Kemudahan Tayamum

debutayamum

Tayammum

 

Dalil berkaitan tayamum daripada al-Quran:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

 

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuhlah) kakimu sehingga dengan kedua tumit, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali daripada tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperolehi air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur. (al-Maidah:6)

 

 

حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ حُصَيْنٍ الْخُزَاعِيُّ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى رَجُلًا مُعْتَزِلًا لَمْ يُصَلِّ فِي الْقَوْمِ ، فَقَالَ : ” يَا فُلَانُ ، مَا مَنَعَكَ أَنْ تُصَلِّيَ فِي الْقَوْمِ ؟ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ ، قَالَ : عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيكَ

Daripada ‘Imran bin Hushain radiallahu ‘anhu  bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang memencilkan diri dan tidak bersolat Jemaah bersama kaum Muslimin, baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: Ya fulan, apa yang menghalang engkau daripada solat berjemaah? Lelaki itu menjawab: Ya Rasulullah, aku dalam keadaan junub, dan tiada air (untuk mandi wajib), lalu baginda sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Engkau bertayamumlah dengan tanah, sesungguhnya ia sudah cukup untuk engkau. [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tayammum, hadis no: 338]

 

Cara Tayamum:

 

عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رضي الله عنهما قَالَ : بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَاجَةٍ ، فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِد الْمَاءَ ، فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : ” إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا ، فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ، ثُمَّ نَفَضَهَا ، ثُمَّ مَسَحَ بِها ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Dari ‘Ammar bin Yasir radiallahu’anhu bahawa dia berkata; Rasulullah sallallahu ‘alaihi sassalam mengutusku untuk sesuatu urusan lalu aku mengalami junub dan ketika itu aku tidak menemui air. Oleh kerana itu aku pun berguling-guling di tanah (untuk bersuci) sebagaimana haiwan berguling-guling. Aku menceritakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Hal tersebut Nabi bersabda” Sebenarnya sudah cukup bagimu bersuci dengan cara seperti ini. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memukulkan kedua tapak tangannya di atas tanah dengan sekali pukulan. Kemudian baginda meniupnya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu belakang tapak tangan kanan dengan tapak tangan kirinya, dan menyapu belakang tapak tangan kiri dengan tapak tangan kanannya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu wajahnya’ [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tayammum, hadis no: 337]

 

Ringkasan tatacara tayamum:

1- Niat

2- Menepuk tapak tangan ke tanah, lalu menipiskannya

3- Menyapu muka dan pergelangan tangan

 

Khilaf tatacara tayamum:

 

Sekali atau dua tepukan pada tanah?

Ulama khilaf dalam hal ini. Sekali tepuk: Mazhab Hanbali, Ibn Hazm dan Ibn Taimiyyah memilih sekali tepuk.

Dua kali tepuk: Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, at-Tsauri, al-Laith, Ibn ‘Umar, al-Sya’bi, al-Hasan al-Basri, memilih dua tepukan di tanah (satu untuk wajah, satu lagi untuk tangan). Pendapat ini berdasarkan beberapa riwayat. Pengarang Sahih Fiqh as-Sunnah menyatakan semua riwayat dua tepukan adalah lemah. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

 

Hingga siku atau pergelangan tangan?

Hingga siku: Mazhab Hanafi dan Syafie kerana ia sama seperti wudhu

Hingga pergelangan tangan: Mazhab Maliki dan Hanbali kerana dalil-dalil di atas [al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah]

 

Pembatal Tayammum:

1- Sepakat ulama semua pembatal wudhu akan membatalkan tayamum [Sahih Fiqh as-Sunnah]

2- Sepakat ulama jika menemui air sebelum menunaikan solat, batal tayamum. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

3- Jika air ada ketika solat sedang didirikan, ulama berbeza pendapat:

 

Berhenti solat, mengambil wudhu dan mengulangi solat: Ini mazhab Abu Hanifah, Ahmad

Teruskan solat: Imam Malik, al-Syafie, satu riwayat Ahmad, Abu Tsaur, Daud dan Ibn al-Munzir [Sahih Fiqh as-Sunnah]

Apakah debu yang boleh digunakan?

Khilaf ulama:

 

Pertama: Permukaan bumi secara mutlak, tidak kira pasir, gunung, batu, ataupun tanah. Ini pendapat Abu Hanifah, Abu Yusuf, Malik dan Ibn Taimiyyah.

Kedua: Tanah sahaja. Ini pendapat mazhab Syafie, Hanbali, Abu Tsaur dan Ibn al-Munzir. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

 

Sebab Membolehkan Tayamum

Dalam Sahih Fiqh as-Sunnah disebutkan:

 

1- Tiada air

2- Tidak boleh menggunakan air kerana keuzuran. Antaranya:

 

a) Air ada tetapi hanya cukup untuk sebahagian tubuh sahaja.

Khilaf ulama: Dia membasuh anggota yang dapat dibasuh, apabila air habis dia bertayamum untuk anggota yang belum dibasuh. Ini mazhab Ahmad, salah satu pendapat Imam al-Syafie, dan Ibn Hazm.

 

Dalil pendapat ini ialah:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Bertaqwalah kepada Allah menurut kemampuan kalian [at-Taghabun : 16]

 

Terus bertayamum tanpa menggunakan air: Mazhab Abu Hanifah, Malik dan salah satu pendapat mazhab Syafie serta sebahagian ulama salaf. Mereka berpegang tidak boleh digabungkan dua bentuk cara bersuci.

 

b) Air hanya cukup untuk keperluan diri, orang lain atau haiwan peliharaan. Ulama sepakat dia boleh bertayamum

 

c) Sakit, yang memudharatkan atau akan lambat sembuh jika menggunakan air.

Majoriti ulama: Membolehkan tayamum

Atho’ dan al-Hasan hanya membenarkan yang tiada air sahaja.

 

d) Sebahagian anggota tubuh tidak boleh terkena air, sebahagian lagi boleh.

Ulama yang melarang menggabungkan dua cara bersuci (seperti dalam sebab A) menyatakan ia melihat kepada keadaan. Jika kebanyakan anggota tubuh yang perlu dibasuh mampu terkena air, maka hendaklah menggunakan air, dan yang tidak boleh terkena air dibiarkan sahaja. Tetapi jika kebanyakan anggota yang perlu dibasuh tidak boleh terkena air, maka cukup tayamum sahaja. Ini mazhab Abu Hanifah dan Malik.

 

Yang berkata boleh menggabungkan dua cara bersuci (seperti dalam sebab A) iaitu mazhab Syafie dan Ahmad pula menerangkan: Bahagian yang terkena air perlu dibasuh, yang tidak boleh terkena air perlu ditayamum.

 

e) Cuaca sejuk sangat yang memudharatkan

Jika tiada air panas, atau tidak mampu memanaskan air, maka boleh tayamum. Ini pendapat majoriti ulama.

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Janganlah kalian membunuh diri sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang dengan kalian [an-Nisa’ : 29]

 

f) Hujung waktu solat dan tidak sempat menggunakan air

Tidak boleh tayamum: Mazhab Syafie, Hanafi, dan Abu Yusuf

Boleh tayamum: Ahlur Ra’yi, al-Auzai’e, Malik, Ibn Hazm, dan Ibn Taimiyyah agar dapat solat pada waktunya

 

g) Orang yang terlewat bangun, dan terjaga ketika hujung waktu solat

Boleh tayamum: Malik, al-Auzai’e, at-Tsauri dan Ibn Hazm.

Tidak perlu tayamum: Majoriti iaitu Abu Hanifah, al-Syafie, Ahmad, salah satu pendapat Malik, Ibn Taimiyyah. Ini berdalilkan:

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ ، قَالَ : ذَكَرُوا لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَوْمَهُمْ عَنِ الصَّلَاةِ ، فَقَالَ : ” إِنَّهُ لَيْسَ فِي النَّوْمِ تَفْرِيطٌ ، إِنَّمَا التَّفْرِيطُ فِي الْيَقَظَةِ ، فَإِذَا نَسِيَ أَحَدُكُمْ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا ، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا

Abu Qatadah radiallahu ‘anhu berkata: Para sahabat menceritakan tentang tidur mereka yang menyebabkan terlepas solat. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sesungguhnya tiada kelalaian dalam tidur. Kelalaian itu berlaku ketika jaga. Apabila salah seorang kalian lupa daripada mendirikan solat atau tidur, maka solatlah apabila dia ingat [Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solat, hadis no: 162]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *