Ketika Jin dan Haiwan Bertasbih….

6_sky

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ 
Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan [juga] burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui [cara] sembahyang dan tasbihnya  dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (41)
 
Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa semua makhluk yang ada bertasbih dan beribadah kepada Allah dengan cara mereka yang tersendiri. Dan manusia tidak memahami bahasa dan cara ibadah makhluk-makhluk lain itu.
 

Al-Imam Ibn Kathir menyebutkan:
Allah memberitahu bahawa semua makhluk yang berada di langit dan bumi iaitu; malaikat, manusia, jin, haiwan, hatta bumi ini sendiri bertasbih kepada Allah. Ini sebagaimana firmannya yang bermaksud: Langit yang tujuh dan bumi, serta penghuninya bertasbih kepadaNya. Tidak ada sesuatu pun melainkan ia pasti bertasbih memujiNya. Akan tetapi kalian tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Lembut dan Pengampun [Al-Isra’ : 44][1]
 
وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ 
Dan kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan kepada Allah-lah kembali [semua makhluk]. (42)
 
Dalam ayat 42 ini Allah menceritakan bahawa Dia adalah Pemerintah kepada langit dan bumi. Dia merupakan Hakim yang tiada siapa boleh memberi komentar kepada hukumNya. Dialah yang berhak disembah yang mana tidak patut ibadah ditujukan melainkan kepadanya. Dan kepada Allah lah tempat kembali iaitu hari kiamat di mana Dia akan Mengadili dengan apa yang Dia Kehendaki.[2]
 
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ جِبَالٍ فِيهَا مِنْ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَصْرِفُهُ عَنْ مَنْ يَشَاءُ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِ يَذْهَبُ بِالْأَبْصَارِ 
Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara [bahagian-bahagian]nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar daripada celah-celahnya dan Allah [juga] menurunkan [butiran-butiran] salji dari langit, [iaitu] dari [gumpalan-gumpalan awan seperti] gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya [butiran-butiran] salji itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya dari siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan. (43)
 
يُقَلِّبُ اللَّهُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِأُولِي الْأَبْصَارِ 
Allah mempergantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan. (44)
 
وَاللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَابَّةٍ مِنْ مَاءٍ فَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى بَطْنِهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى رِجْلَيْنِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى أَرْبَعٍ يَخْلُقُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (45(
Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan daripada air, maka sebahagian daripada haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki, sedang sebahagian [yang lain] berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (45)
 
Di dalam ayat 43-45 Allah menceritakan bagaimana kehebatannya mengatur alam ini. Bagaimana Dia menurunkan hujan yang akan menimpa sebahagian kawasan dan tidak kawasan yang lain. Begitu juga bagaimana Dia mencipta pelbagai jenis makhluk yang beraneka ragam.
 
Ini semua bertujuan agar manusia memerhatikan dan berfikir tentang kebesaran Allah.
 
Jadilah kita generasi Ulul Albab yang akan merenung kebesaran Allah, dan menginsafi kerdilnya diri kita dan agungnya Allah.
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ وَاخْتِلافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لأولِي الألْبَابِ  [آل عمران: 190[
Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, serta peredaran malam dan siang, ia merupakan tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi golongan Ulul Albab [Ali Imran : 190]
 
Siapakah golongan Ulul Albab?
 
Kata al-Imam Ibn Kathir:
Iaitu orang yang mempunyai akal yang sempurna dan bijaksana, yang mana dia dapat memahami sesuatu dengan hakikat yang sebenar. Bukan seperti orang yang pekak, dan bisu yang tidak berfikir.[3]
 
Rujukan:
Tafsir al-Quran al-Azhim
 



[1] يخبر تعالى أنه يُسَبِّحه من في السموات والأرض، أي: من الملائكة والأناسي، والجان والحيوان، حتى الجماد، كما قال تعالى: { تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا } [الإسراء: 44[
[2] ثم أخبر تعالى: أن له ملك السموات والأرض، فهو الحاكم المتصرف الذي لا معقب لحكمه، وهو الإله المعبود الذي لا تنبغي العبادة إلا له. { وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ } أي: يوم القيامة، فيحكم فيه بما يشاء؛
[3] العقول التامة الذكية التي تدرك الأشياء بحقائقها على جلياتها، وليسوا كالصم البُكْم الذين لا يعقلون

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *