Niat Puasa Di Siang Hari

tak puasa ya

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ قَالَتْ : دَخَلَ عَلَىَّ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ « هَلْ عِنْدَكُمْ شَىْءٌ ». فَقُلْنَا:  لاَ. قَالَ « فَإِنِّى إِذًا صَائِمٌ ». ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ أُهْدِىَ لَنَا حَيْسٌ. فَقَالَ « أَرِينِيهِ فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا ». فَأَكَلَ.

Ummul Mukminin ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam masuk menemui ku pada satu hari, lalu bertanya: Adakah kalian memiliki apa-apa (sebagai makanan). Kami pun menjawab : Tidak. Lalu baginda berkata: Jika begitu, aku berpuasa.

Kemudian pada hari yang lain, baginda datang menemui kami, lalu kami berkata: Ya Rasulullah, telah dihadiahkan kepada kita hais (kurma yang dicampur dengan keju dan tepung). Baginda pun menjawab: Tunjukkan makanan itu kepada aku. Sesungguhnya pagi ini aku berpuasa. Kemudian baginda pun makan makanan itu.

[Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, Bab (بَاب جَوَازِ صَوْمِ النَّافِلَةِ بِنِيَّةٍ مِنْ النَّهَارِ قَبْلَ الزَّوَالِ وَجَوَازِ فِطْرِ الصَّائِمِ نَفْلًا مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ) dibenarkan puasa sunat dengan niat di siang hari sebelum matahari tergelincir, dan dibenarkan berbuka puasa sunat tanpa uzur, hadis no: 2771]

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menghuraikan:

وفيه دليل لمذهب الجمهور أن صوم النافلة يجوز بنية في النهار قبل زوال الشمس

Dalam hadis ini terdapat dalil bagi mazhab majoriti ulama bahawa puasa sunat dibolehkan untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincirnya matahari.

 

ويتأوله الآخرون على أن سؤاله صلى الله عليه و سلم هل عندكم شيء لكونه ضعف عن الصوم  وكان نواه من الليل فأراد الفطر للضعف وهذا تأويل فاسد وتكلف بعيد

Sebahagian ulama’ yang lain mentakwilkan pertanyaan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam “Adakah kalian memiliki apa-apa (sebagai makanan)” kerana keadaan baginda yang lemah disebabkan puasa. Baginda sudah berniat di malam hari, dan baginda mahu berbuka kerana sudah lemah. Ini merupakan takwil yang rosak dan sangat jauh daripada kebenaran.

[al-Minhaj, Syarh Sahih Muslim, jilid 8, m/s 34 (Maktabah Syamilah)]

Shaikh ‘Abdullah bin Soleh al-Fauzan hafizahullah berkata:

الحديث دليل على أن صوم التطوع لا يلزم فيه تبييت النية من الليل، وإنما يجوز بنية من النهار، لقوله: «هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟» ، قلنا: لا، قال: «فَإِنِّي صَائِمٌ…» ، وظاهره أنه أنشأ الصيام في الحال، بدليل رواية البيهقي الآتية..

Hadis ini merupakan dalil bahawa puasa sunat tidak semestinya perlu kepada niat di malam hari. Sesungguhnya dibenarkan untuk berniat di siang hari. Ini berdasarkan sabdanya: “Adakah kalian memiliki apa-apa (sebagai makanan)”. Kami pun menjawab : Tidak. Lalu baginda berkata: Jika begitu, aku berpuasa. Zahir hadis ini menunjukkan baginda mahu berpuasa disebabkan hal itu. Ini berdalilkan juga riwayat al-Baihaqi yang berikut.

وهذا مذهب الجمهور، وهو قول جماعة من الصحابة؛ كعلي وابن مسعود رضي الله عنهما، ونقله البخاري عن أبي الدرداء وأبي طلحة وأبي هريرة وابن عباس وحذيفة، بل رواه ابن حزم عن عشرة من الصحابة رضي الله عنهم. وهو قول أبي حنيفة والشافعي وأحمد وجمهور السلف.

Ini merupakan mazhab majoriti ulama. Ini juga merupakan pendapat sekelompok sahabat nabi seperti Ali, dan Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhuma. Al-Imam al-Bukhari menukilkan juga pendapat serupa daripada Abu Dardah, Abu Talhah, Abu Hurairah, Abbas, dan Huzaifah radiallahu ‘anhum ajma’in. Bahkan Ibn Hazm meriwayatkan daripada sepuluh orang sahabat radiallahu ‘anhum. Ini lah pendapat Abu Hanifah, al-Syafie, Ahmad dan jumhur ulama’ salaf.

وشرط صحة صيام النفل من النهار ألا يأتي بمنافٍ للصوم قبل أن ينوي، من أكل أو شرب أو جماع؛ فإن فعل شيئاً من ذلك لم يصح صومه؛ لأنه تناول مفطراً بعد الفجر.

Disyaratkan untuk puasa sunat itu sah ialah dengan tidak ada melakukan pembatal-pembatal puasa sebelum dia berniat seperti makan, minum dan bersetubuh. Jika seseorang melakukan perbuatan-perbuatan itu, maka tidak sah puasanya kerana ia membatalkan puasa apabila dilakukan selepas fajar.

وذهبت المالكية، وداود الظاهري، وابن حزم، والمزني ـ من الشافعية ـ إلى أنَّ تبييت النية شرط في صحة صوم النفل، ومال إلى هذا القول الصنعاني، مستدلين بعموم الحديث المتقدم: «من لم يبيت الصيام من الليل فلا صيام له».وأجاب ابن حزم عن حديث الباب بأن النبي صلّى الله عليه وسلّم قد نوى الصيام قبل الفجر، لقوله صلّى الله عليه وسلّم: «قد كنت أصبحت صائماً» ، ولمَّا لم يجد طعاماً واصل صيامه، فلما أُخبر بوجود الطعام أفطر.

Ulama-ulama mazhab Maliki, Daud az-Zahiri, Ibn Hazm, dan al-Muzani (seorang ulama mazhab Syafie) berpegang bahawa berniat di malam hari merupakan syarat sah puasa sunat. Ini juga adalah pendapat yang dicenderungi oleh al-Imam al-Son’ani. Mereka berdalilkan dengan keumuman hadis : Sesiapa yang tidak berniat puasa di malam hari, maka tiada puasa untuknya. Ibn Hazm menjawab hadis bab (iaitu hadis Aisyah di atas) dengan menyatakan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sesungguhnya telah berniat puasa sebelum fajar berdasarkan sabda baginda: Sesungguhnya pagi ini aku berpuasa. Apabila baginda tidak menemui makanan, baginda meneruskan puasanya, dan apabila diberitahu ada makanan, baginda membatalkan puasanya.

والقول الأول أرجح؛ لما تقدم من الحديث؛ ولأنه ورد عن الصحابة الذين ذكرهم البخاري، وروى ابن حزم أقوالهم أنهم كانوا يصومون بنية من النهار، وهم أعلم منا بالتنزيل وبمراد الرسول صلّى الله عليه وسلّم؛ ولأنه ورد في رواية البيهقي من حديث عائشة المذكور: «إذن أصوم». فهذه تكاد تكون صريحة في أن الرسول صلّى الله عليه وسلّم صام بنية من النهار.

Pendapat pertama adalah yang lebih kuar kerana apa yang telah disebutkan di dalam hadis. Ini kerana pendapat ini juga yang diriwayatkan daripada pada sahabat yang disebutkan oleh al-Imam al-Bukhari. Ibn Hazm sendiri meriwayatkan pendapat para sahabat yang mana mereka berpuasa dengan niat di siang hari. Mereka lebih memahami daripada kita tentang wahyu dan apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana terdapat jua dalam riwayat al-Baihaqi daripada hadis ‘Aisyah yang disebutkan baginda berkata: Jika begitu, aku berpuasa. Ini menguatkan dan menjelaskan lagi bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa dengan niat di siang hari.

لكنهم اختلفوا في وقت النية من النهار، فورد عن ابن عباس، وابن عمر، وأنس، وابن مسعود رضي الله عنهم تحديد منتصف النهار كحد أقصى، ولا يجوز أن ينوي الصوم بعده، وهو قول أبي حنيفة وأصحابه.

Akan tetapi mereka berbeza pendapat tentang waktu berniat di siang hari. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Umar, Anas, Ibn Mas’ud radiallahu ‘anhum ajma’in bahawa mereka menghadkan sehingga ke pertengahan siang/tengahari. Tidak dibenarkan berniat puasa selepasnya. Inilah pendapat Abu Hanifah dan anak muridnya.

وذهب الشافعي في الجديد وأحمد إلى صحة صوم النفل بنية من النهار قبل الزوال وبعده؛ لأن النصوص الدالة على جواز الصوم بالنية من النهار لم تفرق بين إحداث النية قبل الزوال وبعده.

Imam al-Syafie dalam pendapat barunya, dan Imam Ahmad berpendapat sahnya puasa sunat dengan niat di siang hari sama ada sebelum atau selepas tergelincirnya matahari. Ini kerana dalil menunjukkan dibenarkan berniat di siang hari tanpa dibezakan sebelum atau selepas tergelincir matahari.

[Minhatul ‘Allam, Syarhu Bulugh al-Maram, jilid 1, m/s 16 (Maktabah Syamilah)]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *