Syukur Atas Musibah

istirja

Sabar di atas musibah

Allah berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155)

Sesungguhnya kami akan menguji kalian dengan sedikitketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda, kematian, buah-buahan yang tidak subur. Bergembiralah orang-orang yang sabar (155)

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156)

Iaitu mereka yang apabila musibah menimpa mereka, lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami milik Allah, dan sesungguhnya kami akan pulang kepadaNya. [Al-Baqarah : 155-156]

Dalam ayat di atas, Allah mengajar kita agar bersabar di atas segala musibah yang menimpa. Kesabaran kita akan terzahir pada reaksi kita pada saat musibah menimpa kita. Apakah perkataan pertama yang keluar daripada mulut kita? Apakah reaksi tingkah laku kita atas musibah yang menimpa? Petanda kita sabar dengan ujian Allah ialah apabila perkataan yang pertama keluar daripada mulut kita ialah lafaz al-Istirja’ iaitu:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya kami akan pulang kepadaNya

Lafaz al-Istirja’ yang kita sebutkan di lidah tatkala ujian melanda melambangkan kemurnian Tauhid kita, di mana kita faham bahawa Allah yang memiliki pemilikan mutlak ke atas semua perkara di dunia ini. Sehinggakan kita jua sedar apa yang kita miliki pada hari bukanlah milik kita pada hakikatnya. Ia jua melambangkan persangkaan baik dengan apa yang Allah putuskan.

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ ، أَنَّهَا قَالَتْ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : ” مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ : إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي ، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا ، إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا “

Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah seseorang Muslim, apabila dia ditimpa musibah, lalu dia membaca apa yang Allah arahkan kepadanya: Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada Nya kita akan kembali, Ya Allah berikan aku pahala untuk musibah yang menimpaku, dan tukarkanlah apa yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah pasti akan menukarkan yang lebih baik untuknya. [Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, hadis no : 1531]

Akan tetapi, adakah sabar merupakan peringkat tertinggi dalam menghadapi ujian?

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ ‏”‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ ‏”‏ ‏.‏ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ ‏”‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ ‏”‏

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melihat perkara yang dia sukai, baginda akan berkata:  Segala puji bagi Allah, yang dengan nikmatNya, amal kebaikan menjadi sempurna. Apabila baginda melihat perkara yang baginda tidak suka, baginda akan berkata: Segala puji bagi Allah di atas segala keadaan. [Sunan Ibn Majah, Kitab al-Adab, hadis no: 3803, Shaikh al-Albani menyatakan ia hadis hasan dalam Sahih Ibn Majah]

Dalam hadis di atas, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menzahirkan kesyukuran di atas ujian yang menimpa baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Ia sesuatu yang pelik, akan tetapi ia hanya dapat difahami oleh insan-insan yang memahami hakikat dan realiti di sebalik ujian yang menimpa.

Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin di dalam Syarah Riadussolihin, ketika membahaskan bab sabar menyatakan bahawa terdapat empat keadaan manusia dalam menghadapi ujian atau musibah daripada Allah.

1-     Enggan menerima

2-     Sabar

3-     Redha

4-     Syukur

Peringkat paling rendah ialah yang pertama. Ia merujuk kepada hati yang mula bersangka buruk dengan apa yang Allah takdirkan. Mula berfikir yang bukan-bukan tentang Allah. Hatinya mula mempersoalkan keadilan Allah. Lisannya pula mula mengeluarkan kata-kata yang menzahirkan ketidak redhaan kepada apa yang Allah putuskan. Manakala tubuh badannya pula melakukan perbuatan-perbuatan yang mula merosakkan diri seperti enggan makan berhari-hari, memukul-mukul dan meronta-ronta.

Peringkat kedua daripada bawah ialah sabar. Hatinya masih membenci musibah yang menimpa, dia berasa sedih, kecewa, dan sakit di atas musibah yang menimpa. Tetapi hatinya tidak pernah menyalahkan Allah. Tidak pula hatinya berbisik bahawa Allah tidak adil. Lisan dan anggota tubuhnya terkawal daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan syara’ disebabkan musibah itu. Seorang mukmin, sewajarnya memastikan, inilah tahap paling rendah yang dia berada padanya. Jangan sehingga sampai terdetik sedikit di dalam hati prasangka buruk kepada Allah.

Peringkat kedua terbaik ialah redha. Ini merupakan satu peringkat yang sangat sukar dilakukan, tetapi ia menzahirkan sifat keimanan kepada qadha dan qadar Allah. Redha sehingga hatinya terbuka menerima ujian Allah. Seolah-olah tiada apa-apa yang buruk yang telah berlaku. Akan tetapi ini bukanlah peringkat yang terbaik.

Peringkat yang terbaik ialah syukur. Ini merupakan satu kedudukan yang sangat sukar dicapai. Di mana seorang insan, berasa gembira dan bersyukur apabila diuji, sehingga ucapan yang keluar daripada mulutnya ialah ucapan manusia yang menerima nikmat iaitu Alhamdulillah.

Peringkat terbaik ini bukanlah sesuatu yang mustahil dicapai. Seorang insan yang memahami bahawa setiap ujian itu mendatangkan pahala, dan menghapuskan dosa, mereka akan bersyukur dan mengucapkan tahmid tatkala diuji. Apakah nikmat yang lebih besar daripada pahala dan penghapusan dosa, yang mana penghujungnya ialah syurga dan dijauhkan daripada neraka. Pasti, untuk mencapai tahap ini, memerlukan satu keimanan dan penghayatan yang kuat kepada maksud-maksud ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Semoga Allah menjadikan kita manusia bersyukur tatkala ujian menimpa diri kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *