Imam Tidak Baca Basmalah

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Apa pandangan ustaz, seorang imam besar masjid telah menegur di khalayak ramai, seorang pelajar bukan Malaysia yang mengimami solat jemaah, tetapi tidak membaca Basmalah dalam surah Al-Fatihah.

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh.

Mukadimah:

Sebelum kita masuk ke dalam bab hukum. Kita hendaklah melihat kepada suasana sekeliling kita. Ini kerana isu basmalah atau tidak, bukanlah isu yang ijma’/disepakati hukumnya dalam kalangan ulama Islam.

Oleh kerana itu, jika di kampung-kampung, atau di kawasan golongan kurang berpendidikan, tidak wajar rasanya imam tidak membaca atau tidak menguatkan basmalah. Ini kerana tahap ilmu dan pendidikan masyarakat di situ. Ia akan menimbulkan masalah dalam jemaah masjid tersebut.

Akan tetapi jika di universiti, seharusnya hal ini tidak menjadi isu. Pelajar universiti, tidak kira apa bidangnya, seharusnya mempunyai satu sikap mencari ilmu, mengkaji, apatah lagi isu yang berkaitan ibadah seharian. Bahkan dengan kepelbagaian imam solat yang ada, akan membuatkan pelajar-pelajar berfikiran terbuka, dan meraikan perbezaan pendapat yang wujud sejak zaman salaf.

Untuk menjawab persoalan di atas berkaitan hukum bacaan basmalah. Di sini, kami ringkaskan huraian daripada Tafsir al-Qur’an al-Azhim oleh Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah.

1-     Adakah Bismillah sebahagian daripada surah dalam al-Quran?

– Ulama sepakat bahawa ia merupakan sebahagian daripada surah an-Naml

– Ulama berbeza pendapat kepada beberapa pandangan:

A- Ia bukan satu ayat daripada surah, tetapi ia hanyalah satu ayat yang berasingan yang ditulis pada setiap awal surah

B- Ia merupakan sebahagian daripada surah tersebut?

C- Ia hanya merupakan ayat permulaan untuk surah al-Fatihah sahaja, dan bukan surah-surah yang lain.

D- Ia bukanlah satu ayat, sebaliknya ia berfungsi untuk memisahkan antara satu surah dengan satu surah yang lain.

Dengan melihat kepada isu pertama ini, kita pasti akan dapat memahami bahawa ini merupakan antara punca sebahagian ulama mewajibkan membaca basmalah dalam surah al-Fatihah, sebahagian yang lain tidak.

Siapakah ulama-ulama tersebut?

Yang berpendapat bahawa Basmalah merupakan ayat daripada awal setiap surah kecuali surah Bara’ah/At-Taubah ialah:

Sahabat nabi: Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Ibn az-Zubair, Abu Hurairah, ‘Ali radiallahu ‘anhum ajma’in.

Daripada generasi tabi’in pula ialah: ‘Atho’, Thowus, Sa’id bin Jubair, Makhul, az-Zuhri, ‘Abdullah bin al-Mubarak, Al-Syafie, salah satu riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam rahimahumullah.

Yang berpendapat ia bukan ayat daripada mana-mana surah pula ialah: Imam Malik, Abu Hanifah dan ulama-ulama mazhab mereka.

Yang berpendapat bahawa ia satu ayat yang berasingan daripada semua surah: Imam Daud az-Zohiri dan salah satu riwayat Imam Ahmad.

Kita masuk pula topik seterusnya, adakah basmalah dibaca kuat atau perlahan?

Ulama-ulama yang berpendapat bahawa Basmalah bukan sebahagian surah al-Fatihah, maka mereka berpendapat bahawa ia dibaca dengan perlahan.

Manakala ulama-ulama yang menyatakan bahawa Basmalah sebahagian daripada surah al-Fatihah, ada yang berpendapat bahawa ia dibaca kuat, dan ada yang berpendapat ia dibaca perlahan.

Yang berpendapat ia dibaca dengan kuat ialah:

Daripada sahabat nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: Abu Hurairah, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Muawiyah radiallahu ‘anhum ajma’in.

Daripada Tabi’in ialah: Sa’id bin Jubair, ‘Ikrimah, Abu Qilabah, Az-Zuhri, ‘Ali bin al-Husain, Muhammad bin ‘Ali, Sa’id bin al-Musayyib, ‘Atho’, Thowus, Mujahid, Salim, Muhammad bin Ka’ab, Abu Bakar bin Muhammad, Abu Wail, Ibn Sirin, Muhammad bin al-Munkadir, ‘Ali bin ‘Abdullah, Muhammad bin ‘Ali, Nafi’, Zaid bin Aslam, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, Al-Azraq bin Qais, Habib bin Abi Tsabit, Abu al-Sya’ta’, Makhul, Abdullah bin Ma’qil.

Ini kerana apabila ia merupakan sebahagian daripada surah al-Fatihah, maka ia dibaca kuat sebagaimana ayat-ayat lain dalam surah al-Fatihah. Ini juga berdalilkan riwayat-riwayat berikut:

عَنْ نُعَيْمٍ الْمُجْمِرِ , أنَّهُ قَالَ : ” صَلَّيْتُ وَرَاءَ أَبِي هُرَيْرَةَ فَقَرَأَ : بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ , ثُمَّ قَرَأَ بِأُمِّ الْقُرْآنِ حَتَّى بَلَغَ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ , قَالَ : آمِينَ , وَقَالَ النَّاسُ : آمِينَ , وَيَقُولُ كُلَّمَا سَجَدَ : اللَّهُ أَكْبَرُ وَإِذَا قَامَ مِنَ الْجُلُوسِ مِنَ اثْنَتَيْنِ , قَالَ : اللَّهُ أَكْبَرُ , ثُمَّ يَقُولُ إِذَا سَلَّمَ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنِّي لأَشْبَهُكُمْ صَلاةً بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” . هَذَا صَحِيحٌ وَرُوَاتُهُ كُلُّهُمْ ثِقَاتٌ .

Nu’aim bin al-Mujmar berkata: Aku pernah solat di belakang Abu Hurairah radiallahu ‘anhu. Lalu beliau membaca: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kemudian beliau membaca surah al-Fatihah sehingga selesai. Beliau pun menyebut: Amin. Jemaah pun menyebutL Amin. Setiap kali hendak sujud, beliau akan menyebut: Allah Maha Besar.  Apabila bangun daripada duduk di rakaat kedua,beliau menyebut: Allah Maha Besar. Kemudian, selepas selesai memberi salam, beliau berkata: Demi Tuhan yang diri ku di TanganNya. Sesungguhnya aku yang mencontohkan kepada kalian solat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. [Sunan ad-Daraquthni, Kitab as-Solat, hadis no: 1014. Imam ad-Daraquthni berkata: Hadis ini sahih. Perawi-perawinya semuanya thiqah]

عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ سُئِلَ أَنَسٌ كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَةُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.‏ فَقَالَ كَانَتْ مَدًّا‏.‏ ثُمَّ قَرَأَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، يَمُدُّ بِبِسْمِ اللَّهِ، وَيَمُدُّ بِالرَّحْمَنِ، وَيَمُدُّ بِالرَّحِيمِ‏.‏

Daripada Qatadah, beliau berkata: Anas bin Malik radiallahu ‘anhu ditanya tentang bacaan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Anas pun menjawab: Baginda membaca dengan mad (iaitu memanjangkan bacaan). Kemudian baginda  membaca dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang. Baginda memanjangkan bacaan bismillah. Memanjangkan sebutan ar-Rahman, dan memanjangkan sebutan ar-Rahim. [Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhoil al-Quran]

Yang berpendapat ia dibaca dengan perlahan ialah:

Daripada sahabat nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: Khalifah yang empat iaitu Abu Bakar, ‘Umar, Uthman dan ‘Ali radiallahu ‘anhum ajma’in, ‘Abdullah bin Mughaffal.

Ia juga pendapat sekelompok ulama tabi’in. Ia merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah, at-Tsauri, dan Ahmad bin Hanbal.

Imam Malik pula berpendapat ia tidak dibaca langsung.

Hujah mereka ialah:

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : ” صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ ، وَعُمَرَ ، وَعُثْمَانَ ، فَلَمْ أَسْمَعْ أَحَدًا مِنْهُمْ يَقْرَأُ : بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ سورة الفاتحة آية 1

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Aku solat bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakr, ‘Umar, Uthman. Aku tidak mendengar seorang pun daripada mereka membaca “bismillah…” [Sahih Muslim, Kitab as-Solat, hadis no: 610]

عَنْ أَنَسٍ قال : ” صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ ، وَعُمَرَ ، وَعُثْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ فَلَمْ أَسْمَعْ أَحَدًا مِنْهُمْ يَجْهَرُ بِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ سورة الفاتحة آية 1 “

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Aku solat bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakr, ‘Umar, Uthman. Aku tidak mendengar seorang pun daripada mereka menguatkan bacaan “bismillah…” [Sunan an-Nasaie as-Sughra, Kitab al-Iftitah, hadis no: 897]

Hendaklah kita merenung kesimpulan yang diberikan oleh Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah:

فهذه مآخذ الأئمة، رحمهم الله، في هذه المسألة وهي قريبة؛ لأنهم أجمعوا على صحة صلاة من جهر بالبسملة ومن أسر، ولله الحمد والمنة

Inilah hujah-hujah para imam rahimahumullah. Bab ini merupakan satu perbezaan pendapat yang kecil. Ini kerana mereka bersepakat bahawa sahnya solat sesiapa yang menguatkan basmalah dan sahnya solat orang yang membaca dengan perlahan. Segala puji bagi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *