Mengajak Manusia, Tetapi Lupa Diri Sendiri

Berdakwah Tetapi Melakukan Dosa

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ (2) كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ (3)

Wahai orang-orang beriman. Kenapa kalian menyatakan sesuatu yang kalian tidak lakukan. (2) Sungguh besar kebencian Allah apabila kalian berkata-kata sesuatu yang tidak kalian lakukan [Saff : 2-3]

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ (44(

Adakah kalian menyuruh manusia melakukan kebaikan, dan kalian lupa pula kepada diri sendiri, sedangkan kalian membaca al-Kitab. Adakah kalian tidak berfikir? [Al-Baqarah : 44]

Terdapat sebahagian insan yang terlibat dalam dakwah, mula meninggalkan dakwah, kerana melihat dirinya masih belum sempurna, dan masih belum lagi melakukan apa yang di dakwah. Ini kerana mereka takut dengan ancaman dalam ayat di atas.

Benarkah tindakan mereka ini?

Al-Imam Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat 44 surah al-Baqarah menyatakan:

والغرض أن الله تعالى ذمهم على هذا الصنيع ونبههم على خطئهم (4) في حق أنفسهم، حيث كانوا يأمرون بالخير ولا يفعلونه،

Allah mahu mengkritik perbuatan mereka ini, dan mengingatkan mereka tentang kesilapan mereka dalam (mengabaikan) diri mereka sendiri. Ini kerana mereka menyuruh (manusia) melakukan kebaikan, tetapi mereka sendiri tidak melakukannya.

وليس المراد ذمهم على أمرهم بالبر مع تركهم له، بل على تركهم له،

Bukanlah kritikan ini ditujukan kepada dakwah mereka kepada kebaikan yang mana mereka tidak melakukan kebaikan tersebut, bahkan, kritikan itu ditujukan kepada tindak mereka meninggalkan amalan (yang mereka dakwahkan kepada manusia).

 فإن الأمر بالمعروف [معروف] (5) وهو واجب على العالم، ولكن [الواجب و] (6) الأولى بالعالم أن يفعله مع أمرهم به، ولا يتخلف عنهم

Sesungguhnya mengajak manusia kepada kebaikan itu sendiri satu kebaikan. Ia merupakan satu kewajipan kepada orang yang berilmu. Akan tetapi wajib jua dan lebih utama untuk seorang yang berilmu mengamalkannya dan berdakwah dengannya, dan tidak pula tercicir daripada beramal dengannya.

Kata beliau lagi:

فَكُلٌّ من الأمر بالمعروف وفعله واجب، لا يسقط أحدهما بترك الآخر على أصح قولي العلماء من السلف والخلف.

Semua seruan dakwah dan melakukannya adalah satu kewajipan. Salah satu kewajipan ini tidak akan hilang disebabkan meninggalkan satu yang lain. Ini pendapat yang paling kuat di sisi ulama salaf dan khalaf.

وذهب بعضهم إلى أن مرتكب المعاصي لا ينهى غيره عنها، وهذا ضعيف، وأضعف منه تمسكهم بهذه الآية؛ فإنه لا حجة لهم فيها.

Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa pelaku maksiat tidak boleh mencegah orang lain daripada melakukan maksiat itu. Ini pendapat yang lemah. Lebih lemah lagi apabila mereka berhujah dengan ayat ini. Sesungguhnya ayat ini bukan hujah untuk mereka.

 والصحيح أن العالم يأمر بالمعروف، وإن لم يفعله، وينهى عن المنكر وإن ارتكبه،

Yang benar ialah: Seorang yang berilmu hendaklah menyeru kepada kebaikan, walaupun dia sendiri tidak melakukannya. Hendaklah dia mencegah kemungkaran, walaupun dia sendiri melakukannya.

 [قال مالك عن ربيعة: سمعت سعيد بن جبير يقول له: لو كان المرء لا يأمر بالمعروف ولا ينهى عن المنكر حتى لا يكون فيه شيء ما أمر أحد بمعروف ولا نهى عن منكر.

Malik meriwayatkan daripada Rabi’ah: Aku mendengar Sa’id bin Jubair berkata kepadanya: Seandainya seseorang tidak menyeru kepada kebaikan, dan tidak mencegah kejahatan sehinggalah dia sendiri tidak (melakukan kejahatan itu). Maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan.

Usamah bin Zaid radiallahu ‘anhu menyatakan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ، فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ، فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ، فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ، فَيَقُولُونَ:  أَىْ فُلاَنُ، مَا شَأْنُكَ؟ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَى عَنِ الْمُنْكَرِ؟ قَالَ :  كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلاَ آتِيهِ، وَأَنْهَاكُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ

Seorang lelaki akan dibawa pada hari Kiamat, lalu dicampak ke dalam neraka. Isi perutnya akan terburai di dalam neraka, dan dia akan bergerak seperti seekor keldai mengelilingi batu alat penggilingan. Penghuni neraka akan berkumpul di sekelilingnya, lalu mereka berkata: Ya fulan. Apa yang terjadi kepada engkau? Bukankah engkau yang menyuruh kami melakukan kebaikan dan melarang kami daripada kejahatan. Orang tersebut menjawab: Aku menyuruh kalian melakukan kebaikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Aku mencegah kalian daripada kejahatan tetapi aku sendiri melakukannya. [Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’I al-Khalqi, hadis no: 3267]

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *