Kenapa buat Allah Cemburu?

River of love

Seorang suami akan berasa cemburu melihat si isterinya keluar dengan seorang lelaki bukan mahram. Kecemburuannya adalah lambang manifestasi cinta seorang suami kepada isteri yang dinikahinya. Sungguh malang seorang isteri jika mendapat seorang suami yang tidak cemburu.

Seorang isteri akan berasa cemburu melihat si suami melayani wanita lain, hatta madunya sendiri. Kecemburuan ini melambangkan kesetiaan dan kecintaan seorang isteri kepada si suami. Bersyukurlah suami kerana mempunyai isteri yang cemburu.

Si suami yang menyedari kecemburuan isterinya, akan berusaha menenangkan perasaan si isteri dengan menzahirkan cintanya, dan menjauhi perkara yang menambah kecemburuannya.

Si isteri yang memahami kecemburuan si suami, akan berusaha mentaati si suami kerana dia tahu perihal cemburu suaminya.

Kita semua faham akan hal itu. Kita memahami bahawa perasaan cemburu manusia perlu diraikan, apatah lagi insan tersayang. Kita berusaha mengelakkan membuat insan tersayang berasa cemburu kepada kita.

Tetapi…

Kenapa sanggup kita membuat Allah cemburu? Tidakkah Allah sudah membuktikan kasih sayangnya dengan rahmat yang tidak putus?

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِنَّ لِلَّهِ مِائَةَ رَحْمَةٍ أَنْزَلَ مِنْهَا رَحْمَةً وَاحِدَةً بَيْنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ وَالْبَهَائِمِ وَالْهَوَامِّ ، فَبِهَا يَتَعَاطَفُونَ ، وَبِهَا يَتَرَاحَمُونَ ، وَبِهَا تَعْطِفُ الْوَحْشُ عَلَى وَلَدِهَا وَأَخَّرَ اللَّهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً يَرْحَمُ بِهَا عِبَادَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ” .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat. Allah menurunkan satu rahmatNya untuk dibahagikan kepada jin, manusia, haiwan ternakan dan serangga. Dengan rahmat ini mereka saling mengasihi, menyayangi. Dengan rahmat ini seekor haiwan buas mengasihi anaknya. Allah mengakhirkan sembilan puluh sembilan rahmat lagi yang mana dengannya Dia akan Merahmati hamba-hambaNya pada hari Kiamat. [Sahih Muslim, Kitab at-Taubat, hadis no: 4950]

Tidakkah kita berasa bersalah dengan rahmat yang Allah berikan dalam keadaan kita membuatkan Allah cemburu?

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” لَيْسَ أَحَدٌ أَوْ لَيْسَ شَيْءٌ أَصْبَرَ عَلَى أَذًى سَمِعَهُ مِنَ اللَّهِ ، إِنَّهُمْ لَيَدْعُونَ لَهُ وَلَدًا وَإِنَّهُ لَيُعَافِيهِمْ وَيَرْزُقُهُمْ

Abu Musa radiallahu ;anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tiada siapa yang dapat bersabar atas perkataan keji yang dia dengar melebihi kesabaran Allah. Sesungguhnya mereka mendakwa Allah mempunyai anak, dan sesungguhnya Dia pula memaafkan mereka dan memberikan rezeki kepada mereka. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no: 5661]

Sesungguhnya Allah cemburu. Dia cemburu melihat kita melakukan maksiat!

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ :‏ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ، مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ، وَمَا أَحَدٌ أَحَبَّ إِلَيْهِ الْمَدْحُ مِنَ اللَّهِ ‏”‏‏.‏

‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu meriwayatkan, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tiada seseorang pun yang lebih cemburu daripada Allah. Oleh kerana itu, Allah mengharamkan perbuatan keji. Tiada seorang pun yang lebih suka kepada pujian melebihi Allah. [Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, hadis no: 5220]

عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ مَا أَحَدٌ أَغْيَرَ مِنَ اللَّهِ أَنْ يَرَى عَبْدَهُ أَوْ أَمَتَهُ تَزْنِي يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلاً وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا

‘Aisyah radiallahu ‘anha meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Wahai umat Muhammad! Tiada seorang pun yang lebih cemburu daripada Allah tatkala melihat hambaNya berzina. Wahai umat Muhammad! Seandainya kalian mengetahui apa yang aku tahu, nescaya kalian akan sedikit ketawa dan banyak menangis.

[Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, hadis no: 5221]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ يَغَارُ وَإِنَّ الْمُؤْمِنَ يَغَارُ وَغَيْرَةُ اللَّهِ أَنْ يَأْتِيَ الْمُؤْمِنُ مَا حَرَّمَ عَلَيْهِ

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah Cemburu, sesungguhnya orang beriman cemburu. Cemburu Allah ialah apabila seorang manusia beriman melakukan apa yang Dia Haramkan. [Sahih Muslim, Kitab at-Taubah, hadis no: 2761]

Jika dengan pasangan kita sanggup menjaga hati mereka daripada cemburu. Lalu kenapa sampai hati kita menimbulkan kecemburuan Allah?

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *