Istiqamah Atas Ketaatan

conf-morning-apr-09-sm

Terdapat banyak arahan dan suruhan untuk manusia istiqamah.

Allah berfirman:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ

Istiqamahlah kami sebagaimana kamu diarahkan. [Hud : 112]

Dr. Wahbah az-Zuhaily di dalam Tafsir al-Munir menyatakan:

والمقصود بهذا الأمر الدّوام والاستمرار على ما هو عليه

Maksud arahan ini (iaitu untuk istiqamah) ialah sentiasa dan berterusan di atas yang dia lakukan.

Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyatakan di dalam Syarah Riadussolihin:

الاستقامة هي أن يثبت الإنسان على شريعة الله سبحانه وتعالى كما أمر الله

Istiqamah ialah tetapnya seseorang melaksanakan syariat Allah sebagaimana yang Allah arahkan.

Allah telah menjanjikan kebahagiaan untuk manusia yang sentiasa berpegang teguh dengan syariat Allah di dalam apa jua keadaan.

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ (30) نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ (31) نُزُلًا مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ (32)

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka [dengan mengatakan]: “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan [memperolehi] syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”. (30) Kamilah Pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya kamu memperolehi apa yang kamu inginkan dan memperolehi [pula] di dalamnya apa yang kamu minta. (31) Sebagai hidangan [bagimu] daripada Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (32) [Fussilat : 30-32]

Ayat di atas berbicara tentang konsistennya kita berpegang kepada tauhid. Sudah pasti, tiada perkara paling utama dan lebih besar daripada mentauhidkan Allah. Berterusan memurnikan ibadah kepada Allah dan kerana Allah semata-mata, dan berterusan menafikan sebarang sekutu kepada Allah.

Hadiah untuk sebuah istiqamah juga sangat hebat. Hidup kita tidak sentiasa cerah. Adakalanya sakit, adakalanya sibuk. Untuk manusia yang sentiasa istiqamah, Allah menjanjikan pahala yang sama tatkala mereka sibuk atau tidak mampu melakukan ibadah yang mana mereka lakukan ketika mereka sihat dan senggang.

Abu Burdah berkata:

سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا ‏”‏‏.‏

Aku mendengar Abu Musa berulang kali menyebutkan: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila seseorang itu sakit atau bermusafir, maka ditulis baginya (pahala) sebagaimana ketika dia beramal dalam keadaan bermukim dan sihat [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa as-Siyar, hadis no: 2996]

عَنْ أَنَسٍ : أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِذَا ابْتَلَى اللَّهُ الْعَبْدَ الْمُسْلِمَ بِبَلَاءٍ فِي جَسَدِهِ ، قَالَ لِلْمَلَكِ : اكْتُبْ لَهُ صَالِحَ عَمَلِهِ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُ ، فَإِنْ شَفَاهُ ، غَسَلَهُ وَطَهَّرَهُ ، وَإِنْ قَبَضَهُ ، غَفَرَ لَهُ وَرَحِمَهُ

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila Allah menguji seorang Muslim dengan ujian pada jasadnya. Allah berkata kepada malaikat: Tuliskan untuknya amal yang soleh yang biasa dia lakukan. Seandainya Allah menyembuhkan dia. Maka Allah akan membersihkan dan mensucikan dia. Jika Allah mengambil nyawanya, maka Allah akan mengampuni dan merahmatinya. [Musnad Ahmad, Musnad Anas bin Malik, hadis no: 13738, Shaikh Syu’aib al-Arnaouth berkata: Sahih Lighairihi, Isnad hadis ini hasan]

عَنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ كَانَتْ لَهُ صَلَاةٌ صَلَّاهَا مِنَ اللَّيْلِ فَنَامَ عَنْهَا كَانَ ذَلِكَ صَدَقَةً تَصَدَّقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهِ وَكَتَبَ لَهُ أَجْرَ صَلَاتِهِ

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang sentiasa melakukan solat malam. Lalu dia tertidur (sehingga tidak qiamullail), maka itu merupakan sedekah daripada Allah untuknya. Ditulis untuknya pahala solat itu. [Sunan An-Nasaie As-Sughra, Kitab Qiyam al-Lail wa Tathowwu’ an-Nahar, hadis no: 1774]

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah menukilkan di dalam Fathul Bari:

وَهُوَ فِي حَقِّ مَنْ كَانَ يَعْمَلُ طَاعَةً فَمُنِعَ مِنْهَا وَكَانَتْ نِيَّتُهُ لَوْلَا الْمَانِعُ أَنْ يَدُومَ عَلَيْهَا

Hal ini untuk orang yang biasa melakukan amal soleh, lalu dia terhalang daripada melakukannya. Orang itu mempunyai niat jika dia tidak ada penghalang, dia akan melakukan hal tersebut.

Shaikh Uthman al-Khamees berkata:

والحيض مرض عارض يمنع صاحبته مماكانت تفعله وهي صحيحة، فإذا أتاها وكان لها رصيد من العبادة، وعادة من الطاعة لم يمنعها من مواصلتها إلا الحيض فإن لها من الأجر مثل ما كانت تعمل وهي صحيحة

Haidh adalah penyakit yang menghalang pemiliknya daripada melakukan kebiasaan yang dilakukan ketika sihat. Seandainya datangnya haidh sedangkan dia memiliki ibadah yang biasa dia lakukan, dan tiada apa yang menghalangnya daripada terus melakukannya melainkan haidh. Maka si wanita ini akan tetap menerima pahala sebagaimana ketika dia beramal dalam keadaan tidak haidh [ http://www.almanhaj.com/vb/showthread.php?t=24822 ]

Justeru itu, dapat kita fahami bahawa kesilapan yang sering kita lakukan ialah menunggu saat sakit dan tua untuk membanyakkan ibadah. Hakikatnya, banyakkanlah ibadah di waktu sihat, bertenaga dan masa yang lapang, agar ketika sakit, sibuk, dan lemah, kita masih mendapat pahala yang mengalir kerana keazaman kita mahu melakukan ibadah itu, tetapi tidak mampu melakukannya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *