Kenapa Wajib Mencintai Nabi?

 

Dalil-Dalil Wajib Mencintai Nabi

1) Surah at-Taubah ayat 23:

قُلْ إِنْ كَانَ آَبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

“Katakanlah: “Seandainya bapa-bapa, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (QS. At Taubah: 24).

Al-Imam Ibnu Kasir rahimahullah mengatakan:
“Jika semua hal-hal tadi lebih dicintai daripada Allah dan Rasul-Nya, serta berjihad di jalan Allah, maka tunggulah musibah dan malapetaka yang akan menimpa kalian.” [Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Kasir, 7/164, Muassasah Al Qurthubah.]

2) Surah al-Ahzab ayat 6:,

النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

“Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka, isteri-isteri mereka dan ibu-ibu mereka.” (QS. Al Ahzab: 6).

3) Dalil daripada hadis
‘Abdullah bin Hisyam berkata, “Kami pernah bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan baginda memegang tangan Umar bin Khattab radiallahu ’anhu. Lalu Umar berkata, ”Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali terhadap diriku sendiri.” Kemudian Nabi sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda:

لاَ وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ

”Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, (imanmu belum sempurna) sehingga aku menjadi yang paling dicintai di sisimu daripada dirimu sendiri.” Kemudian ’Umar berkata, ”Sekarang, demi Allah. Engkau (Rasulullah) lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Kemudian Nabi sallallahu ’alaihi wa sallam berkata, ”Saat ini pula wahai Umar, (imanmu telah sempurna)” [HR. al-Bukhari no. 6632]

Rasional Wajib Mencintai Nabi?

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

”Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, dia amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.” (QS. At Taubah: 128)

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah banyak berkorban untuk umat Islam. Sukar bagi insan beriman melupakan bagaimana kaum musyrikin menghina nabi, mencederakan baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam dilempari najis, dihina sebagai orang gila, tetapi baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak berundur dari medan dakwah. Maka, memang rasional menyatakan kewajipan kita ialah mencintai nabi.

Faedah Mencintai Nabi:

[1] Merasai kemanisan iman

Daripada Anas radiallahu ’anhu , Nabi sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

“Tiga perkara yang seandainya ia wujud pada diri seseorang, nescaya dia akan mendapat kemanisan iman (tiga perkara tersebut ialah): Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya; mencintai saudaranya, dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah; dan benci kembali pada kekufuran sebagaimana benci dilemparkan dalam api neraka.” [HR. al-Bukhari no. 16 dan Muslim no. 43] [2] Bersama Nabi di Akhirat Kelak

Daripada Anas bin Malik, beliau mengatakan bahawa seseorang bertanya pada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, “Bila terjadi hari kiamat, wahai Rasulullah?” Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata, “Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapinya?” Orang tersebut menjawab, “Aku tidaklah melakukan persiapan untuk menghadapi hari tersebut dengan banyak solat, banyak puasa dan banyak sedekah. Tetapi yang aku persiapkan adalah cinta Allah dan Rasul-Nya.” Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ

“(Kalau begitu) engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.” [HR. al-Bukhari no. 6171 dan Muslim no. 2639]

Dalam riwayat lain, Anas mengatakan, “Kami tidaklah pernah merasa gembira sebagaimana rasa gembira kami ketika mendengar sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam: Anta ma’a man ahbabta (Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai).” Anas pun mengatakan, “Kalau begitu aku mencintai Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, Abu Bakar, dan ‘Umar. Aku berharap mampu bersama dengan mereka kerana kecintaanku pada mereka, walaupun aku tidak mampu beramal seperti amalan mereka.” [HR. al-Bukhari no. 3688] [3] Memperolehi Kesempurnaan Iman

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

“ Seseorang itu tidaklah beriman hingga aku lebih dicintainya daripada anak dan orang tuanya serta manusia seluruhnya.” [HR. Muslim no. 44]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *