Tatacara Solat Gerhana

Solat Gerhana

Maksud Solat Sunat Gerhana:

Al-Kusuf (الكسوف) bermaksud gerhana matahari tidak kira sama ada gerhana itu adalah gerhana penuh atau sebahagian sahaja.

Al-Khusuf (الخسوف) pula bermaksud gerhana bulan tidak kira sama ada gerhana itu adalah gerhana penuh atau sebahagian sahaja.

Adakalanya salah satu perkataan ini digunakan dengan maksud gerhana secara umum sama ada ia adalah gerhana matahari atau bulan.

Oleh kerana itu solat sunat gerhana merupakan solat sunat kerana sesuatu sebab. Sebab yang membolehkan didirikan solat gerhana ialah apabila gerhana itu berlaku. Jika tidak terjadi gerhana, maka tidak boleh didirikan solat ini.

Hadis-hadis berkaitan solat gerhana

Dalam bahagian ini akan ditampilkan beberapa hadis berkaitan solat gerhana daripada Sahih al-Bukhari.

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَانْكَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلْنَا فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى انْجَلَتِ الشَّمْسُ فَقَالَ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ ‏”‏‏.‏

Daripada Abu Bakrah radiallahu ‘anhu, kami bersama-sama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika berlakunya gerhana matahari. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bangun sambil menarik kain rida’nya sehingga baginda masuk ke masjid. Kami masuk ke masjid dan baginda solat bersama kami sebanyak 2 rakaat sehinggalah gerhana itu tamat. Lalu baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana kerana kematian seseorang. Apabila kalian melihat gerhana, dirikanlah solat, berdoalah sehingga gerhana itu tamat. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1040]

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاسِ،

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, beliau berkata: Gerhana matahari telah berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu baginda mendirikan solat bersama orang ramai.

فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ، ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهْوَ دُونَ الْقِيَامِ الأَوَّلِ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ، وَهْوَ دُونَ الرُّكُوعِ الأَوَّلِ،

Baginda berdiri dan memanjangkan berdirinya. Kemudian ruku’ dan memanjangkan ruku’nya. Kemudian berdiri dan memanjangkan berdirinya tetapi lebih pendek daripada berdiri yang pertama. Kemudian baginda ruku’ dan memanjangkan ruku’nya tetapi lebih pendek daripada ruku’ yang pertama.

ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ، ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى، ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدِ انْجَلَتِ الشَّمْسُ، فَخَطَبَ النَّاسَ، فَحَمِدَ اللَّهَ، وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ

Kemudian baginda sujud dan memanjangkan sujudnya. Kemudian baginda melakukan perkara yang sama dalam rakaat kedua sebagaimana dalam rakaat pertama. Kemudian, baginda selesai solat ketika gerhana telah pun tamat. Kemudian baginda berkhutbah, baginda memuji Allah lalu berkata:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا، وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا .

Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Allah. Ia tidak gerhana kerana kematian atau kehidupan seseorang. Apabila kalian melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah solat, dan bersedekahlah.

ثُمَّ قَالَ : يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ، يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلاً وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا

Kemudian baginda berkata: Wahai umat Muhammad. Demi Allah! Tiada yang lebih cemburu daripada Allah apabila ada hambanya lelaki atau perempuan yang berzina. Wahai umat Muhammad. Demi Allah! Jika kalian tahu apa yang aku tahu, kalian akan sedikit ketawa dan banyak menangis. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1044]

Dalam riwayat Ibn’ Abbas dinyatakan bahawa nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat syurga dan neraka dalam solat gerhana.

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، رَأَيْنَاكَ تَنَاوَلْتَ شَيْئًا فِي مَقَامِكَ، ثُمَّ رَأَيْنَاكَ كَعْكَعْتَ‏.‏ قَالَ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنِّي رَأَيْتُ الْجَنَّةَ، فَتَنَاوَلْتُ عُنْقُودًا، وَلَوْ أَصَبْتُهُ لأَكَلْتُمْ مِنْهُ مَا بَقِيَتِ الدُّنْيَا، وَأُرِيتُ النَّارَ، فَلَمْ أَرَ مَنْظَرًا كَالْيَوْمِ قَطُّ أَفْظَعَ،

Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, kami melihat engkau cuba mengambil sesuatu dari tempat engkau, kemudian kami melihat engkau berundur. Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: Sesungguhnya aku melihat syurga, maka aku cuba mengambil buah-buahannya. Seandainya aku mengambil buah-buahan itu, nescaya kalian akan memakannya selama mana dunia ini masih wujud. Kemudian aku diperlihatkan neraka. Tidak ada pemandangan yang sangat teruk yang pernah aku lihat seperti hari ini.

وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ ‏”‏‏.‏ قَالُوا بِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ بِكُفْرِهِنَّ ‏”‏‏.‏ قِيلَ يَكْفُرْنَ بِاللَّهِ قَالَ ‏”‏ يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ كُلَّهُ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ ‏”‏‏.‏

Aku melihat majoriti ahli neraka adalah wanita. Para sahabat bertanya: Kenapa terjadi begitu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Disebabkan kekufuran mereka? Baginda ditanya: Adakah mereka kufur kepada Allah? Baginda menjawab: Mereka kufur kepada pasangan mereka, kufur kepada kebaikan pasangan mereka. Seandainya kamu melakukan kebaikan kepada mereka sepanjang tahun, kemudian dia melihat ada sesuatu yang tidak betul kamu lakukan, dia akan berkata: Aku tidak pernah lihat engkau melakukan kebaikan. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1052].

Hukum solat gerhana:

Hukumnya sunat muakkad iaitu sunat yang sangat ditekankan. Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda di dalam khutbah solat gerhana:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ،

Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Allah. Ia tidak gerhana kerana kematian atau kehidupan seseorang.

فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا، وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا .

Apabila kalian melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah solat, dan bersedekahlah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1044].

Walaupun hadis ini datang dalam bentuk arahan iaitu fi’il amr. Arahan yang ada bukanlah yang menunjukkan kewajipan, sebaliknya arahan ini menunjukkan sunat. Ini kerana terdapat dalil menunjukkan solat-solat selain daripada solat 5 waktu adalah solat sunat.

Daripada Talhah bin ‘Ubaidillah radiallahu ‘anhu, bahawa seorang lelaki dari Najd datang berjumpa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu bertanyakan tentang Islam. Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab:

‏”‏ خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا قَالَ ‏”‏ لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ ‏”‏‏.

Selawat 5 waktu pada siang dan malam. Lelaki itu bertanya: Adakah ada solat lain yang wajib? Baginda menjawab: Tiada, kecuali jika engkau mahu melakukan yang sunat. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no: 46]

Berjemaah atau bersendirian?

Di sunatkan agar solat ini didirikan secara berjemaah. Ini kerana dalil-dalil menunjukkan nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melakukannya secara berjemaah. Akan tetapi jika dilakukan secara bersendirian, solat itu tetap sah.

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاسِ،

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, beliau berkata: Gerhana matahari telah berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu baginda mendirikan solat bersama orang ramai. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1044].

Oleh kerana itu digalakkan membuat pengumuman untuk mengajak orang ramai menunaikan solat gerhana. Ini berdasarkan hadis berikut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ‏.‏

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Ketika berlakunya gerhana matahari di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, pengumuman dibuat (dengan melaungkan) : Sesungguhnya solat jemaah (akan didirikan). [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, no: 1045]

Tatacara solat gerhana

Tatacaranya boleh dibahagikan kepada dua iaitu

A- Tatacara yang minima yang sekadar cukup untuk sah.

B- Tatacara yang sempurna sebagaimana yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam

A- Tatacara yang minima

– Ia dilakukan 2 rakaat. Pada setiap rakaat akan mempunyai 2 ruku’ dan 2 kali berdiri untuk bacaan surah. Ini bermaksud solat ini mempunyai 4 ruku’ dan 4 kali berdiri untuk bacaan surah.

– Tatacara yang paling minima ialah solat 2 rakaat seperti solat-solat yang lain iaitu hanya 1 kali ruku’ untuk setiap rakaat. Solat seperti biasa ini sah akan tetapi hal ini menyelisihi apa yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

B- Tatacara sempurna

  • Ia dua rakaat. Pada setiap rakaat akan mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali berdiri untuk bacaan surah daripada al-Quran. Bermaksud ada 4 kali ruku’ dan 4 kali bacaan surah.
  • Membaca surah al-Fatihah dan surah yang panjang seperti al-Baqarah. Jika tidak, bacalah surah paling panjang yang kita hafal.
  • Melakukan ruku’ yang pertama yang panjang
  • Bangun dari ruku dan membaca al-Fatihah serta surah yang pendek sedikit daripada surah sebelumnya
  • Melakukan ruku’ yang panjang tetapi pendek sedikit daripada ruku’ sebelumnya
  • Melakukan sujud yang panjang
  • Duduk antara dua sujud
  • Sujud dengan sujud yang panjang
  • Melakukan rakaat kedua seperti rakaat pertama
  • Selesai mendirikan solat, imam akan berkhutbah dengan 2 khutbah sebagaimana khutbah untuk solat Jumaat. Hendaklah khatib menasihati makmum untuk bertaubat, melakukan kebaikan, dan mengingatkan mereka daripada kelalaian.

Sunnah-sunnah lain ketika gerhana berlaku

Selain daripada mendirikan solat, kita disunatkan untuk bersedekah, berzikir, berdoa sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis-hadis di atas.

Gerhana adalah amaran Allah

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، وَلَكِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ

Abu Bakrah radiallahu ‘anhu berkata: Rasululla sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Allah. Ia tidak gerhana kerana kematian seseorang. Tetapi Allah mahu menimbulkan rasa takut pada hamba-hambaNya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1048].

Menjauhi kepercayaan khurafat

عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، قَالَ كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ، فَقَالَ النَّاسُ كَسَفَتِ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ.

Al-Mughirah bin Syu’bah radiallahu ‘anhu berkata: Matahari telah gerhana di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada hari meninggalnya Ibrahim (anak lelaki baginda). Orang ramai berkata: Gerhana matahari berlaku kerana kematian Ibrahim.

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ

Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana kerana kematian atau kehidupan seseorang. Apabila kalian melihatnya, solatlah dan berdoalah kepada Allah.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, hadis no: 1043]