Wajibkah Wanita Menuntut Ilmu

islam-knowledge-poster-muslimah

Al-Imam Ibnu Jauzi ada mengarang sebuah kitab bertajuk Ahkam an-Nisa’.  Buku ini menghuraikan hukum-hakam yang berkaitan dengan wanita. Al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah menuliskan sebuah bab yang bertajuk:

 

الباب الثالث في وجوبِ طلب العلْم على المرأة

Bab Ketiga: Kewajipan Menuntut Ilmu Untuk Wanita

 

Imam Ibn al-Jauzi menyatakan:

 

Wanita adalah insan yang diletakkan kewajipan atau tanggunjawab sebagaimana lelaki. Wajib ke atas seorang wanita untuk menuntut ilmu yang wajib untuk dirinya agar dia dapat menunaikan kewajipan dengan penuh keyakinan.

 

Seandainya dia mempunyai ayah, saudara lelaki, suami, atau mahram yang mampu mengajarnya perkara-perkara yang wajib, dan mendidiknya bagaimana untuk menunaikan kewajipan, maka itu cukup untuk wanita tersebut.

 

Jika tidak, seandainya mampu, dia hendaklah bertanya dan belajar daripada wanita yang berilmu.

 

Jika tidak, dia hendaklah belajar daripada lelaki dewasa, dengan kehadiran orang lain tanpa berdua-duaan dengannya. Ia hendaklah dilakukan pada kadar yang diperlukan. Jika timbul persoalan berkaitan agama, hendaklah wanita itu bertanya tanpa berasa malu. Sesungguhnya Allah tidak malu kepada kebenaran. [1]

 

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bagaimana wanita-wanita yang hidup di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh menuntut ilmu.

 

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata :

 

نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الأَنْصَارِ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّينِ

 

Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Sifat malu mereka tidak menghalang mereka daripada mempelajari agama. [Sahih Muslim][2]

 

Dalam Sahih Muslim jua disebutkan:

 

قَالَ إِسْحَاقُ بْنُ أَبِي طَلْحَةَ حَدَّثَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ، قَالَ جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ – وَهِيَ جَدَّةُ إِسْحَاقَ – إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ لَهُ وَعَائِشَةُ عِنْدَهُ:  يَا رَسُولَ اللَّهِ الْمَرْأَةُ تَرَى مَا يَرَى الرَّجُلُ فِي الْمَنَامِ فَتَرَى مِنْ نَفْسِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ مِنْ نَفْسِهِ ‏.‏ فَقَالَتْ عَائِشَةُ:  يَا أُمَّ سُلَيْمٍ فَضَحْتِ النِّسَاءَ تَرِبَتْ يَمِينُكِ ‏.‏ فَقَالَ لِعَائِشَةَ ‏:  بَلْ أَنْتِ فَتَرِبَتْ يَمِينُكِ نَعَمْ فَلْتَغْتَسِلْ يَا أُمَّ سُلَيْمٍ إِذَا رَأَتْ ذَاكِ ‏”‏ ‏

 

Ishaq bin Abi Talhah berkata, Anas bin Malik memberitahu ku : Ummu Sulaim –iaitu nenek kepada Ishaq- telah datang bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, ketika itu Aisyah ada bersama baginda. Ummu Sulaim pun bertanya: Ya Rasulullah, wanita turut melihat apa yang lelaki lihat di dalam mimpi, dan wanita turut melihat apa yang berlaku pada dirinya sebagaimana lelaki melihat selepas berlakunya mimpi itu.

 

Aisyah berkata: Ya Ummu Sulaim !  Engkau telah memalukan kaum wanita. Semoga tangan kanan engkau diseluputi debu ! Baginda pun berkata kepada ‘Aisyah :  Bahkan tangan engkau lah yang akan diseluputi debu. Benar Ya Ummu Sulaim. Wanita itu hendaklah mandi wajib apabila melihat hal tersebut (iaitu apabila air maninya keluar) [Sahih Muslim][3].

 

Dalam hadis ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membela tindakan Ummu Sulaim bertanyakan soalan yang sensitif, dan membantah tindakan Aisyah yang mencela pertanyaan Ummu Sulaim.

 

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ :قَالَتِ النِّسَاءُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم : غَلَبَنَا عَلَيْكَ الرِّجَالُ فَاجْعَلْ لَنَا يَوْمًا مِنْ نَفْسِكَ فَوَعَدَهُنَّ يَوْمًا لَقِيَهُنَّ فِيهِ فَوَعَظَهُنَّ وَأَمَرَهُنَّ ….

 

Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu meriwayatkan : Kaum wanita berkata kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam : Kaum lelaki telah menewaskan kami. Sediakanlah satu hari untuk engkau (mengajar kami). Lalu baginda pun berjanji dengan mereka untuk bertemu mereka pada satu hari. (Pada hari yang dijanjikan), baginda pun menasihati menasihati dan mengajarkan kewajipan kepada mereka… [Sahih al-Bukhari][4]

 

Imam Abu al-Hasan Ali bin Khalaf atau lebih dikenali sebagai Ibn Batthal menyebutkan dalam syarahnya :

 

Di dalam hadis ini menunjukkan: Kaum wanita bertanyakan soalan tentang urusan agamanya. Ini menunjukkan dibenarkan berbual dengan lelaki untuk urusan tersebut apabila mereka mempunyai hajat. Sesungguhnya, ketika itu ilmu dipelajari daripada isteri-isteri nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, dan daripada wanita salaf yang lain.[5]

 

Hal ini sudah pasti memerlukan kerjasama daripada kaum lelaki jua. Nasihat kepada kaum lelaki, jadilah seorang lelaki yang mampu membimbing isteri untuk masuk ke dalam syurga. Jika seorang suami kurang ilmunya, bawalah isteri menghadiri majlis-majlis ilmu. Sesungguhnya bekalan menuntut ilmu akhirat itu sama pentingnya bahkan lebih pentingnya daripada harta benda dan kemewahan dunia.

 

Untuk Muslimah pula, letakkanlah hal ini sebagai satu keutamaan dalam kehidupan. Apabila belum bernikah, penuhilah masa dengan menghadiri majlis ilmu, apabila memilih calon suami, pilihlah suami yang mampu menyampaikan ilmu, atau jika tidak carilah seorang suami yang bukan hanya baik akhlak dan agamanya, bahkan cinta menghadiri majlis ilmu.

 

Untuk ibu bapa pula, berikanlah keutamaan mempelajari ilmu agama, sebagaimana ambil berat mereka kepada pelajaran akademik anak-anak. Sesungguhnya ilmu agama inilah yang akan menjadi benteng menghadapi godaan nafsu dan syaitan.

 

Untuk penganjur majlis ilmu pula, pastikan majlis ilmu yang berjalan memberikan hak dan peluang yang sama untuk kaum wanita bertanya soalan, dan memudahkan mereka menuntut ilmu sebagaimana nikmat yang dinikmati oleh kaum lelaki.

 

Lebih menyedihkan realiti hari ini apabila kelihatan kaum wanita lebih bersemangat mencari ilmu berkaitan asas seorang Muslim berbanding kaum lelaki.

 

 


[1] Ahkam an-Nisa’, m/s 7. (http://www.almeshkat.net/books/open.php?cat=19&book=2416#.UnJid3Cnoec)

الباب الثالث في وجوبِ طلب العلْم على المرأة

المرأة شخص مكلَّف كالرجل، فيجب عليها طلب علم الواجبات عليها؛ لتكون من أدائها على يقين.

فإنْ فإن كان لها أب، أو أخ، أو زوج، أو محرم، يعلِّمها الفرائض، ويعرِّفها كيف تؤدي الواجبات، كفاها ذلك، وإنْ لم تكن سألت وتعلمت، فإن قدرت على امرأة تعلم ذلك، تعرفت منها، وإلا تعلّمت من الأشياخ، وذوي الأسنان من غير خلوة بها، وتقتصر على قدر اللازم، ومتى حدثت حادثة في دينها سألت عنها، ولم تستحِ، فإنَّ الله لا يستحي من الحق.

[2] Sahih Muslim, Kitab al-Haidh, Bab (باب اسْتِحْبَابِ اسْتِعْمَالِ الْمُغْتَسِلَةِ مِنَ الْحَيْضِ فِرْصَةً مِنْ مِسْكٍ فِي مَوْضِعِ الدَّمِ) Digalakkan kepada wanita yang bersuci daripada haidh untuk menggunakan wangian pada tempat keluar darah, hadis no : 776.

[3] Sahih Muslim, Kitab al-Haidh, Bab (اب وُجُوبِ الْغُسْلِ عَلَى الْمَرْأَةِ بِخُرُوجِ الْمَنِيِّ مِنْهَا) Wajibnya Wanita Mandi Apabila Keluar Mani, hadis no : 735

[4] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab (باب هَلْ يُجْعَلُ لِلنِّسَاءِ يَوْمٌ عَلَى حِدَةٍ فِي الْعِلْمِ) Adakah Dibuat Satu Hari Khas Untuk Wanita Menuntut Ilmu, hadis no : 101.

[5] Syarah Ibn Batthal :

 وفيه : سؤال النساء عن أمر دينهن ، وجواز كلامهن مع الرجال فى ذلك ، فيما لهن الحاجة إليه . وقد أُخِذَ العلم عن أزواج النبى ، ( صلى الله عليه وسلم ) ، وعن غيرهن من نساء السلف .

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *