SUNNAH-SUNNAH APABILA MENDENGAR AZAN

azan
 
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr radiallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ
Apabila kalian mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan.
 
ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Kemudian selawatlah ke atas ku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepada ku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali.
 
ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ ” .
Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaat ku akan diberikan kepadanya.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Mithl Qaul al-Muazzin…, hadis no: 384]
 
1- Menjawab azan dengan menyebutkan sebagaimana yang disebutkan oleh muazzin kecuali pada lafaz حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ dan حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ.
 
Daripada ‘Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ . قَالَ.
Kemudian (apabila muazzin) melaungkan: Marilah mendirikan solat. Seseorang itu hendaklah menjawab:
 
لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ .
Tiada kekuasaan dan kekuataan kecuali dengan Allah.
 
ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ . قَالَ
Kemudian (apabila muazzin) melaungkan: Marilah menuju kejayaan. Seseorang itu hendaklah menjawab:
 
لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
Tiada kekuasaan dan kekuataan kecuali dengan Allah.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Mithl Qaul al-Muazzin…, no: 385]
 
2- Berselawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam selepas selesai azan.
 
3- Mendoakan wasilah untuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Doa tersebut adalah seperti di bawah:
 
Daripada Jabir bin ‘Abdillah radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesiapa yang membaca selepas mendengar seruan azan:
 
اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ،
Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan. Berikan kepada Nabi Muhammad s.a.w wasilah dan kelebihan daripada Mu. Tempatkan baginda di tempat terpuji yang telah Engkau janjikan.
 
حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ “
Maka syafaat ku akan diizinkan kepadanya pada hari kiamat.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab ad-Dua’ ‘Inda an-Nida’, hadis no: 514].
 
4- Membaca zikir tersebut selepas muazzin selesai azan.
 
Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas radiallahu ‘anhu, daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda:
 
مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ الْمُؤَذِّنَ
Sesiapa yang menyebutkan bacaan tersebut apabila dia mendengar muazzin melaungkan azan:
 
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً وَبِالإِسْلاَمِ دِينًا .
Aku bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah. Dia Maha Esa dan tiada sekutu untukNya, dan Muhammad adalah hamba dan rasulNya. Aku redha Allah sebagai tuhan, dan Muhammad sebagai utusan dan Islam sebagai agama.
 
غُفِرَ لَهُ ذَنْبُهُ ” .
Maka diampuni dosanya.
[Sahih Muslim, Kitab as-Solat, Bab Istihbab al-Qaul Misla Qaul al-Muazzin.., hadis no: 386].
 
5- Membanyakkan doa antara azan dan iqamah.
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” الدُّعَاءُ لَا يُرَدُّ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ ” . قَالَ أَبُو عِيسَى : حَدِيثُ أَنَسٍ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Doa yang tidak ditolak ialah doa antara azan dan iqamah. [Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solat, hadis no: 196, hasan sahih]
.
 
Bagaimana pula dengan iqamah?
 
Majoriti ulama berpendapat sunat dilakukan seperti azan iaitu menjawabnya, membaca selawat, dan membaca doa wasilah. Ini kerana iqamah juga dipanggil azan. Ini pendapat mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali. Ini berdalilkan hadis berikut:
 
Daripada ‘Abdullah bin Mughaffal radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ـ ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ ـ لِمَنْ شَاءَ
Antara dua azan (iaitu antara azan dan iqamah) terdapatnya solat. Antara dua azan (iaitu antara azan dan iqamah) terdapatnya solat. Kemudian pada kali ketiga baginda menyebutkan: Untuk sesiapa yang mahu (mendirikan solat tersebut).
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab Bayna Kulli Azanain Solat Li Man Syaa, hadis no: 627].
 
Sebahagian ulama berpendapat menjawab, selawat dan membaca doa wasilah hanya sunnah selepas azan sahaja. Ini pendapat Shaikh Ibn al-Uthaimin dan Shaikh Bakar Abu Zaid. Mereka berkata bahawa azan dan iqamah dua perkara yang berbeza, persamannya hanya pada sudut nama sahaja.
 
Bagaimana dengan bacaan ketika menjawab lafaz قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ (Sesungguhnya solat akan didirikan)?
Hendaklah dijawab قَدْ قَامَتْ الصَّلَاةُ jua berdasarkan keumuman hadis di atas. Adapun jawapan أَقَامَهَا اللَّهُ وَأَدَامَهَا (Allah akan membuatkan solat ini didirikan dan berterusan) adalah datang daripada riwayat yang dhaif dalam Sunan Abi Daud. Ia dhaif kerana terdapat seorang perawi mubham dalam sanadnya. Antara yang mendhaifkan ialah Ibnu Hajar dalam Talkhis Al-Habir.
 
Wallahua’lam.
 
#alkahficenter