Siapakah Orang-Orang Mendapat Keringanan Untuk Tidak Berpuasa?

Tarikh-Puasa-Bulan-Ramadan-Malaysia

Keringanan Untuk Tidak Berpuasa

1- Orang yang sakit

Ulama bersepakat bahawa orang yang sakit boleh berbuka puasa. Ini berdasarkan firman Allah

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Sesiapa yang sakit atau bermusafir, hendaklah dia menggantikan pada hari yang lain [Al-Baqarah : 185]

Keadaan orang yang sakit

a- Sakit yang ringan sahaja yang tidak bertambah sakit sebab puasa, dan tidak juga cepat sembuh jika tidak berpuasa seperti selesema yang ringan, pening kepala yang sedikit, sakit gigi dan selainnya. Untuk keadaan ini tidak boleh berbuka.

b- Puasa akan menyebabkan bertambah sakit, atau melambatkan sembuh, atau sakit itu menyebabkan dia sukar berpuasa, tetapi jika puasa tidaklah memudharatkannya. Digalakkan dia tidak berpuasa dan makruh puasa.

c- Sakit yang jika dia berpuasa, itu akan membahayakan dirinya. Maka haram dia berpuasa.

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Janganlah kalian membunuh diri kalian. Sesungguhnya Allah sangat sayang kepada kalian [an-Nisa’ : 29]

Bolehkah orang yang sihat tidak berpuasa apabila diketahui puasa itu akan menyebabkan dia sakit?

Boleh kerana situasinya sama seperti situasi B.

2- Musafir

Seseorang yang bermusafir boleh tidak berpuasa berdasarkan firman Allah

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Sesiapa yang sakit atau bermusafir, hendaklah dia menggantikan pada hari yang lain [Al-Baqarah : 185]

Majoriti ulama daripada para sahabat, tabi’in dan empat mazhab berpendapat puasa orang yang musafir sah.

Mana lebih afdhal bagi musafir: Puasa atau Berbuka?

a- Jika puasa itu memberatkan dia, atau menghalangnya daripada membuat hal kebaikan yang lain, maka berbuka lebih afdhal.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ ، قَالَ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ ، فَرَأَى زِحَامًا وَرَجُلًا قَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ ، فَقَالَ : مَا هَذَا ؟ فَقَالُوا : صَائِمٌ ، فَقَالَ : لَيْسَ مِنَ الْبِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ ” .

Jabir bin Abdullah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bermusafir, lalu baginda melihat sekelompok manusia, dan seorang lelaki berteduh pada mereka. Baginda bertanya: Apa ini? Mereka menjawab: Lelaki ini berpuasa. Baginda berkata: Tiada kebaikan berpuasa ketika musafir. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, hadis no: 1819]

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثَرُنَا ظِلًّا الَّذِي يَسْتَظِلُّ بِكِسَائِهِ ، وَأَمَّا الَّذِينَ صَامُوا فَلَمْ يَعْمَلُوا شَيْئًا ، وَأَمَّا الَّذِينَ أَفْطَرُوا فَبَعَثُوا الرِّكَابَ وَامْتَهَنُوا وَعَالَجُوا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ذَهَبَ الْمُفْطِرُونَ الْيَوْمَ بِالْأَجْرِ ” .

Anas radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kebanyakan daripada kami hanya dapat berteduh dengan pakaiannya. Mereka yang berpuasa tidak melakukan apa-apa kerja pun, sedangkan yang tidak berpuasa menjaga haiwan tunggangan, membawakan air dan memberikan rawatan. Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Mereka yang tidak berpuasa telah membawa pergi pahala pada hari ini. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa al-Siyar, hadis no: 2690]

b- Jika puasa itu tidak membebankan dan tidak menghalang dia daripada melakukan kebaikan, maka puasa lebih afdhal.

وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Jika kalian berpuasa, maka itu lebih elok untuk kalian, jika kalian mengetahui. [al-Baqarah: 184]

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : ” خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ فِي يَوْمٍ حَارٍّ ، حَتَّى يَضَعَ الرَّجُلُ يَدَهُ عَلَى رَأْسِهِ مِنْ شِدَّةِ الْحَرِّ ، وَمَا فِينَا صَائِمٌ إِلَّا مَا كَانَ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَابْنِ رَوَاحَةَ

Abu ad-Darda’ radiallahu ‘anhu berkata: Kami keluar bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebahagian musafirnya ketika cuaca panas. Sehinggakan seseorang akan meletakkan tangannya di atas kepalanya kerana kepanasan yang sangat. Tidak ada di kalangan kami yang berpuasa melainkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan Ibn Rawahah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, hadis no: 1818]

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أَنَّ حَمْزَةَ بْنَ عَمْرٍو الْأَسْلَمِيَّ ، قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” أَأَصُومُ فِي السَّفَرِ ، وَكَانَ كَثِيرَ الصِّيَامِ ؟ فَقَالَ : إِنْ شِئْتَ فَصُمْ ، وَإِنْ شِئْتَ فَأَفْطِرْ ” .

‘Aisyah radiallahu ‘anha menceritakan bahawa Hamzah bin ‘Amru al-Aslami berkata kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: Patutkah aku berpuasa ketika musafir, dia merupakan orang yang banyak berpuasa. Lalu baginda menjawab: Jika engkau mahu, puasalah. Jika engkau mahu, tidak perlu berpuasa. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, hadis no: 1816]

c- Jika berpuasa memudharatkan diri mereka maka wajib berbuka dan haram berpuasa.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَامَ الْفَتْحِ إِلَى مَكَّةَ فِي رَمَضَانَ ، فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ كُرَاعَ الْغَمِيمِ فَصَامَ النَّاسُ ، ثُمَّ دَعَا بِقَدَحٍ مِنْ مَاءٍ فَرَفَعَهُ حَتَّى نَظَرَ النَّاسُ إِلَيْهِ ، ثُمَّ شَرِبَ فَقِيلَ لَهُ بَعْدَ ذَلِكَ : إِنَّ بَعْضَ النَّاسِ قَدْ صَامَ ، فَقَالَ : ” أُولَئِكَ الْعُصَاةُ أُولَئِكَ الْعُصَاةُ

Jabir bin Abdullah meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada tahun Fathul Makkah dalam bulan Ramadhan ke Mekah. Baginda berpuasa sehingga baginda tiba di Kura’ al-Ghamim, dan orang ramai pun berpuasa. Kemudian baginda meminta secawan air, lalu baginda mengangkatnya sehingga orang ramai dapat melihat, kemudian baginda meminum air itu. Lalu selepas itu baginda ditanya: Sesungguhnya sebahagian orang masih berpuasa. Baginda menjawab: Mereka melakukan maksiat. Mereka melakukan maksiat. [Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, hadis no: 1885]

Jenis musafir yang dibenarkan berbuka

Jika dia mula bermusafir sebelum terbit fajar, maka dia boleh tidak berpuasa. Ini sepakat para ulama.

Jika dia mula bermusafir selepas fajar terbit, ulama berbeza pendapat: Majoriti iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafie dan satu riwayat Ahmad menyatakan dia wajib berpuasa.

Imam Ahmad dalam satu riwayat, Ishaq, Al-Hasan, dan Ibn Taimiyyah berpendapat boleh sahaja dia tidak berpuasa walaupun memulakan musafir ketika hari telah siang. Ini berdasarkan keumuman ayat al-Quran, surah al-Baqarah 185 yang sudah disebutkan dan hadis-hadis yang membenarkan berbuka sebelum ini.

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ كَعْبٍ ، قَالَ : ” أَتَيْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ فِي رَمَضَانَ ، هُوَ يُرِيدُ السَّفَرُ ، وَقَدْ رُحِّلَتْ دَابَّتُهُ ، وَلَبِسَ ثِيَابَ السَّفَرِ ، وَقَدْ تَقَارَبَ غُرُوبُ الشَّمْسِ ، فَدَعَا لِطَعَامٍ فَأَكَلَ مِنْهُ ، ثُمَّ رَكِبَ ، فَقُلْتُ لَهُ : سُنَّةٌ ؟ قَالَ : نَعَمْ ”

Muhammad bin Ka’ab berkata: Aku datang kepada Anas bin Malik pada bulan Ramadhan, ketika itu dia mahu bermusafir. Haiwan tunggangannya sudah dipersiapkan, dan dia memakai pakaian untuk bermusafir. Ketika itu matahari sudah hampir terbenam. Beliau meminta makanan lalu dia memakannya. Kemudian beliau menunggang. Aku berkata kepadanya: Ini sunnah? Dia menjawab: Ya. [Al-Baihaqi dalam Al-Sunan Al-Kubra, Kitab al-Jumu’ah, hadis no: 7559]

أَنَّ عُبَيْدَ بْنَ جَبْرٍ قَالَ : رَكِبْتُ مَعَ أَبِي بَصْرَةَ صَاحِبِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، سَفِينَةً مِنَ الْفُسْطَاطِ ثُمَّ قَرَّبَ غَدَاءَهُ ، ثُمَّ قَالَ لِي : ” اقْتَرِبْ ” ، فَقُلْتُ : أَلَيْسَ نَحْنُ فِي الْبُيُوتِ ؟ فَقَالَ أَبُو بَصْرَةَ : ” أَرَغِبْتَ عَنْ سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟

‘Ubaid bin Jabr berkata: Aku bertolak bersama Abu Basrah, iaitu seorang sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dengan menaiki sebuah sampan dari Al-Fusthat, kemudian dia pergi kepada sarapannya, kemudian berkata kepada aku: Mari dekat ke sini. Aku menjawab: Bukankah kita masih di perkampungan kita? Abu Basrah menjawab: Adakah engkau membenci sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam? [At-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir, Bab al-Jim, hadis no: 2126]

Bilakah boleh mula berbuka?

Berdasarkan dua hadis di atas Ibn al-Arabi berpendapat boleh makan sebelum memulakan musafirnya.

Manakala majoriti ulama hanya membenarkan selepas dia keluar daripada kawasannya kerana sebelum keluar daripada mukimnya, dia belum dikira musafir.

Jika sampai ke tempat bermukim di waktu siang

Jika seseorang bermusafir, dan sampai di mukimnya pada waktu siang. Dia tidak perlu melakukan imsak (iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa). Ini merupakan pendapat mazhab Syafie, Malik dan Ibn Mas’ud radiallahu ‘anhu.

عَنِ ابْنِ سِيرِينَ ، قَالَ : قَالَ عَبْدُ اللهِ : مَنْ أَكَلَ أَوَّلَ النَّهَارِ فَلْيَأْكُلْ آخِرَهُ.

Ibn Sirin berkata: Abdullah bin ‘Umar berkata: Sesiapa yang makan pada awal siangnya, hendaklah dia makan pada akhirnya. [Musannaf Ibn Abi Syaibah, Bab Fi al-Musafir Yaqdamu Awwalan Nahar Min Ramadhan, no: 9435]

Jika seseorang itu pulang daripada musafir di siang hari, dan mendapati isterinya tidak puasa kerana baru suci di siang hari atau keuzuran lain, maka dia boleh bersama dengan isterinya dan tidak perlu membayar kafarah.

Manakala mazhab Hanafi berpendapat dia hendaklah imsak.

3- Orang tua yang tidak mampu berpuasa

Ulama sepakat orang tua dan sakit yang selama-lamanya tidak mampu berpuasa, boleh berbuka dan tidak perlu qadha. Akan tetapi mereka berbeza pendapat adakah wajib membayar fidyah. Majoriti ulama berpendapat wajib membayar fidyah untuk setiap hari dia tidak berpuasa. Imam Malik pula berpendapat hanya sunat sahaja membayar fidyah.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ , فِي قَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ : وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ سورة البقرة آية 184 يُطِيقُونَهُ : يُكَلَّفُونَهُ , فِدْيَةٌ : طَعَامُ مِسْكِينٍ وَاحِدٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا سورة البقرة آية 184 طَعَامُ مِسْكِينٍ آخَرَ لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ سورة البقرة آية 184 لَا يُرَخَّصُ فِي هَذَا إِلَّا لِلَّذِي لَا يُطِيقُ الصِّيَامَ ، أَوْ مَرِيضٍ لَا يُشْفَى ” .

Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma menerangkan tentang firman Allah: Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya [jika mereka tidak berpuasa] membayar fidyah, [iaitu]: memberi makan seorang miskin (al-Baqarah: 184) . Ayat ini tidak dimansukhkan. Keringanan ini tidak diberikan melainkan kepada yang tidak mampu berpuasa, atau sakit yang tidak sembuh. [An-Nasaie dalam al-Sunan al-Sughra, Kitab al-Siyam, hadis no: 2288]

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ ، قَالَ : ” لَمَّا نَزَلَتْ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ سورة البقرة آية 184 ، كان من أراد منا أن يفطر ويفتدي حتى نزلت الآية التي بعدها فنسختها ” . قَالَ أَبُو عِيسَى : هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ

Salamah bin al-Akwa’ berkata: Ketika turunnya ayat surah al-Baqarah 184, terdapat sebahagian yang ingin tidak berpuasa dan membayar fidyah sehinggalah turun ayat selepasnya yang memansukhkannya. [Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Sawm, hadis no: 727, hasan sahih gharib]

Jumhur sahabat, antaranya Ibn ‘Abbas sendiri berpendapat ayat fidyah telah dimansukhkan. Akan tetapi pemansuhan itu hanya berlaku untuk mereka yang mampu berpuasa sahaja. Yang tidak mampu seperti orang tua, maka mereka hanya perlu membayar fidyah. Begitu jugalah orang yang sakit yang tidak akan sembuh.

4- Wanita Hamil dan Menyusukan Anak

Ulama tidak berselisih pendapat bahawa jika seorang ibu yang hamil takutkan keselamatan anak dalam kandungannya, atau ibu yang menyusu takutkan susu tidak cukup untuk bayinya, maka dia boleh berbuka puasa.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، رَجُلٌ مِنْ بَنِي عَبْدِ الْأَشْهَلِ ، وَقَالَ عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ, مِنْ بَنِي عَبْدِ اللَّهِ بْنِ كَعْبٍ قَالَ : أَغَارَتْ عَلَيْنَا خَيْلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَتَغَدَّى ، فَقَالَ : ” ادْنُ فَكُلْ ” ، قُلْتُ : إِنِّي صَائِمٌ ، قَالَ : ” اجْلِسْ أُحَدِّثْكَ عَنِ الصَّوْمِ ، أَوِ الصِّيَامِ ، إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ ، وَالْحَامِلِ ، وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ ، أَوِ الصِّيَامَ ” ، وَاللَّهِ لَقَدْ قَالَهُمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِلْتَاهُمَا ، أَوْ إِحْدَاهُمَا ، فَيَا لَهْفَ نَفْسِي ، فَهَلَّا كُنْتُ طَعِمْتُ مِنْ طَعَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada Bani Abdul al-Asyhal –manakala salah seorang perawi bernama Ali Bin Muhammad berkata dia daripada Bani Abdullah Bin Ka’ab- berkata: Pasukan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyerang kami, lalu aku pergi menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, ketika baginda sedang menikmati sarapan. Baginda berkata: Makanlah. Aku menjawab: Saya berpuasa. Baginda menjawab: Duduklah. Aku akan menceritakan kepada engkau tentang puasa. Sesungguhnya Allah telah menjadikan separuh solat untuk musafir dan meringkankan puasa bagi musafir, hamil, dan perempuan yang menyusukan anak.  Demi Allah baginda menyebutkan kedua-duanya, atau salah satunya. Aku berasa menyesal kerana tidak memakan makanan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. [Sunan Ibn Majah, Kitab al-Siyam, hadis no: 1657]

Tetapi ulama berbeza pendapat, apa yang mereka perlu lakukan untuk mengganti puasa yang ditinggalkan.

Pertama: Wajib Qadha dan Fidyah (memberi makan orang miskin). Ini merupakan pendapat Imam Malik, Al-Syafie, dan Ahmad. Di sisi mazhab Hanbali dan Syafie, jika mereka tidak berpuasa kerana takutkan keselamatan diri mereka, maka mereka hanya perlu qadha sahaja.

Kedua: Qadha sahaja. Ini mazhab al-Auzai’e, al-Tsauri, Abu Hanifah, Abu Tsaur, Abu ‘Ubaid. Mereka berdalilkan hadis yang telah disebutkan yang meletakkan wanita hamil dan menyusu sama dengan musafir. Yang mana musafir hanya perlu qadha sahaja.

Ketiga: Fidyah sahaja. Ini pendapat Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar radiallahu ‘anhuma, dan Ishaq bin Rahawiah.

عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ، أَنَّهُ قَالَ : ” رُخَّصَ لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ ، وَالْعَجُوزِ الْكَبِيرَةِ فِي ذَلِكَ وَهُمَا يُطِيقَانِ الصَّوْمَ أَنْ يُفْطِرَا إِنْ شَاءَا ، وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا ، ثُمَّ نُسِخَ ذَلِكَ فِي هَذِهِ الآيَةِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ سورة البقرة آية 185 ، وَثَبِتَ لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ وَالْعَجُوزِ الْكَبِيرَةِ إِذَا كَانَا لا يُطِيقَانِ الصَّوْمَ , وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ إِذَا خَافَتَا أَفْطَرَتَا ، وَأَطْعَمَتَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا ” .

Ibn ‘Abbas berkata: Diberikan keringanan kepada orang tua dan sakit tua untuk berbuka jika mereka mahu. Hendaklah mereka memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kemudian hal ini dinasakhkan oleh ayat 185. Akan tetapi hukum ini kekal untuk orang tua yang tidak mampu berpuasa, begitu juga untuk wanita hamil dan menyusukan anak apabila mereka takut (puasa akan memudharatkan). Hendaklah mereka memberi makan orang miskin untuk setiap hari yang mereka tidak berpuasa.[Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, kitab al-Jumu’ah, hadis no: 7461]

Keempat: Qadha untuk yang hamil, dan fidyah untuk yang menyusukan anak. Ini merupakan pendapat Malik, dan sebahagian ulama Syafiiyyah.

Kelima: Tidak wajib qadha dan fidyah. Ini pendapat Ibn Hazm.

Ringkasan daripada Sahih Fiqh al-Sunnah

 *Penulis (Mohd Masri bin Mohd Ramli) adalah pengurus Al-Kahfi Services. Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang al-Quran dan al-Sunnah di UIAM Gombak.