginda menyebut nama (Allah), bertakbir, lalu menyembelih kedua kibas itu dengan tangannya. [Sahih al-Bukhari, Kitab Al-Adhohiy, Bab Man Dzabaha al-Adhohiy Bi Yadihi, hadis no: 5558].

Jika diikutkan seolah-olah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tiada adab, tiada ehsan kerana meletakkan kaki pada haiwan itu. Tetapi inilah kefahaman ehsan yang benar, buat dengan cara yang terbaik yang mampu.

Nasihat kita kepada semua: Bersikap ehsanlah kepada haiwan tatkala menyembelih. Begitu juga, bersangka baiklah kepada saudara-saudara kita yang berpenat lelah menumbangkan haiwan korban. Ada baiknya jika kita tahu cara yang lebih baik, kita turut menyertai acara sembelihan agar dapat berkongsi ilmu dan mengajar orang lain cara lebih elok untuk menyembelih haiwan.

Falsafah Korban

 

Ia bukan sekadar haiwan yang disembelih. Haiwan-haiwan itu merupakan ibadah yang hikmahnya agar kita mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Cinta seorang ayah kepada si anak, dan sayang si anak kepada si ayah teruji.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلۡمَنَامِ أَنِّىٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰ‌ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُ‌ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٠٢)

Maka tatkala anak itu sudah sampai usia mampu bekerja bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. (102)

فَلَمَّآ أَسۡلَمَا وَتَلَّهُ ۥ لِلۡجَبِينِ (١٠٣) وَنَـٰدَيۡنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبۡرَٲهِيمُ (١٠٤) قَدۡ صَدَّقۡتَ ٱلرُّءۡيَآ‌ۚ إِنَّا كَذَٲلِكَ نَجۡزِى ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٠٥)

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya (103) Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, (104) sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu , sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. (105)

Ayat seterusnya, Allah menunjukkan sifat Rahmatnya, dan tujuan arahan itu, iaitu sebagai satu UJIAN.

إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلۡبَلَـٰٓؤُاْ ٱلۡمُبِينُ (١٠٦) وَفَدَيۡنَـٰهُ بِذِبۡحٍ عَظِيمٍ۬ (١٠٧) وَتَرَكۡنَا عَلَيۡهِ فِى ٱلۡأَخِرِينَ (١٠٨) سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ (١٠٩)

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. (106) Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar . (107) Kami abadikan untuk Ibrahim itu [pujian yang baik] di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (108)  “Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim”. (109)

Allah tidak zalim, Dia mahu menguji hambaNya, Dia juga menunjukkan RahmatNya. Boleh sahaja Dia membiarkan Nabi Ismail disembelih, tetapi Dia Maha Rahmat. Dia ar-Rahman dan ar-Rahim.

Falsafah korban ini perlu kita hayati, adakah kita sanggup mengorbankan perkara yang paling kita cintai demi Tuhan?

Adakah ketika bersedekah, kita memberikan sedekah yang terbaik? Atau sekadar barang-barang yang kita tidak mahu pakai? Ia satu pengorbanan jiwa.

Adakah ketika mempertahankan prinsip beragama, kita sanggup dicemuh orang? Atau kita akhirnya tunduk agar terus disukai orang? Ia satu pengorbanan.

Adakah ketika kita perlu mengorbankan masa demi mencari redha Tuhan dengan membantu dan membawa manusia lain kepada Tuhan, kita sanggup? Atau kita lebih rela pulang kerja, terus ke rumah berehat bersama keluarga. Yang penting aku dan keluarga aku bahagia?

Adakah ketika kita diuji dengan wang rasuah yang memberikan kemewahan, kita mampu menutup mata atau kita mengambilnya? Ia satu pengorbanan.

Si isteri dan anak melakukan maksiat, adakah kita mampu menegur? Ia satu pengorbanan.

Si anak mahu membina masjid, lalu kita terperangkap antara memudahkan perjalanan syariat atau menyukarkan dengan segenap adat? Ia satu pengorbanan.

Maksiat di depan mata, tiada siapa melihat kita, kita sendirian dalam bilik, hati kita berperang antara melakukannya dan takut kepada Tuhan. Ia satu pengorbanan.

Pengorbanan ini bukan untuk orang lain kecuali kita. Dengan pengorbanan kita tahu keimanan kita setebal mana. Dengan ujian Tuhan kita akan tahu akidah kita adalah teori atau realiti.

Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Hajar, menunjukkan sisi pengorbanan yang hebat demi Tuhan. Kerana mereka tahu Tuhan tidak akan mengabaikan insan yang berkorban untukNya. Itulah Allah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Merungkai Salah Tanggap Mengenai Ibadah Korban

 

Salah Tanggap 1: Ibadah korban bercanggah dengan tradisi berbelas kasihan dan rahmat yang terdapat dalam ajaran Islam

Jawapan: Dalil-dalil yang terdapat di dalam Al-Quran dan juga Al-Hadis mestilah difahami mengikut disiplin yang betul. Kita tidak boleh hanya tertumpu dengan sesuatu topik yang diulas oleh Al-Quran dan juga Al-Hadis sehingga mengabaikan dalil-dalil lain yang juga ada disebut di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Benar, terdapat ayat-ayat Al-Quran serta hadis-hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam yang menggambarkan bahawa agama Islam merupakan agama yang berbelas kasihan dan juga rahmat.

Namun jangan kita lupa bahawa terdapat ayat-ayat Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam yang menunjukkan bahawa ibadah disyariatkan dalam Islam. Antaranya adalah firman Allah:

﴿فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ﴾ [الكوثر: 2]

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”. (Surah Al-Kauthar: 2).

Dalil mengenai pensyariatan ibadah korban juga datang daripada hadis-hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Antaranya yang telah diriwayatakan oleh Anas bin Malik:

“ضَحَّى النَّبِيُّ ﷺ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ، فَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا، يُسَمِّي وَيُكَبِّرُ، فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ”. (صحيح البخاري، كتاب الأضاحي، باب من ذبح الأضاحي بيده، رقم الحديث: 5558).

Maksudnya: Daripada Anas radiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyembelih dua ekor kibas yang mempunyai warna hitam dan putih. Aku melihat baginda meletakkan kakinya di atas sisi kibas itu, baginda menyebut nama (Allah), bertakbir, lalu menyembelih kedua kibas itu dengan tangannya. [Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Adhohiy, Bab Man Dzabaha Al-Adhohiy Bi Yadihi, nombor hadis: 5558].

Berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan maka jelaslah bahawa pensyariatan ibadah korban termaktub di dalam Al-Quran juga dan hadis-hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak boleh diingkari dengan alasan bahawa ianya bercanggah dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang bertemakan berkasih sayang dan juga rahmat.

Hakikatnya tiada percanggahan antara dalil-dalil berkenaan kasih sayang dan rahmat dengan dalil-dalil yang mensyariatkan ibadah kurban. Hal ini kerana apabila Islam mensyariatkan ibadah korban, Islam juga telah menggariskan garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi bagi menjamin roh kasih sayang dan rahmah yang dianjurkan dalam agama ketika ibadah korban dilaksanakan.

Sekiranya terdapat pihak yang tidak mematuhi garis panduan yang telah digariskan Islam dalam ibadah korban sehingga ibadah korban kelihatan menzalimi haiwan korban maka kesalahan sepatutnya diletakkan ke atas pihak tersebut dan bukannya Islam.

Seandainya ibadah korban perlu dihentikan kerana terdapat sebahagian pihak yang melanggar etika kemanusiaan ketika menguruskan haiwan, maka lebih utama untuk bantahan dikemukakan kepada syarikat-syarikat besar yang menggunakan haiwan sebagai menu utama setiap hari termasuk restoran-restoran makanan segera yang berada di serata dunia. Hairan sungguh jika ibadah yang berlaku sekali setahun dibantah bersungguh-sungguh sedangkan apa yang berlaku setiap hari didiamkan.

Salah Tanggap 2: Berlaku salah tafsiran dalam kisah Nabi Ibrahim. Iaitu tiada bukti bahawa perintah menyembelih Nabi Ismail dalam mimpi Nabi Ibrahim berasal daripada Allah.

Jawapan: Sebelum saya mengulas lebih lanjut mengenai salah tanggap ini, ada baiknya dikemukakan ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan kisah mimpi Nabi Ibrahim عليه السلام menyembelih Nabi Ismail عليه السلام:

﴿فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى  قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ  سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ. فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ. وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ. قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا  إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ. إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ. وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ﴾ [الصافات: 102-107].

Maksudnya: Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu Kami panggil dia, “Wahai Ibrahim! sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.” Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. (Surah As-Saffat: 102-107).

Berdasarkan ayat diatas dapat dibuktikan bahawa mimpi Nabi Ibrahim عليه السلام menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام datang daripada Allah سبحانه وتعالى berdasarkan hujah-hujah berikut:

  1. Mimpi para Nabi عليه السلام merupakan wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى. Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Hakim رحمه الله dalam Al-Mustadrak ‘Ala As-Sahihain:

” رُؤْيَا الْأَنْبِيَاءِ وَحْيٌ “. (قال الحاكم: هذا حديث صحيح على شرط الشيخين ولم يخرجاه. قال الذهبي: على شرط البخاري ومسلم).

Maksudnya: “Mimpi para Nabi adalah wahyu”. (Al-Hakim berkata: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat Al-Bukhari dan Muslim tetapi mereka tidak memasukkan dalam kitab Sahih mereka”. Az-Zahabi berkata: “Hadis ini berdasarkan syarat Al-Bukhari dan Muslim”).

Terdapat dua cara Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu kepada para rasul عليهم السلام. Pertama, melalui perantaraan Malaikat Jibril. Kedua, tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril. Maksudnya, berdasarkan cara kedua, Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu secara terus kepada para rasul-Nya.

Terdapat dua cara Allah سبحانه وتعالى menyampaikan wahyu kepada para rasul عليهم السلام tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril. Pertama, melalui mimpi yang baik ketika tidur. Kedua, Allah berkata-kata dengan rasul-Nya dalam keadaan rasul tersebut dalam keadaan jaga disebalik hijab.

Mimpi Nabi Ibrahim عليه السلام menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام tersebut masuk dalam kategori wahyu Allah سبحانه وتعالى kepada para rasulnya melalui mimpi yang baik ketika tidur. Firman Allah:

﴿وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ  إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ﴾ [الشورى: 51].

Maksudnya: Dan tidaklah patut bagi seorang manusia bahwa Allah akan berbicara kepadanya kecuali dengan perantaraan wahyu atau dari belakang tabir atau dengan mengutus utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sungguh, Dia Mahatinggi, Mahabijaksana.

  1. Nabi Ismail عليه السلام membenarkan mimpi tersebut itu dengan cara baginda عليه السلام meminta ayahnya Nabi Ibrahim عليه السلام untuk melaksanakan mimpi tersebut. Firman Allah:

﴿قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى  قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ﴾  [الصافات: 102].

Maksudnya: (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu”. (Surah As-Saffat: 102).

Jika mimpi tersebut bukan datang daripada Allah سبحانه وتعالى sebagaimana mana yang telah didakwa sudah tentu Nabi Ismail عليه السلام tidak menyuruh Nabi Ibrahim عليه السلام menyembelihnya sebagaimana yang diperintahkan dalam mimpi Nabi Ibrahim عليه السلام.

  1. Allah سبحانه وتعالى membenarkan perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام yang membenarkan mimpi tersebut dengan bertindak untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Sekiranya mimpi tersebut bukan datang daripada Allah sudah tentu Allah tidak akan membenarkan perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Firman Allah سبحانه وتعالى:

﴿قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا﴾ [الصافات: 105].

Maksudnya: “Wahai Ibrahim! sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu”. (Surah As-Saffat: 105).

Daripada hujah-hujah diatas jelaslah bahawa mimpi yang dialami oleh Nabi Ibrahim عليه السلام itu benar datang dari sisi Allah سبحانه وتعالى.

Merungkai Salah Tanggap Mengenai Ibadah Korban (Siri 3)

 

Salah Tanggap 3: Mentafsirkan ayat ﴿وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ﴾ yang bermaksud: “Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar” secara simbolik iaitu yang dimaksudkan adalah: “Dan Kami tebus anak itu dengan pengorbanan yang penuh bermakna”. Iaitu apa yang dimaksudkan ayat tersebut adalah pengorbanan Nabi Ibrahim adalah mengenai kesediannya melepaskan perkara yang paling penting dalam hidupnya, untuk memenuhi apa yang dilihatnya sebagai kehendak pencipta Ilahi.

Jawapan: Para ulama tafsir mempunyai beberapa pandangan mengenai maksud ayat ﴿وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ﴾ sebagaimana yang dinukilkan oleh Al-Imam At-Tobari رحمه الله تعالى dalam kitab tafsir beliau. Pandangan-pandangan tersebut boleh diringkaskan sebagaimana berikut:

  1. Kambing biri-biri (كبش). Antara yang berpandangan sebegini ialah Ali bin Abi Talib رضي الله عنه.
  2. Kambing gurun (وعل). Antara yang berpandangan sebegini ialah Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما.
  3. Kambing (شاة). Antara yang berpandangan sebegini ialah Mujahid رحمه الله تعالى.

Setelah Al-Imam At-Tobari رحمه الله تعالى mengemukakan pandangan-pandangan ulama tafsir mengenai apakah yang dimaksudkan dengan ayat ﴿وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ﴾ beliau membuat kesimpulan berikut:

ولا قول في ذلك أصح مما قال الله جل ثناؤه، وهو أن يقال: فداه الله بذبح عظيم. وذلك أن الله عم وصفه إياه بالعظم دون تخصيصه، فهو كما عمه به.

Maksudnya: “Tiada perkataan yang lebih baik berbanding apa yang diperkatakan Allah, iaitu: Allah telah menebusnya dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Hal ini kerana Allah menyebutkan sifatnya secara umum, maka hendaklah dia (menuruti dengan sembelihan) yang besar tanpa menspesifikkan dan ianya seperti apa yang Allah telah sebutkan secara umum”.

Syeikh Solah Abdul Fatah Al-Khalidi حفظ الله تعالى turut mengemukakan pandangan yang senada dengan Al-Imam At-Tobari رحمه الله تعالى ketika beliau mengulas kisah Nabi Ibrahim عليه السلام  yang ingin menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام dalam kitab beliau yang berjudul Al-Qisos Al-Qurani:

وهذا الذبح العظيم الذي فدى الله به إسماعيل لا نعرف عنه شيئا، سوى أنه ذبح عظيم، فليس عندنا كلام عنه غير هذه الآية، ولا يوجد حديث صحيح يضيف معلومات إليها، فلا نعرف من أين جاء، وما حجمه، وما نوعه، وكيف ذبحه إبراهيم، ولا نخوض في تعيين هذه المبهمات!.

Maksudnya: “Kita tidak mengetahui sesuatu apa pun mengenai sembelihan yang besar (ذِبْحٍ عَظِيمٍ) yang Allah gantikannya dengan Ismail, kecuali ianya sembilahan yang besar, dan kita tidak mempunyai perkataan lain mengenainya melainkan hanya ayat ini, tidak ada hadis sahih yang menambah maklumat mengenainya, dan kita tidak tahu daripada mana haiwan itu datang, dan kadar saiznya, dan bagaimana Ibrahim menyembelihnya, dan kita tidak melibatkan diri dalam menspesifikkan perkara-perkara yang tidak diperincikan (oleh Al-Quran) ini”.

Kesimpulannya, walaupun terdapat beberapa pandangan ulama mengenai apakah yang dimaksudkan dengan (ذِبْحٍ عَظِيمٍ) namun pandangan yang paling tepat dalam perkara ini adalah kita tidak menspesifikkan haiwan yang dimaksudkan kerana tiada dalil sama ada daripada Al-Quran atau pun hadis-hadis yang sahih yang dapat menyokongnya.

Walaupun terdapat pelbagai pandangan ulama tafsir dalam mentafsirkan (ذِبْحٍ عَظِيمٍ) namun mereka semua bersepakat untuk mentafsirkannya sebagai haiwan yang hakiki. Adapun pandangan yang mentafsirkan (ذِبْحٍ عَظِيمٍ) dengan maksud kiasan ianya tidak pernah dilalui oleh para ulama tafsir.

Salah tanggap 4: Mengapakah bantuan kepada orang miskin hanya difokuskan pada hari-hari tertentu sahaja dalam bulan Zul Hijjah?

Jawapan: Dalil-dalil berkenaan galakan membuat kebaikan kepada golongan yang memerlukan terdapat yang bersifat umum dan terdapat pula yang bersifat khusus pada bentuk amalan dan hari tertentu. Apabila seseorang beramal dengan dalil-dalil spesifik yang menggesa melakukan kebaikan kepada orang yang memerlukan itu tidaklah bermakna bahawa beliau meninggalkan atau mengabaikan dalil-dalil yang menggesa agar membuat kebaikan kepada golongan yang memerlukan pada ketika yang lain.

               Terdapat begitu banyak dalil daripada Al-Quran dan juga Al-Hadis yang menggalakkan kita melakukan kebaikan kepada golongan yang memerlukan tanpa menspesifikkan hari tertentu.

Dalil-Dalil Menggalakkan Bersedekah Secara Umum

Dalil-dalil daripada Al-Quran:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لَا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خُلَّةٌ وَلَا شَفَاعَةٌ  وَالْكَافِرُونَ هُمُ الظَّالِمُونَ﴾ [البقرة: 254].

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari ketika tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan dan tidak ada lagi syafaat. Orang-orang kafir itulah orang yang zhalim”. (Surah Al-Baqarah: 254).

﴿آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ  فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ﴾ [الحديد: 7].

Maksudnya: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan infakkanlah (di jalan Allah) sebagian dari harta yang Dia telah menjadikan kamu sebagai penguasanya (amanah). Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menginfakkan (hartanya di jalan Allah) memperoleh pahala yang besar”.

Berikut pula merupakan dalil-dalil daripada hadis yang menggalakkan amalan berinfaq secara umum:

عن أبي هريرة رضي الله عنه، قال: قال رسول الله ﷺ: « مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ، وَلاَ يَقْبَلُ اللَّهُ إِلَّا الطَّيِّبَ، وَإِنَّ اللَّهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ، ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ، كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ، حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الجَبَلِ». (صحيح البخاري، كتاب الزكاة، باب الصدقة من كسب طيب، رقم الحديث: 1410).

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: “Barangsiapa yang bersedekah separuh daripada buah tamar (atau dengan nilainya) yang diperolehi dari hasil pekerjaan yang baik, dan Allah tidak menerima melainkan yang baik, sesungguhnya Allah menerima sedekah dengan tangan kanannya, kemudian Allah akan mengembangkan untuk pemberi sedekah tersebut sebagaimana salah seorang daripada kamu membesarkan anak kuda jantannya, sehingga menjadi seperti bukit”. (Sahih Al-Bukhari, Kitab Az-Zakah, Bab As-Sodaqah Min Kasb Toyyib, hadis no: 1410).

عن أبي هريرة رضي الله عنه، أن النبي ﷺ قال: «مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ العِبَادُ فِيهِ، إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا». (صحيح البخاري، كتاب الزكاة، رقم الحديث: 1442).

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: Setiap hari  terdapat dua malaikat yang turun daripada langit dan satu daripada mereka  berdoa: “Ya Allah berilah ganti kepada orang yang bersedekah”, dan malaikat yang satu lagi berdoa: “Ya Allah hapuskanlah orang yang menahan hartanya daripada bersedekah”. (Sahih Al-Bukhari, Kitab Az-Zakah, hadis no: 1442).

               Jika kita renungi kandungan dalil-dalil diatas kita akan mendapati galakan untuk bersedekah atau berinfaq kepada golongan yang memerlukan tidak disepesifikkan pada waktu-waktu yang tertentu. Oleh itu, dapat disimpulkan galakan bersedekah berlaku pada setiap masa.

Dalil-Dalil Yang Menggalakkan Bersedekah Secara Khusus Pada Hari Raya ‘Id Al-Adha

Berikut merupakan dalil daripada Al-Quran:

﴿لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ  فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ﴾ [الحج: 28].

Maksudnya: “Agar mereka menyaksikan berbagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang telah ditentukan atas rezeki yang diberikan Dia kepada mereka berupa haiwan ternak. Maka makanlah sebagian darinya dan (sebagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir”.

Berikut pula merupakan dalil daripada hadis:

عن عائشة، أن رسول الله ﷺ قال: «مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا». (سنن الترمذي، أبواب الأضاحي عن رسول الله ﷺ، باب ما جاء في فضل الأضحية، رقم الحديث: 1493، وقال الترمذي: هذا حديث حسن غريب).

Daripada Aisyah, sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda: “Tidak ada amalan anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari An-Nahar (Hari Raya ‘Id Al-Adha) berbanding menumpahkan darah (haiwan koran), sesungguhnya haiwan yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat dengan dengan tanduk-tanduk, bulu-bulu dan kuku-kukunya, sesungguhnya darah itu akan diterima oleh Allah sebelum darah itu tumpah ke atas tanah. Oleh itu, buatlah dengan cara yang terbaik”. (Sunan At-Tarmizi, Abwab Al-Adhahi ‘An Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Bab Ma Ja’a Fi Fadhl Al-Adhiyyah, hadis no: 1493).

               Berdasarkan dalil-dalil yang disebut sebelum ini sama ada mengenai galakan bersedekah secara umum atau pun mengenai galakan untuk bersedekah secara spesifik pada hari tertentu dapat dirumuskan bahawa anggapan yang mengatakan bahawa Islam hanya menggalakkan amalan bersedekah pada hari tertentu sahaja dan mengabaikan amalan bersedekah pada hari-hari yang lain adalah tidak benar sama sekali.

Salah tanggap 5: Mengapakah kos untuk melaksanakan ibadah korban tidak digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat dalam membantu golongan yang memerlukan?

Jawapan: Pensyariatan ibadah korban sabit berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis sebagaimana yang telah dikemukakan dalam jawapan kepada salah tanggap yang pertama mengenai ibadah korban. Justeru, mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menghapuskan sesuatu ibadah yang jelas wujudnya dalil di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

               Dalam isu membantu golongan yang memerlukan bantuan, Islam telah mensyariatkan pelbagai bentuk amalan untuk membantu mereka. Terdapat yang bersifat wajib ke atas sebahagian orang Islam yang berkemampuan dan terdapat yang bersifat sunat kepada setiap orang Islam.

               Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas sebahagian orang Islam yang berkemampuan bagi membantu golongan-golongan yang berhak menerimanya. Terdapat 8 golongan yang telah ditetapkan Islam yang layak menerima zakat dan salah satu golongan tersebut merupakan golongan fakir dan miskin. Firman Allah:

﴿إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ  فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ  وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ﴾ [التوبة: 60].

Maksudnya: “Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat (pengagih zakat kepada golongan-golongan yang lain), yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajiban dari Allah. Allah Maha Mengetahui, Mahabijaksana”. (Surah At-Taubah: 60).

               Selain daripada amalan yang bersifat wajib seperti zakat, Islam juga mensyariatkan amalan-amalan sunat untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan seperti sedekah sama ada dalam bentuk wang, pakaian, makanan dan lain-lain. Termasuk dalam kategori sedekah dalam bentuk makanan adalah pengagihan sebahagian daging daripada haiwan yang dikorbankan kepada golongan yang memerlukan. Dalil-dalil mengenai sedekah telah saya kemukakan ketika menjawab salah tanggap yang ke-4 mengenai ibadah korban.

               Kesimpulannya, tidak tepat untuk menghentikan ibadah penyembelihan haiwan pada Hari Raya ‘Id Al-Adha dengan tujuan menggunakan kos mengorbankan haiwan untuk membantu golongan yang memerlukan kerana Islam telah pun mensyariatkan pelbagai amalan yang lain bagi membantu golongan yang memerlukan seperti zakat dan juga sedekah.

               Sekiranya terdapat kelemahan oleh pihak pengurusan zakat dalam mengagihkan zakat kepada golongan yang memerlukan, apa yang perlu dilakukan adalah kita perlu bersama-sama berganding bahu membantu pihak pengurusan zakat menambah-baik mutu perkhidmatan mereka dan bukannya dengan bertindak menghapuskan sesuatu amalan yang jelas disyariatkan dalam Al-Quran dan Al-Hadis.