Puasa Tetapi Celaka

puasatetapicelaka

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Dalam sebuah hadis, tercatat kisah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengaminkan doa malaikat Jibril.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، ” أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَرَ ، فَلَمَّا رَقَى الدَّرَجَةَ الأُولَى ، قَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّالِثَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، سَمِعْنَاكَ تَقُولُ : آمِينَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ؟ قَالَ : لَمَّا رَقِيتُ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ” .

Jabir bin ‘Abdullah berkata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menaiki minbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepada ku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang engkau (iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.

[Al-Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, hadis no: 640. Shaikh al-Albani berkata ia Sahih Lighairihi dalam Sahih al-Adab al-Mufrad]

Tulisan kali ini mahu memfokuskan kepada bahagian doa yang pertama yang berbunyi:

 

شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ

Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya.

Kenapakah manusia ini celaka?

Jika kita amati, Allah telah menjadikan bulan Ramadhan ini keseluruhannya adalah bulan keampunan. Bahkan ibadah-ibadah harian yang kita wajib lakukan seperti solat, puasa, bahkan ibadah sunat, adalah semuanya berbentuk keampunan. Bahkan kaki yang melangkah ke masjid akan membawa keampunan Allah.

Manusia kebanyakannya akan menggandakan ibadah dalam Ramadhan. Yang malas solat, akan mulai solat, yang culas ke masjid, akan mula ke masjid.

Cukuplah dengan dua ibadah wajib ini sebagai jalan mencari keampunan Allah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ” .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharam, diampuni dosa-dosanya yang lalu. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, hadis no: 37]

Manusia yang berpuasa di bulan Ramadhan, akan mendapat keampunan Allah!

Manusia yang mendirikan solat terawih akan mendapat keampunan Allah!

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَن رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Abu Huraira radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menghidupkan (malam) Ramadhan dengan keimanan dan mengharap (pahala), diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, hadis no : 36]

Manusia yang beribadah di malam al-Qadar akan diampuni Allah!

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan (pahala), diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, hadis no: 1778]

Bukan itu sahaja, terdapat banyak amalan yang wujud di luar dan dalam Ramadhan yang membawa keampunan Allah.

Berwudhu sahaja sudah menghapuskan dosa!

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ ، أَوِ الْمُؤْمِنُ ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ ، خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ ، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ ، كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ ، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ ، خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاء ، حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ “

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila seorang mukmin berwudhu, lalu dia membasuh wajahnya. Maka keluarlah dari wajahnya setiap dosa yang dilakukan oleh penglihatannya bersama-sama air wudhu itu atau sehingga titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang dilakukan oleh tangan itu bersama-sama air hingga ke titisan terakhir. Apabila dia membasuh kakinya, maka keluarlah dari kakinya setiap dosa yang kaki berjalan padanya bersama titisan air yang terakhir. Sehinggalah orang itu keluar dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa [Sahih Muslim, Kitab at-Taharah, hadis no: 365]

 

Solat sahaja sudah menghapuskan dosa!

Jabir bin Abdullah radiallahu anhu berkata, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

مَثَلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ ، كَمَثَلِ نَهْرٍ جَارٍ غَمْرٍ عَلَى بَابِ أَحَدِكُمْ  يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ

Solat lima waktu itu umpama sungai yang mengalir di hadapan pintu salah seorang daripada kalian. Dia mandi dengan  airnya setiap hari sebanyak lima kali.

[Sahih Muslim, Kitab al-Masajid wa Mawadi’i as-Solat, hadis no: 1078]

Ini semua menunjukkan manusia ini masuk ke dalam Ramadhan tanpa mentaati Allah.

Boleh jadi dia tidak berpuasa langsung, atau dia puasa tetapi puasa dia tidak diterima Allah!

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Boleh jadi ada orang yang berpuasa, dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan kelaparan. Boleh jadi ada orang yang bangun melakukan qiamullail, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada qiamullailnya melainkan berjaga malam. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam (Puasa), hadis no: 1680. Shaikh al-Albani menyatakan ia hasan sahih dalam Sahih Ibn Majah]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْجَهْلَ وَالْعَمَلَ بِهِ ، فَلَا حَاجَةَ لِلَّهِ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ” .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang keji dan bodoh, dan beramal pula dengannya. Allah tiada hajat langung kepada puasanya dia daripada makan dan minum. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam, hadis no: 1679]

Mereka inilah orang yang tidak solat dalam Ramadhan! Melakukan maksiat dalam Ramadhan! Melihat perkara haram dalam Ramadhan! Yang mengumpat dalam Ramadhan! Mencaci dalam Ramadhan!

Adakah kita ini termasuk daripada ‘mereka’?

Selamatkan diri kita daripada menjadi manusia celaka!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *