MEMASAK DAN MENGEMAS RUMAH: KERJA SUAMI ATAU ISTERI?

suami tolong isteri

حَدَّثَنَا عَلِيٌّ أَنَّ فَاطِمَةَ عَلَيْهِمَا السَّلَام أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَشْكُو إِلَيْهِ مَا تَلْقَى فِي يَدِهَا مِنْ الرَّحَى وَبَلَغَهَا أَنَّهُ جَاءَهُ رَقِيقٌ فَلَمْ تُصَادِفْهُ فَذَكَرَتْ ذَلِكَ لِعَائِشَةَ فَلَمَّا جَاءَ أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ قَالَ فَجَاءَنَا وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا فَذَهَبْنَا نَقُومُ فَقَالَ عَلَى مَكَانِكُمَا فَجَاءَ فَقَعَدَ بَيْنِي وَبَيْنَهَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمَيْهِ عَلَى بَطْنِي فَقَالَ أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى خَيْرٍ مِمَّا سَأَلْتُمَا إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا أَوْ أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا فَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

Daripada Ali radiallahu ‘anhu, bahawa Fatimah radiallahu ‘anhu datang kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengadu tentang tangannya yang cedera disebabkan alat menggiling. Dia mendapat tahu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mendapat beberapa hamba perempuan, akan tetapi dia tidak dapat menemui baginda. Fatimah pun memberitahu hal itu kepada ‘Aisyah ra. Apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam pulang, ‘Aisyah memberitahu baginda tentang hal tersebut. Ali menyatakan: Lalu baginda pun datang kepada kami ketika kami sudah di tempat tidur, lalu kami pun bangun. Akan tetapi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyuruh kami dengan berkata: Tetaplah di tempat tidur kamu berdua. Baginda datang lalu duduk di antara ku dan Fatimah sehingga aku dapat merasai kesejukan kedua kaki baginda pada perut ku. Baginda berkata: Mahukah aku tunjukkan kepada kalian apa yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? Apabila kamu mahu tidur, bertasbihlah 33 kali, tahmidlah 33 kali, dan bertakbirlah 34 kali. Itu lebih baik untuk kamu daripada seorang pembantu.[1]

عَنِ الْأَسْوَدِ ، قَالَ : سَأَلْتُ عَائِشَة ، مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ ؟ قَالَتْ : ” كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ ، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Al-Aswad berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah radiallahu ‘anha: Apa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lakukan di rumahnya? Beliau menjawab: Baginda membantu berkhidmat menguruskan urusan keluarga. Apabila masuknya waktu solat, baginda keluar mendirikan solat.[2]

suami tolong isteri

Di sisi mazhab Syafie, melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak bukanlah kewajipan isteri akan tetapi dia digalakkan melakukannya. Begitu juga ia tidak wajib di sisi mazhab Ahmad. Ibnu Taimiyyah pula berpendapat wanita tersebut wajib melakukan apa yang biasa dilakukan oleh wanita sepertinya menurut uruf masyarakat setempat. Abu Tsaur pula berpendapat bahawa wajib si isteri berkhidmat kepada suami dalam setiap perkara. Ibnu Habib berkata berdasarkan kisah Fatimah di atas nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyuruh beliau melakukan kerja rumah keseluruhannya.[3]

Dalam mazhab Hanafi pula, jika si isteri berasal daripada keluarga bangsawan yang tidak biasa memasak, atau dia tidak mampu untuk memasak, tidak boleh si suami memaksanya bahkan suami wajib memberikan makanan yang memang sudah siap untuk dimakan. Akan tetapi jika si isteri itu bukan daripada kalangan bangsawan, atau dia mampu memasak. Maka dia tetap perlu memasak. Kerja-kerja di dalam rumah adalah tugas isteri, manakala di luar rumah adalah tugas suami[4] Ini merupakan kewajipan si isteri walau qadhi tidak berhak memaksanya.[5]

Yang terbaik dalam isu-isu sebegini ialah pasangan suami isteri mempunyai sikap belas kasihan dan saling tolong-menolong serta bertoleransi. Seandainya setiap pasangan berkeras mempertahankan ‘hak’ berdasarkan pegangan fiqh masing-masing, apakah yang akan terjadi kepada rumah tangga? Bayangkan sebuah rumah tangga yang suami berpegang teguh dengan pendapat ulama menyatakan suami tidak wajib membiayai perubatan isteri, dan si isteri pula berpegang teguh dengan pendapat menyatakan mereka tidak wajib membuat kerja rumah. Apakah yang akan terjadi akhirnya?

Contohilah kisah rumahtangga nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat seperti dua hadis di atas, dan banyak lagi contoh-contoh berkaitan.

[1] Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nafaqaat, no: 5361.

[2] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, no: 676.

[3] Al-Majmu’, jilid 18, m/s 78-79.

[4] Badai’ al-Sonai’, jilid 4, m/s 24.

[5] Al-Fatawa Al-Hindiyyah, jilid 1, m/s 571.