Puasa Itu Sabar


Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  ” كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : ” إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي ، لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ، وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ” .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Setiap amalan anak adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada wangian kasturi.  [Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Fadhilat Puasa, hadis no:1952]

Kenapakah Allah membezakan antara puasa dan ibadah yang lain? Kenapa pahala ibadah puasa suatu yang misteri, tidak disebutkan jumlahnya?

Mari kita lihat ayat al-Quran yang berikut:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.

[az-Zumar 39:10]

Persamaan yang ada pada hadis qudsi dan ayat di atas ialah ganjaran pahala puasa sama seperti ganjaran sifat sabar, iaitu pahala tanpa batas. Lalu apakah hubungan puasa dengan sabar itu sendiri. Terdapat banyak penafsiran ulama kenapa pahala puasa itu wujud tanpa batas. Dalam tulisan ini kita memilih salah satu pendapat, iaitu puasa digandakan pahalanya kerana ia adalah satu bentuk kesabaran.

Persoalan ini terjawab apabila kita melihat sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

عَنْ رَجُلٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ ، قَالَ : عَدَّهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَدِي أَوْ فِي يَدِهِ ، التَّسْبِيحُ نِصْفُ الْمِيزَانِ ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ يَمْلَؤُهُ ، وَالتَّكْبِيرُ يَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ، وَالصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ ، وَالطُّهُورُ نِصْفُ الْإِيمَانِ

Seorang lelaki daripada Bani Sulaim berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengira-ngira dengan tangannya; Tasbih (Subhanallah) itu separuh daripada timbangan mizan, Alhamdulillah pula memenuhi timbangan itu, Takbir (Allahuakbar) pula mengisi apa yang ada antara langit dan bumi. Puasa itu separuh daripada kesabaran. Bersuci itu separuh keimanan. [Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat (Doa), hadis no: 3465, hadis hasan]

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menghuraikan dalam Lathoif al-Maarif:

يكون استثناء الصوم من الأعمال المضاعفة فتكون العمال كلها تضاعف بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف إلا الصيام فإنه لا ينحصر تضعيفه في هذا العدد بل يضاعفه الله عز و جل أضعافا كثيرة بغير حصر عدد

Amalan puasa terkecuali daripada amal-amal yang dilipat gandakan. Kesemua amalan yang lain digandakan pahalanya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya pahala puasa tidaklah dibataskan gandaan pahalanya, bahkan Allah akan menggandakan pahalanya dengan gandaan yang banyak tanpa ada batasan. 

Kata Al-Imam Ibn Rajab lagi:

والصبر ثلاثة أنواع : صبر على طاعة الله و صبر عن محارم الله و صبر على أقدار الله المؤلمة .وتجتمع الثلاثة في الصوم فإن فيه صبرا على طاعة الله و صبرا عما حرم الله على الصائم من الشهوات و صبرا على ما يحصل للصائم فيه من ألم الجوع و العطش و ضعف النفس و البدن و هذا الألم الناشىء من أعمال الطاعات يثاب عليه صاحبه

Sabar itu ada tiga jenis: (Pertama) Sabar dalam mentaati Allah. (Kedua) Sabar daripada melakukan perkara yang Allah haramkan. (Ketiga) Sabar atas segala musibah yang mendatang. Ketiga-tiga jenis sabar ini berkumpul dalam ibadah puasa. Dalam ibadah puasa terdapat kesabaran dalam mentaati Allah, sabar dalam menghadapi perkara yang Allah haramkan ke atas orang berpuasa daripada nafsu syahwatnya, dan bersabar atas apa yang akan menimpa seseorang yang berpuasa seperti kelaparan, dahaga, lemahnya tubuh badan. Semua penderitaan ini yang berpunca daripada ketaatan kepada Allah akan membuahkan pahala kepada pelakunya.

Gandaan pahala puasa tanpa batas di atas hakikatnya umum untuk semua jenis puasa tidak kira dalam bulan Ramadhan atau pun luar Ramadhan. Lalu, jika di luar Ramadhan digandakan tanpa batas, tanpa ragu lagi, pahala puasa Ramadhan berganda-ganda lebih besar.

Al-Imam Ibn Rajab menukilkan beberapa kalam ilmuan Islam dalam hal ini:

و ذكر أبو بكر بن أبي مريم عن أشياخه أنهم كانوا يقولون : إذا حضر شهر رمضان فانبسطوا فيه بالنفقة فإن النفقة فيه مضاعفة كالنفقة في سبيل الله و تسبيحة فيه أفضل من ألف تسبيحة في غيره

Abu Bakar bin Abi Maryam meriwayatkan daripada guru-gurunya bahawa mereka pernah berkata: Apabila masuknya bulan Ramadhan, bergembiralah dengan bersedekah. Sesungguhnya sedekah pada bulan Ramadhan iti digandakan pahalanya seperti pahala yang orang di jalan Allah. Tasbih dalam bukan Ramadhan lebih afdhal daripada seribu kali tasbih di tempat lain.

قال النخعي : صوم يوم من رمضان أفضل من ألف يوم وتسبيحة فيه أفضل من ألف تسبيحة و ركعة فيه أفضل من ألف ركعة فلما كان الصيام في نفسه مضاعفا أجره بالنسبة إلى سائر الأعمال كان صيام شهر رمضان مضاعفا على سائر الصيام لشرف زمانه و كونه هو الصوم الذي فرضه الله على عباده

Imam an-Nakhaie pula berkata: Puasa sehari di bulan Ramadhan lebih baik daripada puasa setahun. Bertasbih dalam bulan Ramadhan lebih afdhal sebanyak seribu kali bacaan tasbih. Satu rakaat solat dalam Ramadhan lebih afdhal daripada seribu rakaat di luar sana. Ibadah puasa itu sendiri secara zatnya menggandakan puasa pelakunya berbanding amal-amal yang lain. Berpuasa di bulan Ramadhan lebih afdhal daripada segala jenis puasa. Ini kerana kemuliaan waktu itu (iaitu bulan Ramadhan) dan kemuliaan puasa yang Allah wajibkan ke atas hamba-hambanya.

Semoga kita semua menjadi insan yang sabar di bulan Ramadhan!

 

Rujukan:

Ensiklopedia Hadis, http://www.islamweb.net/hadith/hadithsearch.php

The Hadith of the Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم) at your fingertips, http://sunnah.com/

Lathoif al-Maarif, Maktabah Syamilah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *