Sunnahkah Solat Sunat Sebelum Jumaat

Solat sunat sebelum dan selepas solat Jumaat

Ulama berbeza pendapat kerana tidak wujud nas dalam hal ini. Di dalam mazhab al-Syafie disunatkan solat sunat sebelum Jumaat kerana diqiaskan dengan solat sunat sebelum Zuhur.[1]

Ini juga berdasarkan hadis umum berbunyi:

عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ـ ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ ـ لِمَنْ شَاءَ ‏”‏‏.‏

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Mughaffal radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Di antara dua azan adanya, setiap dua azan adanya solat, kemudian pada kali ketiga baginda menyebutkan: Untuk sesiapa yang mahu mendirikannya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, no: 627].

Imam at-Tirmizi meriwayatkan dalam sunannya:

وَرُوِيَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الْجُمُعَةِ أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا ‏.‏

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu bahawa beliau mendirikan solat sebelum Jumaat sebanyak empat rakaat dan selepasnya empat rakaat. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Jumu’ah, Bab Ma Jaa Fi as-Solat Qabla al-Jumu’ah wa Ba’daha, no: 523]

Imam An-Nawawi berkata dalam Al-Majmu’:

وأما السنة قبلها فالعمدة فيها حديث عبد الله بن مغفل المذكور في الفرع قبله { بين كل أذانين صلاة } والقياس على الظهر وأما حديث ابن عباس في سنن ابن ماجه أن النبي صلى الله عليه وسلم { كان يصلي قبل الجمعة أربعا لا يفصل في شيء منهن } فلا يصح الاحتجاج به ; لأنه ضعيف جدا ليس بشيء ، وذكر أبو عيسى الترمذي أن عبد الله بن مسعود كان يصلي قبل الجمعة أربعا وبعدها أربعا وإليه ذهب سفيان الثوري وابن المبارك

Adapun solat sunat sebelumnya, yang menjadi tunjang kepadanya ialah hadis Abdullah bin Mughaffal yang telah disebutkan sebelum ini (Antara setiap dua azan adanya solat) dan qias kepada solat Zuhur. Adapun hadis Ibnu ‘Abbas dalam Sunan Ibnu Majah bahawa baginda mendirikan solat sebelum Jumaat sebanyak empat rakaat tanpa memisahkan antara rakaat tersebut adalah tidak boleh dibawa berhujah kerana ia sangat lemah. Imam at-Tirmizi menyatakan bahawa Abdullah bin Mas’ud mendirikan solat empat rakaat sebelum dan selepas Jumaat dan ini ialah pendapat Sufyan at-Tsauri dan Ibnu al-Mubarak.

Untuk solat selepas Jumaat pula berdasarkan hadis-hadis berikut:

Ibn ‘Umar radiallahu ‘anhu berkata:

وَكَانَ لاَ يُصَلِّي بَعْدَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَنْصَرِفَ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ‏.‏

Maksudnya: Baginda s.a.w tidaklah mendirikan solat selepas Jumaat sehinggalah baginda telah bersurai (meninggalkan masjid), lalu baginda mendirikan solat 2 rakaat. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jum’ah, no: 937]

عَنْ أَبِي، هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمُ الْجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang mendirikan solat Jumaat, hendaklah dia solat 4 rakaat selepasnya. [Sahih Muslim, Kitab al-Jum’ah, no: 881].

Adapun hadis-hadis yang menyatakan nabi s.a.w solat sebelum solat Jumaat semuanya adalah tidak sahih.

Imam Al-Iraqi berkata:

لم ينقل عن النبي صلى الله عليه وآله وسلم أنه كان يصلي قبل الجمعة لأنه كان يخرج إليها فيؤذن بين يديه ثم يخطب

Tidak dinukilkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda mendirikan solat sebelum Jumaat. Ini kerana baginda keluar untuk mendirikan solat lalu terus dilaungkan azan kemudian baginda berkhutbah.[2]

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:

وأما سنة الجمعة التي قبلها فلم يثبت فيها شيء

Adapun solat sunat sebelum Jumaat, tiada langsung yang tsabit.[3]

[1] An-Nawawi, Al-Majmu’, 3/349.

[2] Al-Syaukani, Nailul Awthar, 3/312.

[3] Ibn Hajar, Fathul Bari, 2/346.