Lebih Pemurah Daripada Hembusan Angin

Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata:

” كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ  حَتَّى يَنْسَلِخَ، يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ ، فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام ، كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ ” .

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia yang paling pemurah dengan kebaikan. Baginda menjadi lebih pemurah dalam bulan Ramadhan apabila bertemu dengan malaikat Jibril. Malaikat Jibril akan hadir berjumpa nabi sallallahu ‘alaihi wasallam setiap malam di bulan Ramadhan sehingga tamatnya Ramadhan. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam akan membacakan al-Quran kepada malaikat Jibril. Apabila Jibril bertemu baginda, baginda menjadi lebih pemurah daripada angin yang bertiup.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Saum (Puasa), hadis no: 1778]

Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan:

لَا يُسْأَلُ عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَعْطَاهُ ، فَلَمَّا كَانَ فِي الشَّهْرِ الَّذِي هَلَكَ بَعْدَهُ عَرَضَ عَلَيْهِ عَرْضَتَيْنِ

Tidaklah baginda sallallahu ‘alaihi wasallam diminta sesuatu kecuali baginda akan memberikannya. Pada tahun kewafatan baginda sallallahu ‘alaihi wasallam, baginda membacakan (al-Quran kepada malaikat Jibril) sebanyak dua kali.

[Musnad Ahmad, Musnad Abdullah bin Abbas, hadis no: 1966, Shaikh Ahmad Syakir berkata: Isnadnya sahih]

Sifat pemurah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ini merupakan kurniaan daripada Tuhan yang Maha Pemurah.

Abu Dzar al-Ghifari radiallahu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadis qudsi yang panjang, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berkata:

يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلاَّ كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ

Wahai hamba Ku. Seandainya makhluk paling awal dan yang terakhir dalam kalangan kalian, daripada jin dan manusia, kesemuanya bangun pada masa yang serentak lalu meminta kepada Aku. Nescaya Aku akan memberikan kepada setiap insan apa yang dia pinta, tanpa mengurangkan sedikit pun apa yang ada pada diri Ku melainkan seperti berkurangnya air laut apabila dimasukkan jarum ke dalam laut tersebut.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Birru wa as-Silah wa al-Adab, hadis no: 6246]

Antara bentuk sedekah yang boleh dilakukan dalam bulan Ramadhan ialah dengan memberi orang makan berbuka puasa.

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا “

Zaid bin Khalid al-Juhani radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, dia akan memperolehi pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangkan pahala puasa orang yang puasa tadi walau sedikit pun.

[Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Saum (Puasa), hadis no: 734, hasan sahih]

Antara hikmah atau faedah kenapa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjadi lebih pemurah dalam Ramadhan adalah:

Pertama:

شرف الزمان و مضاعفة أجر العمل فيه

Kemuliaan bulan Ramadhan, dan bergandanya pahala bagi amalan kebaikan dalam bulan tersebut.

Kedua:

إعانة الصائمين و القائمين و الذاكرين على طاعتهم

Dapat membantu orang yang berpuasa, yang mendirikan solat malan, dan yang berzikir dalam melakukan ketaatan.

Ketiga:

أن شهر رمضان شهر يجود الله فيه على عباده بالرحمة و المغفرة و العتق من النار لا سيما في ليلة القدر و الله تعالى يرحم من عباده الرحماء كما قال صلى الله عليه و سلم :

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mana Allah bermurah hati kepada hamba-hamba Nya dengan rahmat, keampunan, dan pembebasan daripada api neraka khususnya pada malam lailatul Qadar. Allah mengasihani hambanya yang berbelas kasihan kepada insan lain. Ini sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

وَإِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Sesungguhnya Allah Mengasihi hamba-hambanya yang bersifat belas kasihan. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz (Jenazah), hadis no: 1210]

Imam Ibn Rajab berkata:

فمن جاد على عباد الله جاد الله عليه بالعطاء و الفضل

Sesiapa yang pemurah kepada hamba-hamba Allah, nescaya Allah akan Pemurah kepadanya dengan kurniaan.

Keempat:

أن الجمع بين الصيام و الصدقة من موجبات الجنة

Bergabungnya puasa dan sedekah merupakan petanda seseorang akan memasuki syurga

Hal ini boleh dilihat dalam hadis di bawah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ صَائِمًا ؟ ، قَالَ أَبُو بَكْرٍ : أَنَا ، قَالَ : فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ جَنَازَةً ؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ : أَنَا ، قَالَ : فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ مِسْكِينًا ؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ : أَنَا ، قَالَ : فَمَنْ عَادَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ مَرِيضًا ؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ : أَنَا ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ ” .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Siapakah dalam kalangan kalian yang berpuasa hari ini? Lalu Abu Bakr menjawab: Saya. Baginda bertanya lagi: Siapa yang hari ini ada mengiringi jenazah? Abu Bakar menjawab: Saya. Baginda bertanya lagi: Siapa yang hari ini ada memberi makan kepada orang miskin? Abu Bakar menjawab: Saya. Baginda bertanya lagi: Siapa yang hari ini ada menziarahi orang sakit? Abu Bakar menjawab: Saya. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah berkumpul semua hal ini dalam diri seorang insan melainkan dia akan masuk syurga. [Sahih Muslim, Kitab Fadhail al-Sahabat, hadis no: 4407]

Kelima:

أن الجمع بين الصيام و الصدقة أبلغ في تكفير الخطايا

Gabungan puasa dan sedekah akan membawa kepada terhapusnya dosa.

Dalam sebuah riwayat disebutkan:

الصَّلَاةُ قُرْبَانٌ , وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ , وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Solat itu satu bentuk mendekatkan diri kepada Allah, puasa adalah perisai, dan sedekah menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api.

[Musnad Ahmad, Musnad Anas bin Malik, hadis no: 14985. Shaikh al-Albani menyatakan isnadnya sahih dalam Sahih at-Targhib]

 

قال بعض السلف : الصلاة توصل صاحبها إلى نصف الطريق و الصيام يوصله إلى باب الملك و الصدقة تأخذ بيده فتدخله على الملك

Sebahagian ulama’ salaf berkata: Solat membawa pelakunya sehingga separuh jalan, puasa membawanya sehingga ke pintu istana raja, dan sedekah akan memimpin tangannya lalu membawanya masuk bertemu raja.

Sekian ringkasan daripada tulisan al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lathoif al-Maarif.

Rujukan:

Lathoif al-Maarif (Maktabah Syamilah)

Ensiklopedia Hadis, http://library.islamweb.net/hadith/hadithsearch.php

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *